Vivo Y19 Diletakkan Pada Harga RM949, Pra-Tempah Bermula Hari Ini

Membuat kemunculan di negara jiran terlebih dahulu, penawaran Vivo Y19 kini mula menembusi pasaran tempatan.

Berada pada segmen pertengahan, Vivo Y19 diletakkan pada tanda harga RM949 dan pra-tempahannya sudahpun dibuka bermula hari ini, 25 November 2019 sehingga 29 November 2019.



Dari segi spesifikasi, Vivo Y19 dilengkapkan dengan skrin Halo FullView 6.53 inci yang menyokong resolusi Full HD+. Konfigurasi kamera belakang terdiri daripada lensa 16MP, 8MP serta 2MP. Takuk kecil dibahagian hadapan pula diisi dengan kamera 16MP untuk fungsi rakaman swafoto.

Mengoperasikan peranti dari dalam adalah cip MediaTek Helio P65 yang berkerjasama dengan gandingan memori RAM 6GB serta storan 128GB.

Bateri berkapasiti 5000mAh dimuatkan pada peranti ini dan menyokong pengecasan pantas Dual Engine Fast Charging 18W. Bakal menjalankan FunTouch OS 9.2, Vivo Y19 ditawarkan dengan dua warna pilihan iaitu Black dan Morning Dew White.

Bagi anda yang berminat, boleh mula beli Vivo Y19 secara pra-tempahan hari ini pada kedai konsep Vivo yang terpilih, pengedar sah seluruh negara atau secara dalam talian di Lazada, Shopee dan Vivo Store.

Pembelian secara pra-tempah juga akan diiringi dengan hadiah misteri dari Vivo Malaysia.