Vivo X9 Dan Vivo X9 Plus Bakal Mempamerkan Dwi Kamera Selfie Pada 16 November Ini

Vivo telah mengumumkan sebuah acara perasmian yang bakal diadakan di Beijing pada 16 November ini. Pada acara tersebut, syarikat yang berpangkalan di China itu bakal mempamerkan peranti baru mereka iaitu telefon pintar Vivo X9 dan Vivo X9 Plus. Apa yang menjadi tarikan tentang telefon Vivo kali ini adalah ianya bakal hadir dengan dwi kamera depan untuk gambar selfie dan panggilan video yang lebih sempurna. Berbeza dengan gaya persembahan dari telefon pintar yang lain, Vivo semestinya memberikan kelainan pilihan kepada pengguna yang dahagakan kamera selfie yang sempurna.

Pengumuman peranti Vivo baru tersebut dikeluarkan oleh laman web Weibo. Mereka mempamerkan beberapa gambar promosi dan mengesahkan beberapa spesifikasi Vivo X9 dan Vivo X9 Plus. Vivo X9 dibina dengan rekaan besi berserta dengan posisi antenna band yang seakan sama dengan rekaan iPhone. Melalui gambar juga, kita dapat pastikan Vivo X9 ini akan tampil dengan variasi pilihan warna Rose Gold. Ianya juga memiliki sokongan sensor cap jari yang dibina di bahagian bawah butang Home. Sama seperti iPhone 7.

Telefon pintar ini juga mempamerkan paparan skrin dengan bezel yang nipis pada 1.59 mm sahaja. Skrin Vivo X9 akan dibina dengan Corning Gorilla Glass 5. Kamera depan pula mempunyai sensor 20 Mega-pixel manakala kamera kedua dengan 8 Mega-pixel. Ianya juga menampilkan port USB Type-C, jaring pembesar suara, dan 3.5 audio jack di bahagian bawah. Fungsi Volume dan butang Power pula berada di bahagian tepi belah kanan.

Yang menariknya, X9 Plus dikatakan bakal dibina dengan dwi-kamera belakang. Maksudnya, Vivo X9 Plus akan mempunyai dwi-kamera di depan dan belakang. X9 Plus sudah semestinya bakal dibina dengan RAM yang besar, iaitu pada saiz 6GB manakala X9 pula pada saiz 4GB. Ianya bakal dikuasakan dengan pemproses Snapdragon 653, agak mendukacitakan.