vivo X60 Pro+ Kini Rasmi - Snapdragon 888, Sistem Kamera ZEISS, Dan Skrin AMOLED 120Hz

vivo X60 Pro+ merupakan model paling berkuasa dalam siri vivo X60. Model ini walau bagaimanapun tidak dilancarkan sekali bersama-sama X60 dan X60 Pro, sebaliknya mempunyai acara pelancarannya tersendiri pada tarikh berbeza.

Hari ini, vivo telah memperkenalkan model tersebut di China. Ia hadir dengan kelengkapan kamera paling canggih dan juga cip pemprosesan Snapdragon 888.

Dari segi rekaan, ia hadir dengan kemasan panel belakang tekstur kulit yang berbeza dengan panel kaca pada X60 dan X60 Pro.



Skrin X60 Pro+ adalah dari panel 6.56 inci AMOLED 120Hz dengan resolusi FHD. Ini adalah merupakan saiz sama pada X60 dan X60 Pro sebelum ini. Kamera swafoto diletakkan secara punch-hole tengah melalui sensor 32MP.



Terdapat juga pengimbas cap jari pada bawah panel ini  sebagai sekuriti biometrik. Skrin ini juga menyokong HDR10, HDR10+, warna gamut P3 dan 103% NTSC.

Cip yang digunakan adalah Snapdragon 888 dengan padanan RAM sehingga 12GB LPDDR5 dan storan dalaman sehingga 256GB berasaskan UFS 3.1.

Menariknya, vivo X60 Pro+ hadir dengan sistem 2 kamera utama ZEISS - 48MP Sony IMX598 dan 50MP Samsung GN1. Lensa tambahan lain adalah 32MP telefoto dan 8MP periskop dengan kemampuan zum sehingga 60x.



Lensa belakang X60 Pro+ turut disadurkan dengan lapisan ZEISS T*, satu piawaian untuk lensa khas ZEISS. Lapisan ini mengandungi struktur nanokristalin yang membolehkan cahaya lebih banyak memasuki lensa itu.



X60 Pro+ turut memberikan penekanan kepada kemampuan rakaman video dengan sistem HDR yang lebih maju.



Sistem pengecasan adalah dari 55W yang mengecas bateri berkapasiti 4,200mAh melalui USB-C. Sama juga seperti model X60 yang lain, X60 Pro+ turut menjalankan perisian OriginOS berasaskan Android 11.

Dua warna yang ditawarkan adalah Classic Orange dan juga Deep Sea Blue.



 

Di China, vivo X60 Pro+ dijual pada harga bermula ¥ 4998 (~RM3,116) dalam pilihan warna Classic Orange dan juga Deep Sea Blue.

Sumber rujukan: vivo China