vivo X21 Dilancarkan Secara Rasmi Di Malaysia, Akan Mula Dijual 9 Jun Ini

Pada 5 Jun yang lepas, syarikat telekomunikasi dari China, vivo telah memperkenalkan peranti keluaran terbaru mereka, vivo X21 bagi pasaran Malaysia. Peranti ini telah dilancarkan buat pertama kali di peringkat global semasa MWC 2018 yang lalu.

vivo X21 pada kali ini membawa sedikit kelainan berbanding peranti keluaran mereka sebelum ini apabila ia hadir dengan pengimbas cap jari pada permukaan skrin peranti. Dengan ciri ini, vivo dapat meminimumkan saiz dagu peranti, sekaligus memaksimumkan paparan skrin hadapan.



Peranti ini menggunakan paparan skrin jenis Super AMOLED dengan resolusi FHD+ yang bersaiz 6.28 inci. vivo X21 ini akan beroperasi menggunakan antaramuka FunTouch OS 4.0 yang berlandaskan Android 8.0 Oreo.

Selain itu, peranti terbaru vivo ini juga mempunyai memori 6GB RAM serta menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 660 yang turut digunapakai pada peranti seperti Xiaomi Mi 6X dan Oppo R15 Pro. Ia juga didatangi dengan 128 GB storan dalaman, malah pengguna juga boleh menggunakan fungsi kad mikroSD sehingga 256GB pada peranti ini.



Bagi kameranya, peranti ini hadir dengan dwi-kamera 12MP + 5MP dengan bukaan aperture f/1.8 pada kamera utama. Manakala bagi kamera swafotonya pula, vivo X21 menggunakan lensa 12MP f/2.0 dengan sokongan fungsi AI Beauty. Ia turut akan dikuasakan dengan bateri 3,200 mAh.

vivo X21 ini boleh mula didapati di pengedar sah vivo di seluruh negara pada 9 Jun ini, dan ia akan hadir dengan dua pilihan warna iaitu Hitam dan Putih. Ikuti laman sesawang rasmi vivo Malaysia serta laman rasmi Facebook mereka untuk maklumat lanjut.