Vivo V9 - Peranti Dengan Kamera Swafoto Berkelas Perdana Pada Harga Berpatutan

Vivo V9 baru-baru ini telah hadir menemui pengguna di Malaysia. Berbekalkan 4 GB RAM serta cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 626, peranti ini berjaya menarik perhatian ramai sejak dilancarkan. Peranti ini telah dilancarkan bagi pasaran Malaysia pada akhir bulan lepas, dan kami di pihak Wiser.my turut diberi peluang untuk cuba menggunakan peranti ini.

Dan selepas lebih kurang satu minggu kami menggunakan peranti ini, berikut merupakan sedikit pandangan dari pihak kami berkenaan kebolehan dan kekurangan Vivo V9 ini.

Reka Bentuk - 80%



2018 adalah tahun bagi reka bentuk takuk atau 'notch' pada paparan skrin telefon pintar. Pada asalnya, rekaan ini diperkenalkan oleh syarikat Essential pada peranti mereka, namun ia mula menjadi popular apabila digunapakai oleh Apple pada peranti iPhone X tahun lepas. Dan Vivo V9 juga tidak terkecuali untuk menggunakan rekaan ini.



Bagaimanapun, takuk pada Vivo V9 adalah lebih kecil berbanding iPhone X bagi membolehkan lebih kurang 90% daripada keluasan bahagian hadapan peranti dapat digunakan sebagai skrin paparan. Manakala kedudukan pengesan cap jari yang berada jauh dari kamera utama adalah sesuatu yang sangat baik bagi mengelakkan hujung jari terkena pada lensa kamera.



Selain itu, saiz peranti yang sebesar 6.3 inci, berat sekitar 150 gram dengan ketebalan 7.99 mm membuatkan Vivo V9 ini cukup selesa dipegang. Tambahan pula, saiz peranti ini adalah lebih besar berbanding model 'Plus (+)' untuk dua siri Vivo V sebelumnya iaitu Vivo V7+(5.99 inci) serta Vivo V5+(5.5 inci). Menurut pandangan kami, menonton video atau bermain permainan video adalah lebih memuaskan dengan menggunakan Vivo V9 ini.



Manakala bagi kualiti audio pula, pembesar suara Vivo V9 terletak pada bahagian bawah peranti serta turut mempunyai bicu audio 3.5 mm. Kualiti audio semasa bermain permainan video, menonton video dan mendengar muzik pada pandangan kami adalah memuaskan.

Kamera dan Paparan - 88%

'Perfect Shot. Perfect View'. Itulah cogan kata yang digunakan oleh pihak Vivo untuk peranti V9 ini. Dengan kamera swafoto 24 MP serta 16+5 MP bagi kamera utama, tidak salah bagi pihak Vivo menggunakan cogan kata berkenaan. Selain kualiti imej swafotonya yang cukup baik, kebolehan peranti ini untuk mengambil gambar pada cahaya yang rendah juga amat memuaskan. Ini kerana kamera peranti ini mempunyai ciri f/2.0 bukaan lensa yang membolehkan lebih cahaya memasuki lensa kamera.
Imej diambil pada suasana pencahayaan rendah (low-light)


Imej diambil pada pangcahayaan latar dalaman (indo0r backlight)

Dari segi kamera utama pula, kualiti gambar yang diambil di kawasan luar adalah memuaskan. Akan tetapi apabila dalam suasana cahaya latar dalam, imej yang diambil tidak dapat mencapai tahap yang kami mahukan.



Pada pandangan kami, kualiti imej yang ditangkap menggunakan kamera hadapan jauh lebih baik berbanding kamera utama.



Bagi paparan skrin pula, seperti yang telah dimaklumkan di atas, peranti ini mempunyai skirn seluas 6.3 inci yang akan memberi anda lebih paparan semasa menonton video atau bermain permainan video. Untuk pengetahun, peranti ini juga akan menggunakan ciri FunTouch OS 4.0 yang akan memberikan anda paparan yang seakan sistem operasi iOS yang digunakan pada peranti iPhone.





Spesifikasi & Sokongan - 75%

Hadir dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 626 serta disokong oleh memori sebesar 4GB, peranti ini dilihat tiada masalah untuk memberikan kami penggunaan yang lancar. Malah, apabila kami membuka pelbagai aplikasi pada masa yang sama, ia tidak memberi kesan yang ketara kepada prestasi Vivo V9 ini. Boleh kami katakan bahawa prestasi RAM pada peranti ini sangat baik semasa kami menggunakannya.



Namun, sedikit kekurangan yang dapat kami kesan pada peranti ini ialah semasa kami scroll akaun Facebook dan Youtube, kami dapat lihat sedikit tersekat-sekat. Selain itu, semasa bermain permainan video PUBG Mobile, kami terpaksa menggunakan tetapan grafik kepada Balanced dan Medium bagi Frame Rate bagi mendapatkan mutu permainan yang stabil dan lancar.

Dalam pada itu, peranti ini akan menyokong fungsi dua kad sim serta turut menyediakan satu lagi slot tambahan untuk kegunaan kad mikroSD. Ini bermakna pengguna tidak lagi perlu mengorbankan satu slot kad sim jika mahu menggunakan kad mikroSD seperti sebelum ini.



Dari segi pengecasan pula, agak mengecewakan apabila peranti ini tidak menyokong fungsi pengecasan pantas atau quick-charging. Kami mengambil masa lebih kurang 90 minit untuk mengecas bateri ini sehingga penuh dari tahap 0%. Memandang harga peranti adalah sekitar RM 1,300, sepatutnya Vivo menyediakan fungsi ini pada Vivo V9 pada pandangan kami.

Keupayaan Bateri - 68%

Vivo V9 hadir dengan berbekalkan bateri berkapasiti 3,260 mAh yang mampu bertahan selama hampir satu hari sahaja dengan penggunaan ringan. Jika ada kekurangan ketara pada peranti ini, ia adalah pada keupayaan baterinya. Dengan hanya menonton  beberapa video di Youtube, bermain satu atau dua permainan PUBG Mobile selain menggunakan WhatsApp dan Facebook, peranti ini agak sukar untuk bertahan lebih dari 8 jam.

Nyahkunci - 80%



Vivo V9 ini menyediakan tiga cara berbeza untuk penggunanya menyahkunci peranti iaitu menggunakan pengesan cap jari, paten atau kata kunci, serta pengimbas wajah. Paten dan kata kunci berfungsi seperti biasa pada peranti ini, manakala pengesan cap jari yang terletak dibahagian belakang peranti juga tidak mengecewakan. Namun, apa yang lebih menarik ialah pengimbas wajah pada peranti ini yang mampu mengesan wajah dengan sangat pantas.

Rumusan - 78%



Pada pandangan kami, peranti Vivo V9 ini mempunyai kualiti dan prestasi yang bersesuaian dengan harganya. Dengan harga jualan di negara ini sekitar RM 1,300-RM 1,400, peranti ini adalah berbaloi untuk dimiliki. Kualiti kamera swafoto yang sangat baik selain pilihan sokongan perkakasan serta perisian yang sesuai, anda dijangka tidak akan mempunyai banyak masalah semasa menggunakan Vivo V9 ini. Faktor yang paling mendapat perhatian kami semestinya kualiti kamera swafotonya yang sangat baik.

Tapi, sekiranya Vivo dapat menambahbaik beberapa aspek terutamanya pada bateri peranti ini, pasti Vivo V9 akan menjadi salah satu telefon pintar pilihan ramai. Faktor yang paling mengecewakan pada pandangan kami ialah ketahanan bateri yang agak lemah serta kegagalan Vivo untuk menyediakan sokongan pengecasan pantas bagi peranti ini.