Vivo V17 Pro Enam Kamera Telah Diumumkan Rasmi, Dijual Pada Harga RM1699

Setelah beberapa kali mengacah kedatangan peranti dengan 6 kamera, Vivo Malaysia kini tampil  mengumumkan Vivo V17 Pro untuk pasaran dalam negara. Menerusi penawaran terbaru ini, Vivo menjanjikan prestasi terbaik dan seimbang pada setiap bahagian peranti.



Seperti yang disebut-sebut sebelum ini, Vivo V17 Pro didatangkan dengan tetapan 6 kamera yang terdiri daripada 4 kamera rakaman belakang dan dua lagi disebelah hadapan. Kamera bagi tujuan selfie menggunakan mekanisme terangkat yang membolehkan skrin 6.44 inci SuperAMOLED Ultra FulView menyampaikan paparan tanpa  gangguan disebabkan takuk.



Panel kamera terangkat itu menempatkan dwi lensa kamera utama 32MP (f/2.0), lensa super lebar 8MP (f/2.2), earpiece dan ciri LED Flash untuk menambahbaik rakaman selfie anda pada situasi kurang pencahayaan.



Bagi rakaman belakang pula, Vivo mempertaruhkan gabungan lensa 48MP, 8MP sudut super lebar, 2MP bokeh dan 2MP super makro. Antara penambahbaikan yang diberikan pada konfigurasi ini adalah ciri Pose Master yang meningkatkan lagi mutu gambar bersesuaian dengan keadaan serta ciri Super Night Mode bagi rakaman gambar.



Menjana peranti dari dalam adalah cip pemprosesan Snapdragon 675 AIE yang bekerja bersama padanan memori RAM 8GB serta 128GB ruang simpanan. Ia turut dilengkapkan dengan Game Mode yang menjanjikan pengalaman permainan terbaik kepada pengguna disamping teknologi pecutan Multi Turbo.

https://www.youtube.com/watch?v=QWt2Voc3cEM

Vivo V17 Pro dibekalkan dengan bateri berkapasiti 4100mAh bersama-sama pengecasan Dual-Engin Fast Charging 18W. Peranti ini akan dipasarkan pada harga RM1699 dengan dua warna pilihan iaitu Crystal White dan Knight Black serta penawaran sudah bermula hari ini.