Vivo Superday Sale Vivo V15 Diadakan 23 Mac Ini Di Pusat Beli Belah One Utama

Vivo Malaysia terlebih dahulu menghadirkan Vivo V15 Pro untuk pembeli tempatan awal bulan ini. Dijual pada harga RM1799, telefon dengan kamera swafoto pop-up itu kini tidak lagi keseorangan kerana ia bakal ditemani sebuah lagi versi iaitu Vivo V15.

Kapsyen: Dua warna pilihan Topaz Blue dan Glamour Red


Dari luaran ia mungkin kelihatan sama tetapi terdapat beberapa perbezaan dari model Pro iaitu skrin paparan IPS LCD 6.53 inci yang menampakkan peranti lebih tinggi sedikit, sensor kamera utama 12MP, penggunaan cip MediaTek Helio P70, dan sensor pengimbas cap jari yang terletak dipanel belakang.

Lain-lain spesifikasi sama seperti versi pro; RAM 6GB, storan 128GB (sokongan kad MikroSD sehingga 256GB), bateri 4000mAh dengan sokongan pengecasan pantas Dual-Engine Fast Charging, dan FunTouch OS 9 berasaskan Android Pie 9.0.



Peranti ini bakal dimulakan jualannya menerusi Vivo Superday Sale pada 23 Mac ini (Sabtu) . Ia akan berlangsung di pusat beli-belah One Utama bermula pada pukul 1petang dengan harga jualan RM1399 dan disertakan dengan pelbagai hadiah menarik yang akan diberikan secara percuma.

Bagi yang tidak sabar-sabar untuk membelinya, pembelian secara pra-tempah sudahpun dimulakan sejak 16 Mac lalu dan bakal berakhir pada 22 Mac ini. Pembelian pra-tempah akan diiringi dengan hadiah bernilai RM299 seperti tempat letak telefon, fon kepala bluetooth dan perlindungan skrin selama 6 bulan.