Vivo, Oppo Dan Xiaomi Akan Bawakan Sistem Pemindahan Fail Tanpa Wayar Tidak Lama Lagi

Kerjasama antara tiga pengeluar telefon pintar, Vivo Xiaomi dan OPPO untuk membangunkan sistem pemindahan fail tanpa wayar sudah kita dengar sejak Ogos tahun lalu lagi.

Kini memasuki tahun baru, kerjasama tersebut telah diumumkan secara rasmi untuk membawakannya kepada pengguna global. Inisiatif tersebut dikenali sebagai “Peer-to-Peer Transmission Alliance”.

Peer-to-Peer Transmission Alliance” adalah satu insiatif yang telah dibentuk bagi membolehkan pengguna memindahkan fail dengan hanya satu klik.

Pemindahan fail antara tiga peranti itu juga akan lebih mudah dimana ia tidak memerlukan aplikasi pihak ketiga atau sebarang penggunaan data rangkaian. Sistem ini menyokong pelbagai format fail, foto, video, muzik, dokumen dan banyak lagi. Selain itu, ia turut dirancang untuk mengadaptasi sistem 5G bagi pemindahan fail yang lebih lancar pada masa hadapan.

oppo vivo xiaomi

Selain itu, sistem pemindahan fail tanpa wayar mudah digunakan kerana tidak memerlukan sambungan internet. Ia menggunakan Bluetooth untuk berpasangan dan teknologi WiFi P2P (Peer to Peer) untuk pemindahan data, membawa sambungan segera, stabil dan berkelajuan tinggi antara peranti, serta penggunaan kuasa yang rendah.

Teknologi ini memberikan kelajuan pemindahan dengan purata 20MB/s. Teknologi WiFi P2P tidak mengganggu sambungan WiFi, yang bermaksud pengguna tetap bersambung dan boleh meneruskan aktiviti pada peranti semasa pemindahan fail.

Pengguna hanya perlu menghidupkan WiFi dan Bluetooth mereka, atau menghidupkan fungsi di bawah "menu", kemudian pilih fail yang ingin dikongsi. Jika pihak lain juga mempunyai fungsi yang dihidupkan, ikon akan muncul untuk memberitahu pengguna. Sebaik sahaja disahkan, proses pemindahan fail akan bermula.

Sistem ini akan dilancarkan pada produk Vivo baru di pasaran yang berbeza bermula Februari 2020.