(Ulasan) Vivo NEX - Telefon Pintar Pertama Dengan Kamera Swafoto Terjojol Keluar

Korang tau apa maksud inovasi? Kalau berdasarkan carian pantas, inovasi membawa maksud sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, adat dan sewaktu dengannya.

Kalau diperhati sepanjang tahun 2018 berlangsung, kita sudah melihat sejumlah inovasi ditampilkan syarikat pengeluar telefon pintar keatas produk akhir mereka. Salah satu contoh adalah Vivo yang memperkenalkan tetapan kamera swafoto terjojol keluar.



 

Pelik? ya, amat aneh untuk berselfie sambil menunggu kamera bergerak keluar. Ada yang suka dengan teknologi ini, ada juga yang memberikan respon negatif. Vivo faham, tak semua pengguna suka akan rekaan takuk pada skrin, jadi mereka mengubah tetapan kamera untuk membolehkan layar paparan terbentang luas tanpa gangguan.

Cakap banyak pun tak guna, jom lihat "post mortem" yang dibuat keatas peranti pertama didunia dengan kamera swafoto keluar masuk, Vivo NEX.

Rekaan Luaran


Vivo NEX hadir dengan skrin paparan dari jenis Super AMOLED berukuran 6.59 inci beresolusi 2316 x 1080. Nisbah skrin-ke-badan adalah 91%, puas mata nak menonton video.



Ada orang tanya kamera swafoto yang terkeluar tu tahan ke tidak? Haa jawapan dia ada dalam video dibawah.

https://www.youtube.com/watch?v=DyS8qcZwIbg

Dari segi binaan panel belakang, ia diperbuat daripada gelas dengan tertera perkataan "NEX". Rekaannya biasa sahaja tetapi ada sedikit ciri-ciri premium . Pada bucu sebelah kiri atas, dwi kamera utama diletakkan secara menegak kebawah dan dituruti dengan fungsi flash.

 



Peranti ini sedikit berat mungkin kerana bingkainya diperbuat daripada besi. Pada sisi kanan terletaknya butang laras kelantangan bunyi dan butang kuasa. Untuk akses kedua-dua butang ini, penggunaan tangan kiri lebih selesa berbanding tangan kanan. Sisi kiri pula ditempatkan butang khusus untuk mengaktifkan ciri Google Lens.



 

Kedua-dua sisi kiri dan kanan berbentuk melengkung kearah skrin, membolehkan pengguna memegang erat telefon pintar. Dibahagian bawah, terdapat speaker, port USB-C, dan slot kad sim. Kamera swafoto "disorokkan" diatas bersebelahan dengan bicu audio 3.5mm.

Tidak kelihatan sensor pengimbas cap jari? Vivo menyertakan ciri nyahkunci skrin menggunakan pengimbas cap jari terbina pada skrin. Kadangkala respon sensor terbina ini agak perlahan dibandingkan dengan pengimbas cap jari biasa.

Pendaftaran cap jari juga agak sukar dilakukan. Anda perlu menekan skrin sedikit kuat.



Keistimewaan lain pada Vivo NEX adalah skrin yang boleh berfungsi sebagai speaker melalui teknologi Screen SoundCasting. Teknologi ini boleh menjimatkan penggunaan kuasa berbanding sistem audio biasa.

Antaramuka


Seperti biasa, Vivo menjalankan antaramuka Funtouch OS 4.0 berasaskan Android Oreo. Ada yang kata antaramuka ini meniru antaramuka iOS, tapi kita tak payah pedulikannya.

Dilengkapi dengan pelbagai ciri sentuhan yang bakal mempercepat akses keatas sesuatu fungsi atau aplikasi. Antaranya adalah...



  • Smart wake - Lukis bentuk huruf untuk akses ke sesuatu fungsi, seperti "m" untuk aktifkan aplikasi Muzik.

  • Smart call - Gerakkan kearah telinga untuk jawab atau buat panggilan. Lambaikan tangan kearah skrin untuk senyapkan deringan panggilan masuk.

  • Goyangkan telefon untuk hidupkan fungsi lampu suluh

  • Lambaikan tangan untuk nyahkunci skrin...


dan beberapa ciri sentuhan yang lain. Ruang notifikasi diakses melalui tatalan atas kebawah sementara bahagian ikon pintasan fungsi diakses dari bawah keatas. Mungkin inilah yang dikatakan mirip iOS.



Bagi yang gemar membuat dua perkara dalam satu masa, ciri Smart Screen boleh digunakan pada aplikasi yang tertentu.

Spesifikasi Dalaman


Berstatus flagship sudah menjadi kewajipan bagi Vivo NEX dipersenjatai dengan cip pemprosesan aras tinggi. Dipacu oleh cip Snapdragon 845 bersama-sama RAM 8GB dan storan sebesar 128GB.

Bagi tujuan prestasi, kami mengujinya dengan memainkan permainan PUBG disamping menjalankan aplikasi Contacts, Google Drive, Lazada, Kamera, YouTube, dan Google Chrome secara latar belakang.



Tetapan grafik permainan dilaraskan pada tahap HDR manakala tetapan kadar bingkai (frame rate) ditahap Ultra. Hasilnya, permainan mampu dimainkan dengan baik tetapi sesekali mengalami sedikit gangguan grafik.

Ini bermaksud cip Snapdragon 845 dan RAM 8GB mampu memberikan prestasi baik kepada peranti.



Berbalik pada teknologi Screen SoundCasting. Pertama kali menjawab panggilan kami berasa agak janggal kerana ketiadaan speaker telinga.

Bunyi yang dikeluarkan akan menyebabkan skrin bergetar, tidak sesuai menjawab panggilan isteri yang sedang marah.

Jika telinga dialih kearah bawah skrin, suara pemanggil masih kedengaran tetapi sedikit perlahan.

Kamera


Spesifikasi yang menjadi pertaruhan Vivo adalah sistem kamera swafoto keluar masuk. Kalau dibandingkan dengan OPPO Find X, kamera keluar masuk Vivo agak perlahan untuk dikeluarkan. Ok, perbandingan dua telefon ini kami akan buat video. Tunggu...

Lensa yang dipakai adalah 8MP dengan nilai aperture f/2.0. Hasil rakaman swafoto boleh dikatakan agak baik. Ada ciri potret, HDR dan kesan cahaya swafoto.

Fungsi AI dilihat menaikkan lagi warna dengan perincian yang menakjubkan.



Swafoto potret menunjukkan hasil gambar lebih kurang sama, tetapi disekeliling objek kelihatan kurang kemas.



Beralih pula kebahagian belakang, tetapan dwi kamera gabungan lensa 12MP (f/1.8) dan 5MP (f/2.4) dengan sokongan OIS 4-paksi. Lensa kedua memberikan latabelakang kabur.

Gambar ok, tapi bila diteliti ada gangguan jika mengambil potret/bokeh pada latarbelakang berwarna putih.

Lain-lain gambar boleh dilihat dibawah





Dari segi vibrant dan saturasi warna pada gambar, warnanya seolah-olah hidup dan hampir menyamai warna asal objek tersebut.



 



Vivo NEX boleh dianggap berjaya mengekalkan perincian pada sesuatu objek.



 



 



Keadaan kurang pencahayaan, musuh utama setiap kamera telefon pintar.

Gambar rakaman Vivo NEX pada keadaan ini mampu menaikkan warna sesuatu objek hasil sokongan ciri AI. Walaupun tidaklah sehebat Samsung S9, tetapi dengan pembukaan lensa f/1.7 ia mampu menapis gangguan pada foto.



Gambar makanan membuatkan penulis berasa lapar, ia seakan-akan hidangan sebenar didepan mata.



Gambar HDR, apabila zoom masuk, gambar mula menujukkan tanda-tanda pecah. Warna langit juga tidak sebiru warna asal.

Secara keseluruhannya, kamera Vivo NEX boleh dikatakan agak baik bagi kondisi hari siang dan bagi keadaan kurang pencahayaan, tetapi masih ada ruang yang boleh dipertingkatkan. Tambahan lain, kamera NEX cukup rasa, tidak terlalu berlebihan dalam saturasi warna. Sedap-sedap la orang kata.

Keupayaan Bateri

Vivo NEX dipasang bateri berkapasiti 4000 mAh disamping sokongan pengecasan pantas dengan teknologi Dual Engine Vivo Quick Charge.

Untuk ujian pengecasan pantas, ia mengecas dari 0% sehingga 100% dalam tempoh 2 jam 15 minit. Berikut pecahan kuasa mengikut masa:

  • 10 minit = 19%

  • 30 minit = 54%

  • 60 minit = 86%


Selepas penuh bateri, kami terus membuka video di YouTube selama 30 minit, dan bateri turun ke paras 97%.

Setelah itu, kami menggunakannya untuk mengambil gambar, bermain permainan PUBG dan beberapa aplikasi lagha yang lain. Kuasa bateri yang tertera dilihat pada paras 47% untuk penggunaan satu hari.

Keesokan harinya (bateri tidak dicas semula ya), aktiviti yang hampir sama dilakukan dan pada waktu petang paras bateri turun kepada 4%.

Ini amat mengagumkan kerana Vivo Nex masih bernyawa bagi penggunaan menghampiri 2 hari.

Keseluruhan


Apa yang dapat disimpulkan, Vivo berjaya mencipta satu inovasi yang menarik untuk dihidangkan kepada peminat. Bukan mudah untuk yakinkan pengguna tentang keupayaan serta ketahanan kamera keluar masuk dan hasil gambar yang memuaskan.



Harga jualan ditetapkan pada paras RM 2799. Mungkin ada yang beranggapan ia mahal tetapi jika anda mahukan kelainan pada sistem kamera swafoto, bolehlah untuk dipertimbangkan. Untuk ulasan video oleh Afiq, anda boleh tonton pada video dibawah.

https://www.youtube.com/watch?v=veT3yt8BO8Q