Vivo NEX - Peranti Dengan Kamera Periskop Bakal Diperkenalkan Pada 12 Jun Ini

Seperti yang pernah dilaporkan sebelum ini, Vivo telah mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan peranti dengan paparan skrin penuh lengkap mereka pada 12 Jun ini. Dan peranti yang sebelum ini dikenali sebagai Vivo Apex itu akan diperkenalkan sebagai Vivo NEX.



Antara keistimewaan pada peranti ini ialah ia menggunapakai sistem periskop pada kamera swafotonya. Pengguna perlu mengaktifkan kamera hadapan terlebih dahulu sebelum lensa kamera akan muncul daripada bahagian atas peranti.

Selain itu, Vivo NEX juga akan menggunakan separuh ke bawah paparan skrin sebagai pengimbas cap jari yang berada di bawah skrin. Ini bermakna pengguna boleh meletakkan jari mereka di mana-mana kawasan di antara dagu peranti hingga bahagian tengah paparan untuk menyahkunci peranti ini.



Menurut laporan, peranti ini akan hadir dengan cip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 845 serta memori sehingga 8GB RAM. Namun, terdapat juga ura-ura bahawa Vivo juga bakal melancarkan dua lagi variasi iaitu Vivo NEX A(pasaran China sahaja) dan Vivo NEX S yang merupakan variasi yang lebih bajet untuk model Vivo NEX.

Ketika artikel ini ditulis, masih belum ada informasi berkaitan pelancaran peranti ini untuk pasaran tempatan. Untuk maklumat lanjut berkenaan peranti ini, anda boleh ikuti laman sesawang Vivo serta laman Facebook rasmi mereka.

Sumber