Vivo Mempertaruhkan Peranti 5G Mereka, Hadir Secara Komersial Dalam Masa Terdekat



Semua orang sudah mengetahui tentang kehadiran 5G dan kita dapat lihat pengeluar telefon pintar berlumba-lumba menjadi yang pertama membawakan peranti dengan sokongan sambungan 5G.

Bermula dengan Samsung Galaxy S10 5G, Xiaomi Mi Mix 3 (5G), Huawei Mate X dan LG V50 ThinQ yang dipersembahkan di acara MWC Barcelona tahun ini.



Kali ini kita sekali lagi diperkenalkan dengan satu lagi peranti 5G dari Vivo, Vivo iQOO 5G dalam acara MWC edisi Shanghai 2019. Menurut pihak Vivo, peranti ini akan dipasarkan secara komersial pada suku ke-3 tahun ini.

Dalam acara yang sama, Vivo turut sama mempersembahkan beberapa fungsi baru yang akan dioptimumkan melalui bantuan sambungan 5G, termasuklah 5G Game, 5G Screen Mirroring dan 5G Easy Share dan beberapa lagi ciri lain.



Pihak mereka juga mendemonstrasikan permainan yang dijalankan di atas awan (5G Cloud Game), memberikan sambungan yang pantas dan kurang latency.

Melalui Cloud Rendering Service, video dan audio permainan di-strim secara langsung di peranti. Ini bermakna selepas ini, peranti tidak perlu lagi mengerah tenaga perkakasan seperti cip pemprosesan dan RAM untuk menjalankan permainan dengan lancar kerana ia bergantung sepenuhnya pada kelajuan internet.

Ini juga bermaksud pengguna tidak perlu lagi memuat turun sesuatu aplikasi atau permainan. Lebih jimat ruang simpanan dalam peranti.