Vivo Kongsikan Gambaran Masa Depan Inovasi 5G Mereka

Dunia hari ini telah melihat pelbagai perubahan berlaku dengan kemajuan teknologi yang kian berkembang. Jadi, demi memenuhi keperluan orang ramai untuk meningkatkan lagi sambungan berkelajuan tinggi, kita memerlukan teknologi tanpa sempadan untuk menyokong rangkaian yang sedia ada, dan dari situlah akan datangnya rangkaian 5G.

Sebagai salah satu pengeluar telefon pintar, Vivo telah memulakan hub penyelidikan 5G di Beijing, China. Berikutan dengan itu, pelancaran terbaru Vivo NEX 3 tempoh hari ia menjadikannya sebagai telefon pintar sokongan 5G pertama dilancar rasmi untuk pasaran Malaysia.



Dilengkapi dengan modem Qualcomm X50, Vivo telah menyimpulkan perancangan awal seni bina mereka dengan penyusunan penempatan 3D, reka bentuk antena frekuensi radio dan mengoptimumkan ruang bateri dalam NEX 3 untuk menyampaikan keupayaan 5G tersebut.

"Kami memperkenalkan strategi untuk memperluaskan titik akhir 5G termasuk dengan cermin kanta AR, jam tangan pintar, fon kepala dan banyak lagi, dengan menggunakan 5G sebagai ciri teras", kata Mike Xu, Ketua Pegawai Eksekutif Vivo Malaysia.



Bagi menyokong sepenuhnya perlaksanaan perkhidmatan 5G ini, pelbagai keperluan penting yang rumit telah ditambah kepada reka bentuk antena dan teknologi. Mengetahui bahawa 5G ini berfungsi untuk mencapai matlamat menghubungkan orang ramai melalui pelbagai peranti pada bila-bila masa, Vivo telah pun berkongsikan visi mereka mengenai pembangunan 5G dan bagaimana ia telah memberi pengaruh kepada era kehidupan baru di Hong Kong tahun lalu.

Pada Jun 2019, Vivo telah melancarkan inovasi mereka pada Mobile World Congress (MWC) sebagai sebahagian daripada strategi barunya untuk menghasilkan pengalaman mudah alih yang lebih baik dalam era 5G.

Walau bagaimanapun, Vivo tidak akan berhenti di sini kerana mereka akan berusaha terus untuk membangunkan teknologi yang inovatif untuk dimasukkan ke dalam produk mereka yang akan datang dengan memenuhi keperluan orang ramai sambil menguatkuasakan permohonan 5G dalam semua produk tersebut.