Vivo Diramal Yang Pertama Menggunakan Sensor Skrin Pengimbas Cap Jari Terbina Di Skrin

Minggu sudah Synaptics telah mengumumkan pengeluaran besar-besaran sensor pengimbas cap jari terbina pada skrin, disamping memberi bayangan ia bakal digunakan oleh 5 pengeluar telefon pintar utama yang lain.

Pemerhati dan peminat mula membuat andaian Samsung bakal menjadi syarikat pertama yang akan melengkapkan peranti mereka dengan teknologi berkenaan. Namun laporan dari Forbes dilihat menafikan perkara tersebut.

Laporan Forbes mengungkapkan Vivo sebagai syarikat pertama yang bakal menggunapakai sensor skrin itu. Ia adalah berdasarkan pengalaman pengarang laporan, Patrick Moorhead yang mana beliau berpeluang untuk merasai model pra-pengeluaran oleh Vivo.

Beliau menjelaskan sensor berfungsi dengan mudah dan pantas dan yakin Vivo akan menambahbaik teknologi itu sebelum dipasarkan kelak.

Hal ini bukanlah sesuatu yang menimbulkan tanda tanya semua pihak kerana, pertengahan Jun yang lalu Vivo turut mempertontonkan sebuah prototaip dengan pengimbas cap jari terbina pada skrin.

Sumber: Forbes