Vivo Apex Berkemungkinan Akan Diperkenalkan Secara Rasmi Pada 12 Jun Ini

Vivo pada bulan Mac yang lalu telah mengumumkan bahawa mereka sedang dalam proses membangunkan sebuah peranti telefon pintar konsep yang mempunyai nisbah paparan skrin tertinggi setakat ini, iaitu sehingga mencapai nisbah 91% daripada badan peranti. Projek berkenaan telah dinamakan sebagai Vivo APEX™.

Dan baru-baru ini, peranti tersebut telah diperlihatkan oleh pihak Vivo melalui sebuah video yang dimuatnaik di laman Youtube. Video tersebut telah dihasilkan bagi memperkenalkan Vivo sebagai penaja rasmi bagi kejohanan Piala Dunia FIFA 2018.

https://www.youtube.com/watch?v=_kMFLDHV8Ck

Kredit : Adobo Magazine


Peranti berkenaan merupakan sebuah peranti tanpa bezel dan takuk serta menjadi telefon pintar pertama yang menggunakan 50% daripada paparan skrin sebagai pengimbas cap jari. Pengguna boleh mengimbas cap jari pada keseluruhan bahagian separuh ke bawah paparan skrin untuk menyahkunci peranti ini.



Selain itu, kamera hadapan peranti ini juga tersimpan di bahagian dalam peranti. Ini bermakna, pengguna perlu mengaktifkan fungsi kamera hadapan peranti dahulu sebelum lensa kamera akan muncul di bahagian atas peranti. Peranti ini dijangka akan hadir dengan kamera hadapan 8MP.



Bercakap berkenaan spesifikasi, setakat hari ini masih belum ada maklumat rasmi dari pihak Vivo berkenaan spesifikasi peranti ini. Namun, ia dilaporkan akan menggunakan cip pemprosesan Snapdragon 845 serta paparan skrin 5.99 inci jenis OLED.

Sebelum ini, Vivo pernah memberi kenyataan bahawa mereka akan memulakan proses pengeluaran peranti APEX ini secara besar-besaran pada pertengahan tahun 2018, namun tiada sebarang pengumuman lanjut berkenaan tersebut.



Bagaimanapun, pihak Vivo akan mengadakan satu majlis di Shanghai, China pada 12 Jun ini dan pemerhati industri berpendapat bahawa orang ramai akan mendapat banyak maklumat berkenaan peranti ini semasa majlis itu nanti.

Sumber