Video Konsep OnePlus 7 Tampilkan Kamera Tri-Lensa, Skrin Tebuk

OnePlus yang pernah menjadi flagship killer satu masa dahulu masih lagi berjaya mengekalkan sokongan daripada peminat mereka walaupun harga yang ditawarkan pada peranti mereka bukan lagi terlalu mampu milik.

Ini kerana mereka sentiasa menawarkan kualiti dan prestasi yang cemerlang pada peranti keluaran mereka. OnePlus 7 yang akan dilancarkan tahun ini juga dijangka tidak akan mengecewakan.

Bercakap mengenainya, satu video konsep bagi peranti tersebut telah pun dimuat-naik di laman YouTube baru-baru ini dan telah menerima lebih 40 ribu tontonan.

https://youtu.be/k0-BGFcN0cM

Menurut kepada video di atas, OnePlus 7 dikatakan akan hadir dengan sistem tri-kamera utama serta rekaan skrin tebuk.

Melihat rekaan panel belakang peranti ini, ia mengingatkan kami kepada rekaan yang ada pada Oppo R17 Pro dan ia sebenarnya sudah dijangka oleh ramai pihak.

Pada bahagian bawahnya pula, dapat diperhatikan bahawa OnePlus mungkin akan mengembalikan sokongan bicu audio 3.5mm pada keluaran kali ini.

Selain itu, mereka masih mengekalkan butang Alert Slider di bahagian sisi manakala sistem cip Snapdragon 855 pula akan menyokong peranti ini.

Walaubagaimanapun, harus diingatkan imej dan rekaan yang ditampilkan dalam video tersebut hanya sekadar konsep awal peranti dan masih belum rasmi.

Kita mungkin akan mendengar lebih banyak mengenainya semasa acara MWC 2019 yang akan berlangsung bermula hujung minggu ini.

 

Sumber: T3