Video: IPhone Masih Berfungsi Dengan Baik Walaupun Terjatuh Daripada Kapal Terbang

Semua orang tahu iPhone keluaran Apple bukanlah peranti yang tahan lasak, lebih-lebih lagi jika terjatuh dari tempat yang tinggi. Kadangkala, walaupun sudah disarungkan dengan pelindung, iPhone masih juga retak atau gagal berfungsi dengan baik sekiranya terjatuh atau terhentak.

Berlainan pula dengan apa yang terjadi di Amerika Syarikat, dua kejadian yang berlaku berasingan itu membuktikan iPhone masih terselamat walaupun jatuh dari ketinggian lebih 1000 kaki.

Kejadian pertama berlaku dari jarak 450 kaki dimana Cansel Yildirim bersama pasangannya sedang merakam video ketika menaiki permainan StarFlyer. IPhone 7 tanpa sarung pelindung itu terjatuh dan pada akhir video anda boleh lihat betapa tingginya jarak buaian gantung itu dari tanah.

https://www.youtube.com/watch?v=qq8EjaGPFQw#action=share

Peristiwa kedua pula berlaku kepada Sarvinder Naberhaus dan rakannya Donna Johson. Mereka menaiki kapal terbang ringan untuk bersiar-siar di ruang udara sekitar kediaman ibu bapa beliau.

Ghairah untuk mengambil gambar, Naberhaus mengeluarkan iPhone dan peranti itu terpelanting akibat tiupan angin yang kuat.

Pada mulanya beliau menganggap iPhone itu sudah hilang namun apabila cuba mencari melalui Find My iPhone, ia berjaya ditemui dan mengejutkan, ia masih berfungsi dengan baik tanpa sebarang calar.