Video Acah Rasmi Pertama Avengers 4: Endgame Ditayangkan, Beri Bayangan Kepentingan Watak Ant-Man

Buat para peminat siri Marvel diluar sana, saya yakin kebanyakan daripada anda sudah pun menonton video acah rasmi Avengers 4: Endgame yang mula dipertontonkan semalam. Bagi yang belum, jangan risau, ini dia videonya:

https://youtu.be/hA6hldpSTF8

Sebahagian besar daripada video ini menunjukkan adiwira-adiwira Avengers yang seolah-olah sudah mengalah dalam usaha mereka menentang Thanos.

Video ini dimulakan dengan Tony Stark(Iron-Man) membuat rakaman video buat kekasihnya, Miss Potts kerana menjangkakan yang beliau akan mati tidak lama lagi. Kemudian, kita dapat lihat wajah-wajah resah daripada Captain America, Black Widow dan Dr.Banner(Hulk) dalam mengenangkan kemusnahan yang dilakukan oleh Thanos.

Namun, dalam babak terakhir video acah ini, muncul Scott Lang(Ant-Man) dengan wajah bersahaja untuk bertemu dengan Captain America dan Black Widow. Ia seolah-olah memberi bayangan yang Ant-Man akan menjadi watak yang amat penting dalam usaha mereka menewaskan Thanos.



Antara perkara lain yang mencuri perhatian peminat ialah jumlah adiwira yang berada dalam video acah tersebut. Kita hanya dapat melihat Iron-Man, Black Widow, The Hulk, Thor, Hawk Eye, Nebula dan Ant-Man sahaja.

Ini kerana kebanyakan adiwira-adiwira yang lain sudah hilang angkara Thanos. Maka, Marvel mungkin mahu mengajak anda berteka-teki mengenai apakah nasib yang menimpa adiwira-adiwira tersebut.

Filem Avengers 4: Endgame ini akan mula ditayangkan pada bulan April, namun tarikh rasminya untuk pawagam di Malaysia masih belum diketahui.

 

Sumber: Marvel Entertainment

Berkaitan