Versi "Lite" Untuk OPPO Find X2 Diperlihatkan - Bakal Guna Snapdragon 765, Sokongan 5G, Dan Bateri 4025mAh

Nampak gayanya OPPO masih belum puas melancarkan model yang terdapat dalam siri Find X2. Siri ini telah dilancarkan di Malaysia pada 10 Mac terdahulu dalam dua varian iaitu Find X2 dan Find X2 Pro. Namun kini, terdapat satu lagi varian "Lite" siri tersebut yang memfokuskan kepada spesifikasi kelas pertengahan premium.

Rekaan hadapannya sedikit berbeza dengan model Find X2 yang telah dilancarkan sebelum ini. Ia menggunakan rekaan kamera takuk dan disertakan bezel sedikit tebal di bahagian bawah peranti. Paparannya adalah berukuran 6.4 inci AMOLED dengan resolusi Full HD yang turut menyokong pengimbas cap jari di dalamnya.
Ia dijana oleh cip pemprosesan kelas pertengahan Snapdragon 765 dengan padanan 8GB RAM dan storan dalaman 128GB. Peranti ini tidak menyokong penambahan memori melalui kad microSD akan tetapi apa yang menarik adalah hanya satu slot kad SIM sahaja yang disokong.

Dengan penggunaan cip tersebut, secara tidak langsung ia akan menyokong 5G. Kamera pada bahagian belakang terdapat 4 lensa, yang mempunyai pendekatan berbeza dengan model Find X2 lain (3 lensa). Konfigurasi kameranya adalah 48 MP utama + 8 MP sudut lebar + 2 MP makro + 2 MP depth. Untuk kamera swafoto pula, ia mungkin menggunakan sensor sama seperti model Find X2 lain kerana spesifikasi yang dinyatakan adalah 32 MP.

Bateri peranti adalah berkapasiti 4,025mAh dengan pengecasan pantas 30W melalui USB Type-C. Antara ciri-ciri menarik lain adalah peranti dilengkapi dengan bicu audio 3.5mm yang tidak terdapat pada model Find X2 sebelumnya. Selain itu, terdapat juga sokongan Wi-Fi 6 dan NFC.

Oppo Find X2 Lite

Dikatakan ia akan dilancarkan di Eropah dengan harga jualan 499 euro (~RM2,347). Harga ini boleh dikatakan agak premium juga untuk sebuah peranti kelas pertengahan. Namun, jika ada peminat OPPO Find X2 yang merasakan model sebelum ini agak mahal, mungkin mereka boleh menantikan versi Lite ini untuk membelinya dengan harga yang sedikit rendah pula.

Sumber: winfuture

Berkaitan