Variasi 8GB Honor View 10 Dilancarkan 14 Ogos Ini

Honor View 10 atau V10 telah diperkenalkan buat pertama kali di Malaysia awal tahun lalu dengan sokongan memori 6GB selain muncul sebagai peranti pertama dengan teknologi AI.

Kini, setelah lebih kurang 8 bulan dilancarkan, Honor dilaporkan bakal mengumumkan variasi View 10 dengan 8GB RAM pula pada 14 Ogos ini.



Perkara tersebut telah dilaporkan oleh GSMArena pada 9 Ogos lalu. Bagaimanapun, tiada naiktaraf dari segi simpanan dalam diumumkan apabila Honor masih mengekalkan kapasiti 128GB ROM bagi peranti berkenaan.

Selain variasi 6GB RAM, Honor View 10 turut dilancarkan dengan satu lagi variasi iaitu dengan memori 4GB. Namun, variasi tersebut tidak dibawa masuk secara rasmi ke pasaran tempatan.



Bagi variasi 8GB RAM ini pula, ia masih belum dapat dipastikan sama ada akan ditawarkan di Malaysia secara rasmi atau tidak. Mungkin kita akan dapat mendengar sepatah dua kata dari Honor Malaysia tidak lama lagi.

Untuk pengetahuan anda, ia bakal dipasarkan di pasaran China terlebih dahulu. Akan tetapi, harga pasarannya masih lagi tidak diketahui setakat ini.

 

Sumber