UUM, USM, UiTM Dan UMP Mula Laksana Kuliah Dalam Talian Akibat Covid-19

Pada perutusan khas berkenaan Covid-19 yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia pada hari semalam, penutupan institut pengajian tinggi hendaklah dilakukan oleh seluruh universiti awam dan juga swasta.

Beberapa buah universiti seperti USM, UUM, UiTM dan UMP telah mendapat arahan untuk menjalankan kesemua kuliah secara dalam talian. Ia juga merangkumi tugasan, kuiz, pembentangan projek serta peperiksaan akhir.

Para pelajar diarahkan untuk belajar secara dalam talian di kampung halaman masing-masing. Pensyarah juga diminta untuk memuat naik bahan mengajar dan pembelajaran ke dalam portal universiti yang telah disediakan.

Hal ini berlaku bagi mengelakkan lagi penularan wabak tersebut kepada pelajar dan kakitangan universiti. Semua komunikasi serta urusan dengan pihak universiti hendaklah dilakukan dalam talian atau laman sosial.

Selain itu, aktiviti luar termasuk acara sukan seperti karnival sukan, pertandingan dan sebagainya ditangguhkan sebagai usaha mencegah jangkitan Covid-19. Majlis Konvokesyen di Universiti Teknologi Mara yang telah dijadual pada 24 Mac ini turut ditangguhkan.

Sumber : Bernama