USB Paradox - Bila Penciptanya Tahu Dari Awal Lagi Ia Akan Menyusahkan Anda

Cucuk USB kali pertama, tak boleh. Terbalikkannya, lagi tak boleh, tetapi kali ke-3 tiba-tiba muat pula.

Ini adalah apa yang dipanggil sebagai 'USB paradox', iaitu merupakan terma yang digunakan untuk menggambarkan kepayahan mencucuk USB-A kepada lubangnya sehingga 3 kali padahal hanya ada 2 posisi cucuk sahaja.

Ramai yang sudah mesra dengan pengalaman ini banyak kali sepanjang hidup sehinggalah ia dijadikan meme di seluruh internet.



Walaupun sekarang USB-C sudah banyak digunakan dan memperbaiki isu rekaan USB-A ini, USB-A terlebih dahulu sudah bertapak lama dalam industri dan menghantui pengguna sekian lamanya.

Ada juga yang berseloroh USB-A sebenarnya mempunyai 3 posisi sebenar yang mana ia sememangnya memerlukan kemasukan kali ke-3 untuk betul-betul muat ke dalam lubang. Sudah tentu ini hanya sekadar jenaka, namun anda fahamlah mengapa jenakanya sampai tahap sebegini.

Punca permasalahan USB paradox ini adalah datangnya dari rekaan USB-A yang nampak seperti simetri tetapi sebenarnya tidak.

Berbeza dengan rekaan HDMI yang secara jelas boleh dibezakan mana atas dan mana bawah, rekaan USB-A memang mencari nahas kerana tidak semudah itu untuk membezakannya.

Kapsyen: Rekaan USB-A yang bermasalah


Tahukah anda, bahawa pereka USB-A sendiri sudah tahu sejak awal lagi bahawa USB-A ini akan menyusahkan anda.

Mereka pun sudah tahu bahawa rekaan USB-A yang boleh diterbalikkan sebenarnya lebih memudahkan pengguna untuk jangka masa panjang. Namun, mereka tidak meneruskan rekaan boleh terbalik ini kerana ia memerlukan rekaan litar dan wayar lebih kompleks serta meningkatkan kos penghasilan.

Tambahannya, mereka takut untuk mengeluarkan kos yang tinggi untuk sesuatu yang baharu. Itulah sebabnya mengapa rekaan USB-A tidak boleh diterbalikkan.

Rekaan yang lebih menjimatkan kos telah dipilih. Pada tahun 1998, Steve Jobs telah memperkenalkan iMac G3 yang pertama dengan lubang USB dan sehingga kini menjadi sesuatu yang lazim dalam industri.

Kapsyen: iMac G3


USB-C membuat kemunculan pada tahun 2014 dan hadir sebagai 'hero' penyelamat keadaan terutamanya rekaannya yang boleh diterbalikkan.

Kapsyen:  USB-C yang boleh diterbalikkan. Tiada lagi masalah USB paradox


Walaupun bukan semua lubang USB pada masa kini menggunakan jenis C, gajet yang dikeluarkan oleh pengeluar semakin banyak menggunakannya bermakna satu hari nanti USB-A akan pupus tidak lagi digunakan.

Rujukan:

  • Design News: Bagaimana Ajay Bhatt Mereka USB Sehingga Menjadi Lazim

  • How to geek: USB Paradox: Mengapa Sambungan USB Perlukan 3 Kali percubaan

  • NPR: Salah Cucuk USB? Ini Sebabnya

Berkaitan