Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal Bersaing Dengan 32 Filem Animasi Antarabangsa Untuk Ke Oscar 2020

Filem tersebut dinilai untuk tercalon ke anugerah berprestij itu.


Filem animasi popular tempatan, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal melakar sejarah apabila disenaraikan untuk dinilai sebagai calon Anugerah Academy atau Oscar 2020.

Menurut kenyataan penerbit filem tersebut, Les Copaque, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal telah dicalonkan bersama 32 lagi filem animasi antarabangsa lain untuk dinilai seterusnya tersenarai sebagai calon akhir dalam anugerah berprestij itu.

https://www.instagram.com/p/B3tQqFWpEwG/?utm_source=ig_embed&utm_campaign=dlfix

Pencalonan ini menjadikan filem terbitan Les Copaque itu akan bersaing dengan filem-filem animasi antarabangsa yang lain seperti Frozen 2, Toy Story 4 dan Angry Bird 2.

Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal berkisahkan pengembaraan yang menemui penonton di seluruh negara pada 21 Mac lalu.

Ia menceritakan kisah pasangan kembar itu bersama kawan mereka di Inderaloka dan mereka perlu mempertahankan kerajaan itu daripada raja jahat yang berniat ingin memusnahkannya.

Filem yang menelan belanja RM20 juta itu baru-baru ini telah diangkat sebagai Filem Cetera Terbaik di Festival Filem Animasi Antarabangsa 2019 (Animaze) di Montreal, Kanada.

Naskhah arahan bersama Adame Amiruddin, Syed Nurfaiz Khalid Syed Ibrahim dan Ahmad Razuri Roseli itu bersaing bersama 65 filem dari seluruh dunia.

Selain menembusi pasaran China, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal turut ditayangkan di Indonesia, Vietnam, Uzbekistan dan India.

Sepanjang tayangannya di Malayisa sahaja, filem animasi 3D buatan Malaysia ini telah berjaya mengaut kutipan lebih daripada RM26 juta.

Kapsyen: Kredit: Finas


Sumber: Malaysia Kini