Unifi Perkenal Mobile Travel Pass, Data Tanpa Had Untuk Pelancong Serendah RM30

Sempena tahun melawat Malaysia 2020, Unifi telah melancarkan pelan Travel Pass 30 dan Travel Pass 60. Sebagai inisiatif Rakan Strategik Telekomunikasi bagi Visit Malaysia 2020, pelan ini adalah untuk pelancong yang datang dari luar negara dengan menawarkan data tanpa had bermula dari harga RM30.

Unifi Mobile Travel Pass

Pelan Travel Pass 30 menawarkan akses selama 7 hari dan 15 hari bagi Travel Pass 60. Kedua-dua pelan ini termasuk dengan penggunaan data tanpa had, RM5 kredit dengan masa panggilan 20sen/minit dan 10sen/SMS.

Secara teknikal, akses menggunakan pelan ini bermula pada tarikh pengaktifan SIM tersebut. Dalam senario lain, jika anda menerima SIM tersebut namun tidak mengaktifkannya, peraturan 30 hari auto-aktif akan digunakan.

Unifi Travel Pass

Hanya pelancong yang berumur 12 tahun dan ke atas boleh mendaftar pelan ini, dengan had pendaftaran satu sim sahaja bagi setiap ID Passport.

Bagi pelancong yang berminat, mereka boleh membuat pembelian secara atas talian dan mengambil kad SIM tersebut dalam masa 30 hari dari tempahan dibuat, di Pusat Maklumat Pelancongan KLIA atau KLIA 2 bermula jam 7 pagi sehingga 11 malam.

Sumber: Unifi, Unifi Community