(Ulasan)Huawei Mate 20 Pro - Kamera Yang Disusun Petak Dengan Hasil Gambar Yang Terbaik

Mula dipasarkan di Malaysia sejak penghujung Oktober 2018, nama Huawei Mate 20 Pro masih lagi menjadi sebutan peminat tempatan.



Antara sebabnya adalah penurunan harga jualan yang diumumkan oleh Huawei Malaysia pada 1 Mac lalu. Ketika pengenalan, ia dijual pada harga RM 3599 untuk versi RAM 6GB/128GB yang mana kini ia diletakkan pada harga RM2999.

Terdahulu, Huawei Mate 20 Pro juga diangkat sebagai Telefon Pintar Terbaik pada acara MWC 2019 berdasarkan pemilihan juri melibatkan beberapa aspek seperti prestasi, sistem pengimejan, kaedah pengecasan yang inovatif serta rekaannya sendiri.

Adakah ia masih berbaloi untuk dimiliki sekarang? Mari kita ikuti ulasan kami mengenai Huawei Mate 20 Pro.

Spesifikasi yang dibawa oleh Huawei Mate 20 Pro

Sebelum kita pergi lebih lanjut berkenaan peranti ini, kita teliti semula spesfikasi yang dilengkapkan pada peranti ini.

  • Skrin paparan AMOLED QHD+ 6.39 inci dengan resolusi 3120 x 1440

  • Cip pemprosesan Kirin 980

  • RAM 6/8GB

  • Storan 128GB/256GB dengan sokongan kad NanoSD sehingga 256GB

  • Tiga kamera belakang 40MP+20MP+8MP

  • Kamera swafoto 24MP

  • Bateri 4200mAh dengan sokongan pengecasan pantas SuperCharge 2.0

  • Pengecasan tanpa wayar Qi 15W

  • USB-C, NFC, Bluetooth 5.0

  • Pensijilan IP68


Rekaan luar

Luaran peranti ini tampak lebih premium dari siri Mate terdahulu ditambah pula dengan sisi melengkung seperti yang boleh kita lihat pada Samsung Galaxy S9.Takuknya pula lebih lebar dari model "adik", Mate 20, kerana didalamnya diisi dengan sensor swafoto 24MP, proximity, flood illuminator, ambient light dan kamera inframerah. Ia turut menyokong sistem imbasan wajah 3D.

Sistem ini mampu mengenalpasti wajah dalam keadaan terang dan gelap. Tiada masalah jika anda memakai cermin mata atau topi, ia masih mampu mengecam wajah.



Walaupun menggunakan tiga kamera belakang, sensor tersebut tidak diletakkan berbaris seperti Huawei P20 Pro tetapi disusun berbentuk petak dengan fungsi flash.



Bagi sistem sekuriti, ia menggunakan sistem pengimbas cap jari optikal terbina pada skrin. Pada pendapat kami kedudukannya agak tinggi sedikit tetapi berfungsi mengimbas dengan baik. Disisi kanan pula kelihatan butang kuasa dengan kemasan warna merah serta butang pelaras kelantangan bunyi berada diatasnya.



Slot kad dwi sim Nano dan port pengecasan USB-C diletakkan pada sisi bawah peranti sementara sisi atas pula adalah fungsi IR Blaster untuk membolehkan anda mengawal peranti lain seperti TV dan pendingin hawa.

Menyokong sistem audio stereo, tidak seperti peranti lain yang menyediakan ruang pembesar dibawah peranti kerana Huawei meletakkanya pada bahagian dalam port USB-C bagi menguruskan bunyi bass dan kelantangan sementara bahagian earpiece untuk sokongan frekuensi yang lebih tinggi.

Unit ditangan kami adalah Twilight sementara ia juga tampil dengan pilihan warna lain seperti Black dan Emerald Green.

Paparan AMOLED dan Audio Stereo Sokongan Dolby Atmos



Seperti yang dinyatakan diatas, Huawei Mate 20 Pro dipasang dengan skrin paparan AMOLED QHD+ yang menawarkan dua mod warna iaitu Normal (sRGB) dan Vivid(DCI-P3). Pada kedua-duanya pula menampilkan tiga lagi mod Colour Temperature yang boleh dilaras mengikut kesesuaian mata anda.

Anda juga boleh menetapkan ciri Natural Tone yang apabila diaktifkan, ia akan melaras suhu warna secara automatik berdasarkan pencahayaan sekitar untuk pengalaman membaca yang konsisten

Pada ciri bahagian Screen Resolution, anda disediakan dengan dua pilihan iaitu Smart Resolution berfungsi melaras resolusi secara automatik untuk menjimatkan bateri. Satu lagi, anda boleh melarasnya secara manual dengan tiga pilihan resolusi iaitu HD+ (1560 x720), FHD+ (2340 x 1080) dan paling tinggi adalah WQHD+(3120 x 1440).



Disember lalu, Huawei telah mengaktifkan ciri HD dan HDR untuk Netflix melalui sokongan Widevine L1, yang mana pada awalnya pengguna tidak mampu menonton kandungan HD dan HDR. Dengan ini anda bolehlah melayan kandungan Netflix dengan paparan yang lebih mengasyikkan.

Jika dibandingkan Mate 20 Pro dengan Galaxy S10+, kualiti paparan yang dihidangkan agak setara tetapi penggunaan dibawah cahaya matahari, paparan model Galaxy S itu dilihat lebih cerah dan jelas sedikit.

Sistem audio stereo Huawei Mate 20 Pro didokong oleh Dolby Atmos. Dibawahnya terdapat tiga mod, Smart, Film dan Music yang boleh dipilih bersesuaian dengan telinga anda. Sekiranya mahu menyahaktifkan tetapan Dolby Atmos, anda perlu memasang fon telinga terlebih dahulu.



Prestasi audio tidak menghampakan dengan kualiti yang dihasilkan baik. Tetapi ia sedikit kurang pada kelantangan bunyi apabila dibandingkan dengan Galaxy Note 9 dan hasilan bunyi bass, agak kurang mengancam pada pendengaran penulis.

Prestasi yang ditawarkan dari Kirin 980

Beralih kebahagian dalaman peranti, Huawei Mate 20 Pro dikuasakan dengan cip Kirin 980 bersama padanan Mali-G76 MP10 dibahagian grafik. Huawei menyatakan ia 46% lebih baik dan meningkatkan kecekapan kuasa dua kali berbanding generasi terdahulu, Mali G72 yang ada pada Kirin 970.

Sistem memori pula menampilkan gandingan RAM 6/8GB dan storan dalaman 128GB/256 dengan sokongan NM Card. Fungsinya sama seperti MikroSD biasa tetapi dalam saiz yang lebih kecil, sebesar kad SIM nano.

Berdasarkan pengalaman menggunakannya, prestasi memberansangkan ditunjukkan peranti ini.Kerjasama antara Kirin 980 dan RAM yang ditawarkan  mampu memberikan proses pelancaran dan pertukaran aplikasi dibuat dengan baik.



Tiada masalah untuk memilih tetapan tertinggi pada aplikasi permainan.

Antaramuka EMUI 9.0

Huawei Mate 20 Pro menjalankan antaramuka EMUI 9.0 berasaskan Android 9 Pie.

Ia dibekalkan dengan ciri-ciri seperti Always On Display, navigasi secara sentuhan, sembunyikan takuk, screenshot dengan ketukan satu buku jari (knuckle), rakam video pada paparan dengan ketukan dua buku jari, seret buku jari untuk split screen dan banyak lagi.



Tidak ketinggalan juga ciri Easy Projection, membolehkan anda menyambungkan Huawei Mate 20 Pro ke paparan yang lebih besar seperti monitor. Anda hanya memerlukan penyambung USB-C ke HDMI untuk melakukannya.

Kamera yang masih bertakhta di kedudukan teratas senarai DxOMark

Tangga teratas dalam carta penanda aras DxOMark masih lagi kepunyaan Huawei. Mate 20 Pro turut berkongsi kedudukan yang sama dengan model "saudaranya", P20 Pro dan sebuah lagi, Samsung Galaxy S10+.

Tetapan kamera lebih kurang sama dengan P20 Pro tetapi tanpa lensa monokrom yang mana ia digantikan dengan ultra wide-angle 16MP.



Ciri yang ada pada kamera Huawei Mate 20 Pro.

Tiga kamera terdiri daripada kombinasi lensa utama 40MP (f/1.8), lensa ultra wide-angle 2oMP (f/2.2) dan lensa telefoto 8MP (f2.4) turut disertakan dengan OIS.

Bagi rakaman video, ia ditetapkan pada 1080p/30 fps dan boleh ditingkatkan keupayaan rakaman kepada 4K dengan kadar 30fps.

Untuk rakaman Potrait, kesan latarbelakang mampu diubah-ubah mengikut citarasa dengan pilihan Photo Booth, Stained Glass, Folding Blinds, Pop, dan Stage Lighting.



Kecerdasan pintar sistem kamera ini dipertingkatkan lagi dengan kehadiran Master AI. Mampu mengesan sehingga 1500 subjek dan suasana berbeza seperti manusia, pokok bangunan dan lain-lain.







Imej untuk ciri zoom 0.6x (wide), 1x (normal) dan 3x (optikal). Kamera Huawei Mate 20 Pro juga mempunyai zoom hybrid 5x sehingga 10x zoom digital.

Bateri boleh dicas penuh dalam masa lebih kurang 1 jam

Pengguna masa kini sangat memerlukan bateri kapasiti besar disamping kebolehan mengisi kuasa dengan pantas.

Huawei Mate 20 Pro dibekalkan dengan bateri berkapasiti 4200mAh yang turut ditemani dengan pengecasan pantas 40W. Dicas dari 0% hingga ke 100%, ia hanya mengambil masa sekitar 1 jam 4 minit.

Penggunaan seharian yang agak berat seperti menggunakan aplikasi media sosial, melayari internet, dua atau tiga kali sesi bermain permainan seperti PUBG, menonton Netflix, Huawei Mate 20 Pro boleh bertahan menghampiri setengah hari. Ia bergantung kepada cara anda menggunakannya tetapi apa yang dapat dipastikan, bahagian bateri ini tidak mengecewakan.

Selain berupaya dicas dengan pantas, ia juga mempunyai sokongan pengecasan tanpa wayar dengan daya 15W. Melaluinya juga, kuasa bateri boleh dikongsikan dengan peranti lain dengan syarat menyokong ciri pengecasan tanpa wayar.



Keseluruhan

Pada pendapat kami, Huawei Mate 20 Pro masih lagi berbaloi untuk dibeli ketika ini.

Prestasi bawaan Kirin 980 yang mempermudahkan sistem berjalan dengan lancar, gabungan tiga kamera dengan hasil gambar yang menakjubkan, bateri yang mampu bertahan lama disamping keupayaan isian kuasanya yang pantas dan kebolehan dicas tanpa wayar. Tidak hairanlah ia digelar telefon pintar terbaik pada acara MWC 2019 yang lepas.



Namun begitu, beberapa penawaran yang dibuat oleh pengeluar lain baru-baru ini dilihat mampu mencabar Huawei Mate 20 Pro. Peranti ini kini dijual pada harga tempatan RM2999.