Xiaomi Smart Air Purifier 4 Pro adalah pembersih udara terbaharu yang dikeluarkan oleh Xiaomi buat pasaran Malaysia.
Sebagai sebahagian daripada barisan Siri 4, varian Pro ini dianggap tercanggih dari barisan tersebut, dan di sini ingin saya ulas pengalaman sepanjang kami menggunakannya di pejabat.
Spesifikasi Xiaomi Smart Air Purifier 4 Pro
- Lebar: 10.8 inci
- Ketinggian: 26.8 inci
- Berat: 6.8kg
- Penapis: HEPA, Karbon, Ion Negatif
- WiFi: Ya
- Liputan ruang: 646 kaki persegi
- Harga: RM1,099
Reka bentuk
Dari segi reka bentuk, tidak banyak perubahan dapat dilihat berbanding model sebelumnya.
Xiaomi Smart Air Purifier 4 Pro kali ini masih menggunakan reka bentuk ‘menara’ sfera yang tinggi, dengan sisi di bahagian bawah dibalut dengan lubang untuk pengambilan udara yang kotor.
Paparan OLED baharu diletakkan di bahagian hadapan untuk pemantauan, dan lubang pengeluaran udara diletakkan di bahagian atas, menghadap ke atas.
Di bahagian belakang, anda akan menemui sensor dwi-kesan PM2.t/PM10, betul-betul di atas slot dulang tempat penapis HEPA dipasang. Di bahagian bawah, terdapat tapak bulat yang dilapis dengan getah, bersama dengan port kuasa.
Tidak banyak yang boleh dikatakan tentang reka bentuknya, kecuali ia kelihatan simple dan kemas lebih-lebih lagi dengan kemasan putih matte.
Pengalaman mengguna
Xiaomi dikenali bukan sahaja untuk telefon pintar mereka, tetapi juga peralatan rumah pintar, dan penapis udara pintar adalah satu satu produk terawal dalam kategori tersebut.
Untuk pejabat seperti kami yang belum pernah menggunakan apa-apa penapis udara, Xiaomi Smart Air Purifier 4 Pro ini sangat mudah untuk digunakan.
Proses pemasangan dan pengaktifan penapis ini ialah proses yang mudah, hanya perlu keluarkannya dari kotak, palamkan kord kuasa, buka bungkus pada penapis HEPA 13, masukkan semula dan hidupkannya.
Langkah seterusnya ialah memasang aplikasi Xiaomi Home dan memasangkan penapis ini ke peranti, memberikan kawalan ke atas penapis seperti mengemaskini perisian, menyediakan jadual, mengkonfigurasi automasi rumah, rutin dan senario, dan banyak lagi.
Melalui aplikasi itu juga, kami boleh memantau maklumat terperinci berkaitan kualiti udara di ruang kediaman anda.
Terdapat juga maklumat seperti suhu, tahap kelembapan, dan anggaran hari yang tinggal untuk penapis HEPA 13. Ciri-ciri ini sangat berguna supaya dapat ketahui dengan tepat bila masa yang sesuai untuk menukar penapis.
Pendek kata, tiada pengetahuan teknikal diperlukan dalam mengendalikan Xiaomi Smart Air Purifier 4 Pro melalui aplikasi ini.
Antara yang menarik perhatian saya ialah, penapis ini juga boleh dihidupkan dan dimatikan hanya menggunakan aplikasi tanpa perlu pergi ke penapis dan sentuh on/off.
Yang penting, hanya pastikan suis palam penapis dihidupkan dan dihubungkan dengan WiFi yang sama dengan telefon yang menjalankan aplikasi Xiaomi Home sahaja.
Prestasi Xiaomi Smart Air Purifier 4 Pro
Mungkin tidak berapa adil untuk bandingkan penggunaan di pejabat dengan penggunaan di rumah kerana persekitaran udara di rumah tidak ‘sebersih’ udara di pejabat.
Kawan sekerja saya telah mencuba ‘vaping’ secara langsung dan secara tidak langsung kepada penapis, dan ia mengambil masa kurang daripada 3 saat untuk memulakan proses penulenan (purification).
Boleh dikatakan tindak balasnya hampir serta-merta, dan proses penulenan mengambil masa kira-kira 10 saat.
Kekuatan sebenar Xiaomi Smart Air Purifier 4 Pro ialah sistem penapisannya, dan ia menggunakan penapis tiga dalam satu, terdiri daripada penapis utama, penapis kecekapan tinggi Xiaomi sendiri, serta penapis karbon yang memerangkap bau.
Ketiga-tiga penapis ini berfungsi bersama bukan sahaja membersihkan habuk dan bau, ia juga menghilangkan asap dan bulu.
Berdasarkan pengalaman seorang lagi rakan sekerja saya yang juga memiliki penapis yang sama di rumah, dia dapati sejak adanya Xiaomi Smart Air Purifier 4 Pro ini, isterinya yang dulu sering bersin kerana sensitif dengan habuk, kini sudah berkurangan bersinnya.
Dari segi bunyi pula, peranti ini hampir tidak mengeluarkan bunyi, kecuali apabila kipas diaktifkan untuk membersihkan udara.
Walaupun dalam mod kelajuan kipas tinggi, bunyinya masih boleh diterima dan tidak mengganggu. Jika inginkan yang lebih sunyi, boleh hidupkan mod malam, dan ia akan mematikan paparan OLED, dan merendahkan tahap hingar, lalu berfungsi secara senyap.
Rumusan
Xiaomi Smart Air Purifier 4 Pro secara keseluruhannya berfungsi dengan baik untuk membersihkan udara di ruangan yang besar, selain sangat mudah untuk digunakan dan dikawal.
Penapis udara pintar Xiaomi ini boleh didapatkan pada harga RM1,099 di gedung Lazada Xiaomi dan Shopee Xiaomi, atau pautan di bawah:
- Lazada – https://invol.co/clc6yq3
- Shopee – https://invle.co/clc6ysa