(Ulasan) Wiko View 4 Lite - Peranti Kelas Permulaan Dengan Harga Bawah RM400

Pasaran telefon pintar pertengahan dan permulaan tempatan sedia dibanjiri dengan pelbagai jenama. Antaranya adalah Wiko yang sedia membuat penawaran pelbagai model. Jika tahun lalu membawakan Wiko View 3 Lite, siri tersebut kini dikemaskini dengan pertaruhan View 4 Lite pula.

Berkesempatan untuk menggunakan peranti untuk tempoh masa kurang seminggu, ini merupakan ulasan kami mengenai peranti dari Wiko ini.

Spesifikasi



  • Paparan skrin 6.52 inci HD+

  • Cip pemprosesan MediaTek Helio A25

  • RAM 2GB

  • Storan 64GB (sokongan kad MikroSD sehingga 256GB)

  • Wiko UI dengan sistem operasi Android 10

  • Dwi kamera belakang 13MP+2MP

  • Kamera swafoto 5MP

  • Bateri 4000mAh dengan pengecasan mikro-USB (7.75W)


Rekaan luar


Plastik merupakan bahan yang dipilih untuk melindungi bahagian belakang peranti. Dari segi rekaan luar, peranti ini kelihatan agak ketinggalan sedikit. Namun dengan berat 158gram, ia merupakan sebuah peranti yang cukup ringan serta kemas dan selesa apabila dipegang.



Menggunakan skrin jenis LCD HD+, ia mempunyai takuk yang minima untuk diisi lensa kamera hadapan 5MP, ia memberikan paparan yang lebih luas. Panel belakang plastik dengan tekstur matte ini dipasang dengan dua kamera 13MP+2MP.



Kedudukan butang kuasa dan pelaras kelantangan bunyi berada di sebelah kanan. Sementara di bahagian kiri terdapat butang Google Assistant serta slot dwi-SIM nano dan satu slot kad MikroSD. Dengan sokongan kad MikroSD, anda boleh menambah memori sehingga 256GB.



Di bahagian bawah terdapat port pengecasan mikro-USB dan corong pembesar suara serta bicu audio 3.5m berada di bahagian atas.



Wiko View 4 Lite hadir dengan 3 pilihan warna iaitu Deeep Gold, Deep Blue dan seperti dalam gambar adalah Deep Green.

Sistem Operasi dan Prestasi


Peranti ini menggunakan sistem operasi Android 10 yang ditambah dengan sedikit ciri-ciri daripada Wiko sendiri. Antara ciri-ciri ini adalah sistem navigasi yang boleh dipilih mengikut keselesaan anda iaitu gerakan navigasi atau butang navigasi.



Melalui penggunaan cip Helio A25 dan RAM 2GB ini, ada pengalaman yang kurang enak ketika menguji peranti ini. Oleh kerana hanya mempunyai RAM sebesar 2GB, peranti ini tidak mampu menampung aplikasi yang terlalu banyak pada background. Sebagai contoh, jika anda membuka lebih dari 4 aplikasi, ia akan mematikan aplikasi lain.



Peranti ini kurang sesuai untuk digunakan bagi permainan video berat seperti PUBG dan Mobile Legends kerana mempunyai prestasi grafik yang kurang memuaskan. Anda perlu meletakkan tetapan grafik pada tahap yang rendah untuk mendapatkan frame rate yang konsisten.

Namun, bagi permainan seperti Candy Crush Saga dan sebagainya, ia masih baik untuk dimainkan dengan menggunakan peranti ini. Penggunaan aplikasi media sosial seperti Facebook, Instagram dan sebagainya berjalan lancar walaupun permulaannya agak perlahan.



Di bahagian skrin, walaupun mempunyai penghasilan warna yang kurang mengancam, peranti ini masih memaparkan kandungan yang baik dengan saiz 6.52 inci. Kepuasan bagi tontonan video juga masih ada.



Seterusnya, peranti ini hanya mempunyai satu tetapan sekuriti biometrik iaitu melalui imbasan wajah. Walau bagaimanapun, operasi pengesahan melalui imbasan wajah ini dapat dibuat dengan kadar yang agak pantas dikawasan cukup cahaya. Bagi kawasan sedikit gelap ia mengambil sedikit masa untuk mengesan wajah dan adakalanya gagal membuat imbasan.



Dari segi audio, ia boleh dikelaskan sebagai sederhana, bunyi bass yang dirasakan kurang enak dan tidak selantang pesaing dalam kelas permulaan yang lain.

Kamera


Wiko View 4 Lite mempunyai dwi-kamera belakang dengan 13MP kamera utama dan 2MP (depth) serta kamera hadapan 5MP. Ia dimuatkan dengan ciri-ciri termasuk mod AI, Face Beauty, HDR, Slow Motion, Bokeh, Google Lens dan Live Filter.



Dengan sensor 13MP, peranti ini mempunyai digital zoom sehingga 4x.







Bagi kamera hadapan, gambar yang dihasilkan terlalu menonjol dengan warna yang sedikit tawar.



Penggunaan kamera bokeh pula menghasilkan imej yang agak baik bagi keadaan yang menerima pencahayaan cukup.


Bateri


Peranti ini dimuatkan dengan kapasiti bateri 4000mAh. Tanpa pengecasan pantas dan dengan hanya menggunakan port micro-USB, tempoh masa sekitar 2 jam 30 minit diperlukan untuk pengecasan penuh dari 0%.

Walaupun, mengambil masa yang agak lama untuk isian penuh, Wiko View 4 Lite mampu menjana kuasa bateri menghampiri hari kedua. Tetapi ia bergantung kepada gaya penggunaan masing-masing.

Penutup




Jika dibandingkan dengan View 3 Lite yang lepas, penawaran kali ini adalah lebih baik dengan penggunaan cip yang lebih baik dan penambahan storan. Ia dilihat sesuai untuk pengguna yang mahukan peranti kedua cukup dengan fungsi asas, atau untuk kegunaan anak-anak mahupun diberikan kepada ibu bapa.

Jadi, dengan tanda harga RM399, spesifikasi dan prestasinya adalah berbaloi bagi anda yang mencari peranti kelas permulaan di bawah tanda harga RM400.

Wiko View 4 Lite bakal dilancarkan secara eksklusif di Malaysia menerusi kedai rasmi Wiko di Lazada dengan harga istimewa RM339 (jimat RM60) semasa Flash Sale bermula 17 sehingga 19 Mac 2020.