(Ulasan) Siri Huawei MediaPad M5 – Tablet Yang Memimpin Keluarga Android

Tablet suatu ketika dulu pernah dianggap sebagai satu teknologi baru yang akan menggabungkan fungsi komputer dan telefon pintar dalam satu peranti yang sama. Namun sehingga kini, tiada tablet yang benar-benar mampu untuk mencapai tahap tersebut.

Hakikat tersebut menyebabkan beberapa jenama besar mula mengurangkan perhatian mereka terhadap barisan peranti ini. Walaupun tetap menghasilkan tablet, para pembangun tidak memberi keutamaan kepadanya berbanding barisan peranti lain seperti telefon pintar.

Namun tidak bagi Huawei. Mereka masih memberi kepercayaan pada tablet untuk terus berusaha mendapat tempat dalam hati pengguna peranti pintar seluruh dunia.

Ia dibuktikan apabila mereka memperkenalkan tiga edisi tablet, di mana dua MediaPad M5 masing-masing dengan skrin 8.4-inci dan 10.8-inci serta MediaPad M5 Pro yang hadir dengan stylus.

Pada kiriman kali ini, saya akan kongsikan pengalaman saya dalam menggunakan tablet MediaPad M5 Pro dan MediaPad 8.4-inci dengan anda. Ia bertujuan untuk menganalisa keluarga tablet ini secara keseluruhan selain tidak terdapat banyak perbezaan antara kedua-dua model ini.

Di setiap kategori ulasan, saya akan mulakan dengan MediaPad M5 Pro terlebih dahulu sebelum berbincang mengenai MediaPad M5 8.4-inci atau juga dikenali sebagai M5 8. Jom baca ulasan penuh ikhlas ini tanpa rasa ragu-ragu.

REKAAN LUARAN

Reka bentuk luaran MediaPad M5 Pro kelihatan seperti sebuah tablet premium lain yang ada di pasaran hari ini. Seperti salah satu daripada model MediaPad M5, M5 Pro juga hadir dengan saiz 10.8.

Model ini hadir dengan reka bentuk lengkung di keempat-empat bucunya. Bingkai yang mengelilingi skrin IPS LCD-nya pula agak tebal. Tablet ini direka khas untuk penggunaan secara landskap dengan nisbah paparan 16:10 yang amat sesuai untuk tontonan video.

Sensor pengimbas cap jari model ini terletak di bahagian sisi sebelah kanan skrin paparan dan kamera hadapan MediaPad M5 Pro ini terletak di bahagian atas skrin paparan, manakala di bahagian bawahnya pula diletakkan jenama HUAWEI.

Beralih ke bahagian belakangnya pula, kamera utama peranti ini dipasang di bucu atas bahagian kanan panel belakang peranti. Camera bump yang ada juga agak tebal.

Pembesar suara pula diletakkan di sebelah atas dan bawah, sambil butang kuasa, kawalan audio, port pengecasan USB Type-C dan slot kad sim berada di bahagian sisi kiri panel belakang peranti.

Tidak lupa juga, Huawei telah menggunakan panel kaca 2.5D yang sama seperti yang digunapakai pada peranti telefon pintar buat kali pertama dalam binaan pada MediaPad M5 Pro ini. Dengan ketebalan 7.3mm serta berat sekitar 498 gram, MediaPad M5 Pro ini sangat selesa dipegang dan secara amnya, rekaan luaran model ini agak menarik.

Bagi MediaPad M5 8 pula, ia direka khas bagi penggunaan secara menegak di mana ia kelihatan sama seperti kebanyakan peranti telefon pintar di luar sana. Cuma jelas, ia bersaiz lebih besar.

Pada asasnya, reka bentuk M5 8 adalah sama seperti M5 Pro di mana pembesar suara terletak di sisi atas dan bawah peranti, kamera utama yang sama namun dipasang pada bucu atas sebelah kiri peranti. Seperti M5 Pro, tablet ini juga tidak mempunyai bicu.

ANTARAMUKA & NYAHKUNCI

Bagi bahagian ini, saya akan bincangkan kedua-dua model sekaligus kerana tiada perbezaan ketara di antara keduanya. Seperti keluaran-keluaran Huawei yang lain, kedua-dua peranti ini juga dijalankan dengan antaramuka EMUI 8.0 berlandaskan Android 8.0 Oreo dari dalam kotak.

Maka, ianya tidak jauh beza dengan antaramuka yang sering kita lihat pada telefon-telefon pintar Huawei sebelum ini. Jumlah bloatware yang didatangkan juga tidaklah terlalu banyak.

Anda boleh memilih untuk menggunakam talam aplikasi atau paparan standard melalui laman tetapan. Seperti yang pernah saya nyatakan, saya lebih memilih paparan standard kerana ia nampak lebih kemas.

Fungsi yang saya gemari pada peranti keluaran Huawei iaitu Private Space turut hadir pada MediaPad M5 kali ini. Selain itu, peranti ini juga menyokong fungsi resolusi pintar. Ia akan membolehkan resolusi peranti diselaraskan secara automatik bagi menjimatkan penggunaan bateri.

Bagaimanapun, fungsi bantuan pintar pada tablet ini agak sedikit berbanding yang ada pada telefon pintar.

Bercakap mengenai fungsi tersebut, ciri keselamatan pada peranti ini hanya menyokong sistem nyahkunci secara imbasan cap jari sahaja. Tiada pengesan wajah disediakan. Imbasan cap jarinya pula dapat dijalankan dengan baik.

SPESIFIKASI DALAMAN

Kebolehan sesebuah peranti itu lebih diuji pada spesifikasi dalamannya berbanding telefon pintar yang turut menjurus kepada keupayaan kamera.

Bagi MediaPad M5 Pro dan M5 8 ini, ia hadir dengan cip pemprosesan HiSilicon Kirin 960. Walaupun bukan merupakan sistem cip yang terkini, keupayaannya tidaklah boleh diperlekehkan. Tambahan pula, dengan sokongan memori 4GB RAM, saya dapati segala aktiviti asas yang dijalankan pada peranti ini dapat dilakukan dengan lancar sekali.

Disebabkan tablet ini bersaiz besar, saya dapati bermain permainan video seperti Asphalt Nitro dan menonton video menggunakan tablet ini sangat memuaskan.

Ia ditambah pula dengan sistem audio yang diselaraskan atas bantuan Harman Kardon, seorang lagenda akustik terkenal serta sistem audio Hi-Res.Dua perkara ini membolehkan audio yang lebih berkualiti dapat dihasilkan. Menonton video penuh konsert Avenged Sevenfold dengan tablet ini memang syok habis! Mungkin atas sebab itu Huawei tidak mendatangkan sokongan bicu audio pada MediaPad M5 ini.

Oh ya, sebelum saya terlupa, Huawei juga mendatangkan dua fungsi menarik pada tablet M5 Pro ini, di mana ia menyokong fungsi stylus serta papan kekunci bagi memberikan penggunaan yang seakan komputer riba.

Sumber : WinFuture

Seakan-akan S-Pen yang ada pada Samsung Galaxy Note dan Apple Pencil yang digunakan oleh iPad, stylus yang dinamakan M-Pen ini juga mempunyai fungsi yang hampir serupa.M-Pen ini akan hadir bersama di dalam kotak belian peranti, namun papan kekunci pula perlu didapatkan secara berasingan.

Namun, agak mengecewakan apabila kedua-duanya tidak akan dapat dinikmati oleh pengguna M5 8. Mungkin inilah perbezaan utama antara dua model ini.

Siri tablet MediaPad M5 ini juga mempunyai simpanan dalaman 64GB. Tidak cukup? Anda boleh gunakan kad mikroSD sehingga 256GB. Ia juga menyokong fungsi kad sim NANO dan

Sebagai penutup perbincangan mengenai spesifikasi dalaman siri MediaPad M5 ini, perlu saya nyatakan bahawa tiada sebarang perbezaan ketara yang saya kesan ketika menggunakan kedua-dua peranti bersaudara ini.

PRESTASI KAMERA

Seperti yang telah saya katakan dalam bahagian sebelum ini, tidak ramai pembeli tablet memiliki peranti berkenaan untuk menfokuskan kepada kameranya. Namun, saya dapati, prestasi kamera kedua-dua peranti ini tidaklah terlalu teruk namun tidak terlalu baik.

Disebabkan dua model ini menggunakan lensa kamera dengan sensor yang sama, hasil gambarnya juga tidak melihatkan perbezaan yang ketara. Lihat contoh foto dibawah.(Kanan : MediaPad M5 8, Kiri : MediaPad M5 Pro)

Tona warna dapat diperlihatkan dengan jelas, namun imej yang ditangkap tidak berapa tajam dan jelas.

Imej objek bergerak juga berada di tahap sekadar memuaskan

Imej swafoto berbeza kerana MediaPad M5 8 digunakan secara menegak, manakala MediaPad M5 Pro digunakan secara menegak

Imej dalam pengcahayaan kurang juga tidaklah begitu menarik

Secara keseluruhannya, kualiti yang ada pada kamera kedua-dua peranti ini adalah agak baik jika dibandingkan dengan peranti tablet yang ada di pasaran hari ini.

KETAHANAN BATERI

Selain sokongan stylus dan papan kekunci, di sinilah terletaknya perbezaan di antara edisi Pro dan Standard bagi keluarga MediaPad M5 kali ini. MediaPad M5 8 dikuasakan dengan bateri 5,100 mAh, manakala M5 Pro pula dijana dengan bateri berkapasiti 7,500 mAh.

Saya dapati kedua-dua model ini dapat bertahan selama lebih dari sehari dengan gaya penggunaan normal. Tambahan pula, kadar penggunaan tablet biasanya tidak sekerap penggunaan seharian bagi telefon pintar.

Tetapi, jika ditanya mengenai screen on time(SOP) bagi keduanya, sudah tentu MediaPad M5 Pro mempunyai tempoh yang lebih panjang iaitu hampir 13 jam berbanding MediaPad M5 8.4-inci(~11 jam).

Dari segi pengecasannya pula, kedua-dua hadir dengan sokongan pengecasan pantas Huawei. Hasilnya, saya dapati Huawei MediaPad M5 Pro memerlukan masa sekitar 3 jam untuk pengecasan penuh daripada sifar bateri.

Bateri lebih cepat habis tapi lebih cepat untuk dicas penuh. Itulah yang dialami oleh MediaPad M5 8. Jika M5 Pro mengambil masa 3 jam, M5 8 sekali ganda lebih pantas(1 jam 30 minit) berbanding M5 Pro. Ia agak mengejutkan, namun selepas melakukan ujian buat kali kedua, hasilnya masih lagi sama.

KESELURUHAN

Mudah saya katakan, MediaPad M5 dari Huawei ini mampu memimpin liga tablet Android buat masa ini. Namun, spesifikasinya yang 90% sama membuatkan saya rasa kurang berbaloi untuk memiliki MediaPad M5 Pro(RM 1,899) yang harganya RM 400 lebih mahal daripada MediaPad M5 8(RM 1,499).

Patutkah anda membelinya? Lihat dahulu tujuan anda untuk memiliki sesebuah tablet. Siri MediaPad M5 ini ternyata mampu untuk menjalankan segala operasi yang diharapkan pada sesebuah peranti tablet hari ini.

Jika anda mahukan kepuasan maksima ketika menonton video, siri MediaPad M5 ini(terutamanya M5 Pro) sangat berbaloi untuk dimiliki. Sistem bunyinya juga sangat hampir dengan kesempurnaan. Kamera? Lebih baik belanjakan wang anda dengan membeli sebuah telefon pintar.

 

Siri MediaPad M5
  • Rekaan Luaran
  • Antaramuka & Nyahkunci
  • Spesifikasi Dalaman
  • Prestasi Kamera
  • Ketahanan Bateri
3.9

Keseluruhan

Perghhhhh
– Spesifikasi yang menarik
– Sistem bunyi yang baik
– Tahap responsif stylus yang pantas dan lancar

Euuwwwww
– Perbezaan harga yang tinggi tanpa sebarang perbezaan
– Kamera dengan bump yang tebal & kualiti gambar yang sederhana

Amir Zakwan

Amir Zakwan

Add comment

Langgan Wiser.my

Langgan artikel melalui email dan terima notifikasi setiap kali artikel baru dikeluarkan

Hubungi Kami

03 8686 5408