(Ulasan) Samsung Galaxy M20 - Pemangkin Kebangkitan Samsung Dalam Liga Pertengahan

Samsung sebelum ini dikenali sebagai pengeluar yang hanya memfokuskan kepada peranti kelas perdananya(Galaxy S dan Galaxy Note) sahaja sehingga ada yang berpendapat bahawa pengguna perlu mengelakkan daripada membeli peranti Samsung selain daripada dua siri yang disebutkan.

Namun, syarikat dari Korea itu ternyata mengambil peduli mengenai perkara itu. Mereka seterusnya mengambil langkah untuk memperkenalkan beberapa buah model kelas pertangahan dengan spesifikasi menarik baru-baru ini.

Antaranya ialah Samsung Galaxy M20 yang ditawarkan pada harga RM799 di Malaysia. Tujuan saya mendedahkan harga jualan pada awal ulasan kali ini ialah untuk mengelakkan sebahagian pembaca meletakkan harapan yang terlalu tinggi untuk peranti ini.

Skrin "Infinity-V"


Peranti ini menggunakan skrin paparan bersaiz 6.3-inci dengan nisbah paparan 19.5:9 yang hadir bersama rekaan takuk "Infinity-V".

Bingkai dibahagian dagu dan dahi peranti dilihat lebih nipis daripada peranti kelas pertengahan mereka yang lain sebelum ini.



Panel belakang Galaxy M20 ini dibina menggunakan polykarbonet yang melengkung sekaligus menjadikannya amat selesa dipegang.

Pengguna jika tidak perlu risau mengenai kesan cap jari pada panel tersebut kerana ia adalah sangat minimal.



Seperti biasa, panel belakangnya diletakkan sistem kamera utama dwi-lensa dengan panel LED flash serta sensor imbasan cap jari fizikal. Logo SAMSUNG pula terletak di bahagian bawah sensor tersebut.



Dulang kad SIM dipasang disebelah kiri peranti manakala butang kawalan bunyi dan butang kuasa pula di sebelah kanan. Menariknya, Samsung membekalkan model kelas pertengahan mereka ini dengan port pengecasan Type-C serta sokongan bicu audio di bahagian bawahnya.

Pendek kata, dengan saiz 6.3-inci serta berat sekitar 186g, Samsung Galaxy M20 ini sangat selesa dipegang dan mudah disimpan di dalam poket.

Masih Dengan Android Oreo


Antaramuka mungkin menjadi salah satu daripada kekurangan yang dimiliki oleh peranti ini kerana ia masih lagi menggunapakai Samsung Experience 9.5 berlandaskan Android 8.1 Oreo dan bukannya One UI beserta Android Pie terbaru.



Akan tetapi, saya secara peribadi lebih menggemari Samsung Experience dan menyukai ikon-ikon yang digunakan berbanding One UI. Bagaimanapun, mod malam merupakan satu kekurangan yang besar pada antaramuka ini.

Ia hadir dengan aplikasi pra-pasang yang minimal dan beberapa fungsi menarik seperti sistem audio Dolby Atmos, Ultra Data Saving, Game Launcher serta gestures.



Walaubagaimanapun, Samsung tidak membekalkan peranti ini dengan pembantu pintar mereka iaitu Bixby. Ia tidak menjadi masalah buat saya kerana saya lebih gemarkan Google Assistant namun masih berharap agar Samsung menambahbaik fungsi Bixby di masa hadapan.

Bagi sistem keselamatan pula, selain menggunakan imbasan cap jari, pengguna juga boleh menyahkunci peranti melalui imbasan wajah. Akan tetapi saya lebih memilih untuk menggunakan imbasan cap jari sahaja kerana ia adalah lebih pantas dan boleh digunakan walaupun pada waktu malam.

Kembali pada sistem operasi, menurut laman SamMobile, Samsung mengesahkan bahawa Galaxy M20 ini dijangka akan menerima kemaskini One UI pada Ogos tahun ini.

Prestasi Lebih Baik Dari Dijangka


Samsung Galaxy M20 ini dikuasakan dengan cip Exynos 7904 dengan unit pemprosesan grafik(GPU) Mali G71 MP2.



Peranti ini dapat bermain permainan PUBG Mobile dan Real Racing 3 pada kualiti grafik Medium dengan amat lancar sekali. Bagi peminat MOBA seperti Mobile Legends pula, Galaxy M20 ini mampu memainkan permainan kegemaran anda itu dengan cukup cemerlang.



Untuk penggunaan harian biasa pula, ia mampu menjalankan segala tugasan dengan sangat baik tanpa sebarang masalah. Peranti juga tidak kelihatan perlahan walaupun banyak aplikasi yang terbuka secara latar.

Secara keseluruhan, untuk peranti berharga RM799, Samsung Galaxy M20 ini mempunyai prestasi yang sangat memberangsangkan.

Kamera Memberangsangkan Bagi Sebuah Peranti Bajet


Samsung Galaxy M20 ini dibekalkan dengan tetapan dwi-kamera utama yang menggabungkan lensa 13MP f/1.9 dan 5MP f/2.2 serta kamera lensa tunggal 8MP sebagai kamera swafoto.



Melihat kepada lensa yang ada pada tetapan kameranya, saya tidak meletakkan tanda aras yang tinggi bagi peranti ini.

Hakikatnya, kualiti gambar yang diambil pada keadaan cahaya yang baik adalah sangat memuaskan bagi peranti yang mempunyai tanda harga sebegini.



Akan tetapi, rakaman swafoto dan tangkapan gambar semasa kurang pengcahayaan boleh dikatakan berada di tahap sederhana sahaja.



Begitu juga dengan rakaman video yang dihasilkan oleh peranti ini. Ia bukanlah teruk, cuma bukan yang terbaik.

Untuk penggemar kamera, saya lebih cadangkan anda untuk mendapatkan peranti lebih baik pada tanda harga lebih kurang sama seperti Redmi Note 7 atau HONOR 10 Lite.

Kuasa Bateri Bertahan Sehingga Dua Hari


Daya tahan bateri menjadi salah satu faktor yang sering saya utamakan pada sesebuah telefon pintar. Bagi Galaxy M20 ini, ia telah lulus dengan sangat cemerlang.



Bateri berkapasiti 5000mAh yang dimiliki mampu bertahan sehingga dua hari dengan mudah walaupun anda bermain permainan video dan menonton YouTube dengan sederhana kerap.



Dari segi pengecasan pula, peranti ini dibekalkan dengan alat pengecasan pantas 15W. Selepas diuji, saya dapati peranti ini memerlukan masa sekitar 2 jam untuk dicas semula apabila kehabisan bateri.

Kebangkitan Samsung Dalam Kategori Mid-range




Secara keseluruhannya, Samsung telah melakukan satu kerja yang baik pada model Galaxy M20-nya kali ini. Tidak salah untuk saya katakan bahawa peranti ini boleh menjadi pemangkin kepada kebangkitan mereka dalam kategori mid-range.

Jujurnya, saya tidak akan mencadangkan peranti ini kepada mereka yang gemar mengambil gambar terutamanya swafoto, namun untuk golongan yang mahu peranti berprestasi baik dengan harga yang murah, Galaxy M20 ini memang antara pilihan sesuai untuk anda.