(Ulasan) Samsung Galaxy A9 - Apa Yang Ada Dengan Telefon Pintar Empat Kamera Ini?

Tren meletakkan kamera belakang lebih daripada dua lensa semakin menjadi-jadi. Dimulakan Huawei dengan model P20 Pro yang mempunyai 3 kamera, Samsung pula tampil dengan Galaxy A9 yang dilancarkan sebagai peranti pertama dengan 4 kamera belakang.

Huawei P20 Pro sememangnya baik dalam menghasilkan gambar yang berkualiti dan sehingga sekarang masih mengungguli carta penanda aras DxOMark. Ada diantara pengguna mula mempersoal dan ada juga yang menganggap, "lebih banyak lensa, lebih cantik gambar".

Jadi untuk itu melihat sejauh mana kebenaran persepsi itu, mari kita rungkai telefon pintar pertama dengan tetapan 4 kamera belakang, Samsung Galaxy A9.



Reka bentuk kacak untuk kelas pertengahan

Galaxy A9 membawakan rekaan yang boleh dikatakan mengancam untuk sebuah peranti kelas pertengahan. Jika hendak dibandingkan dengan peranti sekelas yang lain seperti Honor 8X dan Vivo V11, penulis lebih menggemari reka bentuk Galaxy A9.

Panel belakang diperbuat daripada gelas mempunyai tiga pilihan warna; Bubblegump Pink, Caviar Black, dan versi yang kami terima adalah Lemonade Blue. Biru kehijauannya cukup menarik dipandang mata.



Panel depannya rata sementara bahagian belakang agak melengkung hampir disetiap sudut. Lensa 4 kamera diletakkan secara menegak disisi kiri belakang dan flash yang berada diluar bingkai lensa. Pengimbas cap jari berbentuk petak terletak dikawasan belakang yang selesa diakses jari telunjuk.

Dagu dan dahi sedikit luas tetapi tanpa takuk. Bezel atas menempatkan kamera selfie 24MP, earpiece, serta sensor jarak (proximity).



Disebabkan saiznya yang slim dan tekstur bingkai besi itu sendiri, ia terasa sedikit licin apabila cuba diangkat dari atas meja.



Sisi kanan diletakkan butang kuasa dan diatasnya butang pelaras kelantangan bunyi. Agak kurang selesa bila melaras bunyi kerana butang itu dirasakan sedikit tinggi. Sisi kanan diletakkan butang untuk mengakses fungsi Bixby manakala bahagian atas adalah slot MikroSD dan dwi sim nano (tiada slot hybrid).

Samsung masih mengekalkan sokongan untuk fon telinga berwayar melalui bicu audio 3.5mm yang berada dibawah diikuti dengan port pengecas USB C. Bersebelahannya pula adalah corong pembesar suara yang hanya menyokong mono. Bagi ciri audio dengan ciri Dolby Atmos, anda bolehkan aktifkannya di bahagian tetapan dan ia hanya menyokong fon telinga serta speaker Bluetooth stereo sahaja.



Paparan Super AMOLED yang memuaskan biji mata

Seperti keluaran pertengahan yang terdahulu, model ini tampil memperagakan skrin paparan Super AMOLED 6.3 inci dengan sokongan resolusi 1080 x 2220 bernisbah 18.5:9. Pandangan dari pelbagai sudut, tanpa mengira tahap pencahayaan dilihat memberikan paparan yang jelas terutama warna hitam dan gelap.

Pengguna diberikan empat pilihan mod skrin; Adaptive Display, AMOLED Cinema, AMOLED Photo, dan Basic. Dibawah pilihan Adaptive Display, tona warna putih boleh dilaras antara Cool hingga Warm, mengikut keselesaan mata.

Terdapat juga pilihan tambahan iaitu Advanced options, memberikan anda kelebihan untuk melaras RGB satu persatu (Red, Green, Blue). Paparan beraksi cemerlang ketika menonton Netflix dan YouTube. Super AMOLED kot.



Prestasi setara dengan peranti Snapdragon 660 yang lain

Menjalankan sistem operasi Android Oreo 8.0 dengan lapisan antaramuka Samsung Experience 9.0. Antara bloatware yang tersedia dipasang adalah Galaxy Apps (mirip Google PlayStore) dan juga aplikasi-aplikasi dari Microsoft (Word, Excel, PowerPoint, OneDrive, dan LinkedIn). Ia tidak boleh buang dari sistem tetapi boleh dinyahpasang sekiranya anda merasakan ia tidak berguna.



Bagi yang gemar menggunakan dua aplikasi dalam satu-satu masa, boleh gunakan ciri Split Screen dengan hanya menekan lama butang Recent Apps.



Sistem dalaman menggunakan cip Snapdragon 660 dengan 4-teras Cortex A73 dan 4 teras Cortex A53 bersama GPU Adreno 512. Sistem memori ada dua variasi iaitu RAM 6GB atau RAM 8GB dengan storan dalaman sebesar 128GB. Tidak cukup? Ia boleh diluaskan lagi dengan sokongan kad MikroSD sehingga 512GB.



Kalau dibahas berdasarkan nilai jualan, anda boleh mendapatkan peranti jenama lain dibawah RM2000 yang datang dengan Snapdragon 845. Tetapi jika dibandingkan dengan peranti Snapdragon 660 yang lain, prestasinya boleh dikatakan setara.

Bukalah seberapa banyak pun aplikasi, peranti boleh dikatakan berjalan dengan lancar, tanpa sebarang gejala tersangkut-sangkut.

Nyahkunci skrin menggunakan wajah dilihat agak lambat dan terdapat masalah tidak dapat mengenalpasti wajah.

Sistem ini dilihat sedikit keliru ketika nyahkunci wajah dibuat ketika saya memakai cermin mata (pendaftaran wajah dibuat tanpa cermin mata). Pengimbas cap jari boleh dikatakan cemerlang dan berupaya mengesan cap jari dengan pantas.



Empat Kamera yang....hmmmm



Disebut sebagai peranti pertama dilengkapi sistem 4 kamera belakang, pastinya ciri ini yang mahu dipertaruhkan dalam persaingan dengan peranti lain dipasaran.

Kita mulakan dengan lensa paling atas iaitu ultra wide 8MP dengan aperture f/2.4, memberikan rakaman pada sudut 120 darjah. Seterusnya adalah lensa telefoto 10MP (f/2.4) menawarkan 2 kali zoom optikal.



Lensa utama berada pada kedudukan ketiga dengan 24MP dan nilai aperture f./1.7. Tiga lensa yang disebutkan ini adalah lensa yang aktif, manakala terakhir sekali dalam barisan adalah lensa depth 5MP untuk rakaman Live Focus iaitu kesan bokeh.



Apabila memasuki aplikasi kamera, akan terlihat tiga ikon berbentuk pokok; tiga pokok (ultrawide), dua pokok (normal) satu pokok (telefoto). "Cubit" skrin untuk tukar tahap zoom hanya boleh dilakukan pada lensa normal dan telefoto sahaja. Zoom melebihi 2x adalah zoom digital.

Pertukaran lensa kamera ini hanya berlaku pada mod Auto dan Scene Optimiser sahaja. Scene Optimiser merupakan ciri pengesanan AI yang boleh mengenal 19 mod seperti, makanan, potret, bunga, suasana dalam bangunan, haiwan, gunung, pokok dan beberapa lagi. Contoh gambar adalah seperti dibawah.







Rakaman waktu malam juga tidak menunjukkan prestasi sederhana sahaja pada lensa zoom dan ultrawide.



Kesan bokeh boleh dilaras, kiri pada tahap 3 dan kanan pada tahap 7. Gambar contoh dibawah



Apabila merakam video pada lensa ultrawide, anda tidak boleh zoom rakaman. Ia menyokong rakaman video 4K tetapi penstabilan video elektronik hanya untuk resolusi 1080p sahaja.

Apa yang dapat disimpulkan disini, kualiti rakaman foto dari peranti berkamera empat ini tidak sebagus dari apa yang diharapkan. Kamera utamanya agak baik, tetapi lensa-lensa lain hanya sekadar penambah rasa kerana kualiti yang menghampakan.

Bateri 3800 mAh dengan prestasi yang boleh tahan

Samsung Galaxy A9 dijana dengan bateri berkapasiti 3800mAh. Penggunaan harian seperti bermain permainan (lebih kurang satu jam lebih), melayari aplikasi media sosial, menonton rancangan di Netflix dan video HD di YouTube ia boleh mencapai tempoh 7 ke 8 jam.

Untuk pengecasan penuh ia mengambil masa 1 jam 30 dengan pengecas yang menyokong Quick Charge 2.0.

Keseluruhan

Sesuatu yang menggembirakan apabila Samsung berani menampilkan sistem 4 kamera pertama dalam pasaran telefon pintar. Samsung menawarkan rakaman untuk pelbagai darjah/sudut melalui 4 kamera, tetapi hasil gambarnya dilihat masih belum mampu memuaskan hati.

Tolak tepi tentang kamera, dari segi rekaan, pengalaman penggunaan dan ketahanan jangka hayat bateri ia menawarkan  prestasi yang memuaskan. Namun, adakah anda bersedia untuk membelanjakan RM1999 untuk memiliki Samsung Galaxy a9 ini?