(Ulasan) Redmi Note 9S - Semua Elok Tapi Kurang Satu Perkara

Kurang sebulan yang lalu, Xiaomi Malaysia telah melancarkan telefon pintar terbaru mereka iaitu Redmi Note 9S. Sewaktu pengumumannya, ia sudah mula menarik perhatian ramai kerana dijual pada tanda harga dibawah RM900.

Redmi Note 9S

Sekali imbas, Redmi Note 9S boleh dikatakan sebagai peranti yang bagus untuk kelas pertengahan. Dimuatkan dengan sejumlah spesifikasi baik, namun kami merasakan terdapat satu kekurangan yang ada pada Redmi Note 9S.

Apa yang lebih? apa yang kurang? Mari ikuti ulasan lanjut mengenai Redmi Note 9S ini.
Rekaan

Pertama kali memegang, anda boleh rasakan ia sebuah peranti solid dengan rekaan agak besar, lebar, tebal dan berat. Ini mungkin disebabkan penggunaan bateri 5020mAh yang mana prestasinya boleh kami katakan terbaik.

Redmi Note 9S

Berdasarkan penggunaan, Redmi Note 9S memperoleh lebih dari 8 jam screen on time. Sesuatu yang ditagih oleh semua pengguna telefon pintar masa kini.

Binaannya dirasakan kukuh kerana panel hadapan serta belakang dilindungi Corning Gorilla Glass 5. Ibarat bonus bagi sebuah peranti yang dijual bawah nilai RM1000.

Redmi Note 9S

Unit yang berada ditangan kami ini merupakan Interstellar Grey dimana terdapat dua lagi pilihan warna iaitu Aurora Blue dan Glacier White. Lengkungan dari sisi ke panel belakang membuat pegangan tangan dapat dibuat dengan kemas dan selesa.

Namun oleh kerana rekaan belakang yang glossy, bahagian itu akan dipenuhi kesan cap jari anda. Lebih elok jika anda sarungkannya dengan sarung pelindung silikon yang disertakan di dalam kotak.

Pada bahagian belakang juga anda boleh lihat sistem kuad kamera disusun pada modul petak. Kami tertarik dengan susunan sebegini berbanding kebanyakan telefon pintar dipasaran sekarang yang meletakkannya pada bahagian tepi.

Redmi Note 9S

Namun begitu, perlu diakui juga rekaan modul itu agak tebal yang mana jika dipakaikan dengan sarung pelindung sekalipun, ia tidak mampu melindung lensa itu dengan sepenuhnya. Walaubagaimanapun, jika menaip ketika peranti diletakkan diatas meja, rasanya tiada masalah "jongkang-jongket" seperti beberapa model yang lain.
Kamera

Kita teruskan lagi mengenai kamera Redmi Note 9S. Ia dipersenjatakan dengan tetapan kuad kamera terdiri daripada 48MP f1.8, kamera ultrawide 8MP f2.2, kamera makro 5MP f2.4, kamera depth 2MP f2.4. Hadapannya pula mempertaruhkan kamera swafoto 16MP f2.5.

Redmi Note 9S

Apa yang kami dapat, rakaman pada kawasan cukup cahaya menghasilkan rakaman yang baik. Tapi dengan syarat, anda tidak gunakan mod 48MP yang disediakan pada aplikasi kamera peranti. Ini kerana mod 48MP itu membuatkan gambar sedikit gelap walaupun pada situasi pencahayaan yang baik.

Hasil gambar mempunyai jarak dinamik yang bagus, tajam tetapi fungsi HDR dilihat sedikit lembut dan tida memberikan impak yang tinggi apabila digunakan.

Redmi Note 9S

Bagi lensa ultra lebar, ia boleh dikatakan tewas dari segi ketajaman gambar tetapi rakamannya masih bagus. Gambar dilihat cenderung untuk gelap disebabkan bukaan aperture yang kecil.

Bagi rakaman makro pula, hasilnya bukanlah terbaik tetapi bukan juga yang terburuk. Rakaman tidak dibuat terlalu dekat dengan subjek tetapi boleh dikatakan baik berbanding beberapa peranti dengan makro yang lain.

Ke bahagian hadapan pula, gambar swafoto cantik, tajam, warna natural dan kami tidak punyai masalah untuk rakaman ini.

Fungsi rakaman video menyediakan tetapan tertinggi 4K pada 30fps, namun video dilihat bergegar tanpa sebaran penstabilan. Tetapan terbaik adalah pada mod Full HD kerana video akan nampak lebih baik sedikit, stabil serta kualiti imej yang lebih terang berbanding rakaman 4K.
Prestasi

Bercerita mengenai spesifikasi dalaman, Redmi Note 9S diperkasakan dengan penggunaan cip pemprosesan terbaru daripada Qualcomm itu Snapdragon 720G. Cip pertengahan ini memfokuskan kepada prestasi gaming dan pada pengalaman kami bermain aplikasi permainan, ia bertugas dengan baik.

Redmi Note 9S

Antara yang kami mainkan adalah Asphalt, Call of Duty, PUBG Mobile dan kesimpulannya kami berpuas hati dengan apa yang ditawarkan pada Redmi Note 9S. Jika dimainkan dalam tempoh panjang, anda mungkin akan rasa suam sedikit pada sekitar kamera belakang. Tetapi ia tidak menjejaskan pretasi ketika aplikasi permainan dijalankan.
Antaramuka

Model yang diuji kami ini merupakan variasi RAM 4GB dan 64GB dan ia mengoperasikan sistem Android 10 melalui MIUI 11. Antaramukanya walaupun agak sarat tetapi berfungsi dengan lancar. Kadangkala sahaja terasa seakan perlahan terutama sekali bila mahu membuka recent app atau sewaktu membuka fail. Lain-lain tiada masalah dimana ia licin dalam menjalankan tugas.

Redmi Note 9S

Pada pendapat kami, jika mahukan lebih kelancaran dalam penggunaan anda mungkin boleh memilih variasi RAM 6GB/128GB berbanding RAM 4GB ini.

Terdapat dua pilihan sekuriti berasaskan biometrik yang boleh anda gunakan pada Redmi Note 9S. Pertama adalah imbasan wajah dan kedua merupakan imbasan cap jari. Masing-masing menampilkan prestasi baik dimana ia pantas serta tepat dalam mengimbas wajah dan cap jari anda.

Tiada keluhan cuma dirasakan kedudukan pengimbas cap jari agak tinggi dan mungkin kurang selesa dan sedikit leceh untuk pengguna menyesuaikan diri.

Redmi Note 9S
Bateri

Dibekalkan dengan bateri berkapasiti 5020mAh, daya pengecasan yang disokong Redmi Note 9s adalah 18W. Ia mengambil masa sekitar 1 jam 44 minit untuk memenuhkan kapasiti bateri sebesar itu.

Redmi Note 9S

Bagi kebolehan audio, peranti ini dilengkapi dengan pembesar suara mono dan hasilnya kami letakkan sebagai biasa sahaja. Bunyi yang dikeluarkan sederhana dan kami perasan bunyi bass kurang padu jika diteliti dengan lebih mendalam.

Apa yang menarik perhatian kami, Redmi Note 9S masih mempunyai LED notifikasi pada bahagia earpiece bahagian atas dan ia sudah jarang ditemui pada sebahagian besar peranti ketika ini.

Redmi Note 9S

Redmi Note 9S dijual pada tanda harga RM799 untuk variasi RAM 4GB/64GB sementara RAM 6GB/128GB pula diletakkan pada nilai RM899. Jadi pada tanda harga sebegini, anda mesti merasakan ia sangat bernilai untuk dimiliki dengan segala kelengkapan yang diberi, namun terdapat satu lagi bahagian yang perlu dilihat iaitu skrin paparan.
Skrin paparan

Redmi Note 9S hanya didatangkan dengan paparan LCD IPS berkeluasan 6.67 inci. Ia menyokong resolusi FullHD+ dengan ketumpatan piksel 395ppi. Prestasi skrin bagi kami memuaskan dengan warna yang baik, terang, tetapi ia hanyalah dari jenis IPS. Jadi bagi yang gemar menonton video mungkin kurang senang dengan paparan ini.

Redmi Note 9S

Ambil contoh jika memainkan video dari YouTube, paparan seakan kurang tajam. Seperkara lagi adalah viewing angle peranti yang agak lemah dan light bleed pada bahagian bingkai skrin serta disekitar punch hole. Pengguna biasa tidak perasan tentang masalah ini tetapi bagi pengguna yang teliti serta cerewet tentang paparan, mungkin akan jadi faktor penolak dalam memiliki peranti ini. Untuk hasil gambar dan video boleh tonton ulasan di YouTube kami.

https://www.youtube.com/watch?v=7UGxfS-_MkI&t=515s

Apa yang dapat disimpulkan, Redmi Note 9S boleh dikatakan berbaloi untuk dimiliki tetapi sedikit kekurangannya adalah pada bahagian skrin paparan. Jadi mungkin anda boleh mempertimbangkan terlebih dahulu bagaimana keperluana serta penggunaan anda.

Secara keseluruhan, ia mampu menggalas tugas dengan baik namun dirasakan lebih elok jika anda memilih variasi paling tinggi iaitu RAM 6GB dengan storan 128GB untuk lebih prestasi.

Pada tanda harga bawah RM900, adakah anda berminat untuk memiliki Redmi Note 9S? Boleh kongsikan diruangan komen.