[Ulasan] Redmi Note 8 Pro - Perlu Sangatkah Versi Pro?

Siri Redmi Note 8 hadir ke Malaysia dengan 2 varian, Redmi Note 8 dan juga Redmi Note 8 Pro. Versi Pro ini datang dengan spesifikasi yang lebih sedikit tinggi berbanding Redmi Note 8 biasa seperti cip pemprosesan baharu Mediatek Helio G90T dan juga bateri sedikit besar pada 4,500mAh.

Jujurnya, kami lebih berminat untuk mengulas peranti ini berkisarkan kepada limitasi cip terbaharu ini memandangkan ia cip kelas flagship daripada Mediatek dan juga cip khusus untuk para gamers. Redmi Note 8 Pro merupakan peranti pertama dengan cip ini dan ketika artikel ini ditulis, ia merupakan satu-satunya peranti yang menggunakan cip tersebut.

Selain itu, Redmi Note 8 Pro juga menggunakan sensor bersaiz 64MP sebagai lensa utamanya. 64MP untuk sebuah peranti kelas pertengahan mungkin kedengaran seperti melampau sedangkan tiada peranti kelas flagship yang menggunakannya. Yang pasti, gimik atau tidak, kami akan mengulas dengan lebih lanjut di bahagian kamera.

Sebelum itu, mari kita melihat spesifikasi utama peranti ini.

Spesifikasi Peranti:



  • Skrin paparan: IPS LCD 6.53 inci (1080 x 2340), 19.5:9

  • Cip pemprosesan: Mediatek Helio G90T (Mali-G76 MC4)

  • RAM dan memori: RAM 6GB, 64GB

  • Memori tambahan: Kad MikroSD sehingga 256GB

  • Slot dwi SIM nano dan satu mikroSD

  • 4 kamera belakang: 64(f/1.9)+8M(f/2.2)+2M(f/2.4)+2M(f/2.4)

  • Kamera hadapan: 20MP(f/2.0)

  • Bateri 4500mAh (USB Type-C)

  • MIUI 10 berasaskan Android 9.0 Pie


Rekaan/Binaan


Redmi Note 8 Pro hadir dengan binaan kaca belakang Gorilla Glass 5 dengan rekaan yang melengkung ke sisi peranti. Bingkai di keliling peranti pada mulanya disangka aluminium sebenarnya hanyalah sekadar plastik sahaja. Kami kurang suka dengan rekaan bonjolan kamera kamera belakang kerana ia bersudut tajam 90°.



Tambahan lagi, pengimbas cap jari diletakkan sekali bersama-sama barisan modul kamera menjadikan pengguna boleh tersilap mengimbas dan menyentuh kamera. Di sebelah modul kamera belakang, terdapat lampu LED flash berserta kamera makro.Sedikit ke bawah, terdapat tulisan "64MP / AI SUPER CAMERA" sebagai tarikan utama peranti ini dan juga logo "Redmi" di bahagian bawah sekali.

Pada bahagian atas peranti terdapat pemancar infra merah dan lubang mikrofon. Bahagian kanan pula menempatkan butang kuasa dan kawalan bunyi. Manakala pada bahagian kiri pula terdapat slot sim dan kad mikroSD. Melihat pada bahagian bawah, terdapat lubang mikrofon, lubang pengecasan USB-C dan juga pembesar suara mono.



Kemasan pada peranti ini begitu mudah menangkap kotoran dan minyak dari cap jari. Kami mendapati ia sangat licin. Tetapi jangan risau, terdapat kerangka percuma yang disediakan di dalam kotak pembelian.

Unit di tangan kami adalah berwarna Mineral Grey yang seakan ke arah hitam. Tiada perubahan warna atau corak pelangi jika melihatnya dari sudut lain. Warna ini kelihatan sangat sesuai untuk pengguna yang mahukan rekaan yang ringkas dan bersih. Terdapat pilihan warna lain seperti Pearl White dan juga Forest Green yang kami rasakan lebih cantik dilihat,



Peranti ini dengan jisim 200g agak berat untuk penggunaan berlarutan terutamanya gaming. Saiz peranti ini agak besar ditambah pula dengan berat tersebut membuatkan pengguna dengan poket seluar yang kecil menyukarkan penyimpanan dan berisiko untuk jatuh ke lantai.

Keseluruhannya, bahagian belakang peranti dibina dengan rekaan yang kaca premium. Namun, anda digalakkan untuk memakai kerangka untuk menghilangkan bonjol kamera yang tajam, memberikan genggaman yang lebih jitu dan juga untuk mengelakkan masalah kotoran cap jari dan minyak.

Melalui penggunaan kami, bunyi pada pembesar suara adalah baik. Namun, jika bunyi dikuatkan sehingga kepada maksimum, bunyi akan pecah sedikit menjadikan pengalaman mendengar kurang enak. Dari segi kelantangan bunyi, ia kuat tetapi kelantangan tersebut tidak bermakna dengan kualiti yang kurang memuaskan.

Skrin


Redmi Note 8 hadir dengan skrin panel LCD bersaiz 6.53 inci beresolusi FullHD+. Pada mata kami panel skrin mempunyai warna yang terang dengan kualiti resolusi yang agak tajam. Untuk harganya, ia merupakan kualiti panel yang baik dan kami cukup berpuas hati. Penggunaan outdoor pada panel skrin ini tidak mendatangkan masalah walaupun ketika cahaya panas terik.



Skrin ini bersaiz sangat besar dengan dagu yang sangat minimal membuatkan bermain permainan dan juga menonton video sangat mengasyikkan. Skrin ini juga menyokong kaca Gorilla Glass 5 dan juga HDR. Kandungan HDR yang ditonton di YouTube menyerlahkan warna yang cantik dan terang.

Terdapat takuk dew dot yang menempatkan kamera swafoto 20MP. Pada mulanya kami tidak perasan, tetapi terdapat cahaya LED untuk notifikasi di sebelah kamera swafoto. Di bahagian atas skrin pula terdapat pembesar suara yang digunakan untuk panggilan telefon.


Sistem Operasi/Prestasi


Redmi Note 8 Pro menjalankan Android 9 Pie dengan saduran MIUI 10. Pada home page, tiada pilihan untuk menggunakan mod drawer dan kesemua aplikasi disusunkan pada bahagian home. Jika anda mempunyai banyak aplikasi, secara tidak langsung anda akan mendapati terdapat banyak page pada home screen anda.

Anda juga mendapat pilihan untuk menggunakan mod gelap yang sudah terbina dalam sistem operasi. Dalam ujian pengecaman wajah untuk peranti ini, ia mampu menyahkunci peranti dengan pantas.

Untuk prestasi, Mediatek Helio G90T jujurnya merupakan sebuah cip pemprosesan kelas pertengahan yang berkuasa. CPU pada Note 8 Pro lebih berkuasa dengan 2 teras Cortex A-76 berbanding 2 teras Cortex A-73 pada CPU adiknya, Redmi Note 8 (Snapdragon 665).

Melalui aplikasi Geekbench 5, CPU peranti ini menyamai peranti kelas flagship Snapdragon 845 tahun lepas. Tiada masalah lag ditemui pada peranti ini. Menavigasi antaramuka serta sistem sangat lancar. Membuka berbagai aplikasi juga pantas tanpa sela masa.



Jika anda membeli peranti ini semata-mata untuk gaming, kami boleh jamin anda akan tiada masalah menggunakannya walaupun dengan tetapan grafik permainan yang tinggi. Pertama sekali anda perlu mengetahui bahawa GPU yang dipakai oleh Redmi Note 8 merupakan GPU yang sama dengan GPU pada peranti flagship Samsung Galaxy S10/Note 10 dan Huawei P30 Pro. Cuma pada Redmi Note 8 Pro, ia hanya memakai 4 teras sahaja berbanding pada Galaxy S10/Note 10/P30 Pro yang memakai 12 teras GPU yang sama.

Jadi, sebagai pengguna anda boleh menjangkakan pengalaman bermain permainan yang baik. Sebaik mana? Kami mencuba PUBG Mobile (lagi) kerana bagi kami ia merupakan permainan yang lengkap untuk diukur aras. Grafiknya berat jadi perkakas peranti terpaksa bekerja keras, permainan itu popular dan dimainkan oleh ramai pengguna, serta permainan ini memberikan pilihan 60fps dengan mudah jika perkakas peranti tersebut menyokongnya.

Bagaimana dengan hasilnya?

Untuk PUBG Mobile, pada grafik tertinggi yang dimainkan iaitu HDR dan frame rate Ultra, anda boleh menjangkakan purata 38-39 fps dengan maksimum 40fps. Ada masanya (jarang-jarang) frame rate turun sehingga 23fps namun ia sekadar sekelip mata sahaja dan tidak menganggu permainan. Jika anda sejenis pemain yang pantang dengan fps yang rendah, anda boleh bermain dengan frame rate 60fps yang lebih tinggi, namun itu bermakna anda perlu mengorbankan kualiti grafik yang lebih baik. Untuk itu anda hanya perlu menukar tetapan grafik kepada "Smooth" dan anda akan lebih puas dengan kelancaran kualiti permainan tersebut.



Jika anda seperti saya, lebih menikmati permainan yang lebih pantas aksinya seperti COD Mobile, tetapan grafik tertinggi yang dimainkan dengan mudahnya mencapai 60fps. Ini adalah pada tetapan grafik VERY HIGH dan frame rate juga VERY HIGH. Permainan sangat stabil dan lancar tanpa sebarang lag dikesan.



Sekitar bermain 10-15 minit, haba mula berkumpul dan anda akan mula berasa sedikit panas terutamanya di bahagian kamera. Suhu yang dirasakan berada pada tahap yang masih selesa untuk dimainkan. Peranti juga tidak menyimpan haba untuk jangka masa yang lama. Sebaik sahaja anda menutup aplikasi permainan, peranti mula berasa 'sejuk' mula. Melalui spesifikasi, Redmi Note 8 disertakan dengan teknologi penyejukan LiquidCool untuk penyebaran haba yang lebih efisien.

Keseluruhannya, untuk permainan ringan dan kasual seperti COD Mobile, peranti dengan mudah bermain dengan 60fps. Manakala permainan yang lebih berat seperti PUBG Mobile, kebolehan peranti bermain permainan mula menampakkan sedikit limitasi. Namun perlu diingat dengan harga yang ditawarkan, kemampuan peranti ini untuk memainkan permainan grafik pada tetapan yang tinggi dengan purata fps yang baik perlu diberikan pujian.

Selain itu, terdapat aplikasi Game Turbo yang membantu dan memudahkan pengguna ketika bermain permainan. Aplikasi ini dibuka secara automatik ketika anda membuka permainan. Pada aplikasi tersebut anda boleh melihat penggunaan CPU dan juga frame rate permainan. Terdapat fungsi lain seperti screenshot, rakaman skrin ketika bermain serta pautan pantas kepada aplikasi luar yang lain seperti WhatsApp, Facebook ataupun pelayar web.


Kamera


Antara perkara menarik yang diberi keutamaan pada peranti ini adalah sistem kuad kameranya. Terlebih dahulu mari kita melihat spesifikasi kamera belakangnya. Lensa utama Redmi Note 8 Pro adalah sensor bersaiz 64MP (f/1.9), lensa ultralebar 8MP (f/2.4), lensa depth 8MP(f/2.4) dan juga lensa khas makro 8MP (f/2.4).



Lensa 64MP adalah bukan sensor gimik. Ia mampu mengambil gambar pada kualiti yang bagus dengan perincian yang tinggi. Disebabkan saiz gambar yang sangat besar, peranti masih mengekalkan perincian yang tinggi meskipun di zum. Ini adalah contoh perbandingan gambar mod 64MP dengan gambar 16MP biasa. Gambar ini telah diambil pada masa dan sudut yang sama.



Melihat kepada hasil gambar pada mod 64MP, perincian yang dikekalkan sangat tinggi dan gambar masih lagi tajam dengan butiran yang mencukupi. Menurut Xiaomi, saiz 64MP adalah sangat besar sehinggakan ia boleh dicetak menjadi poster yang bersaiz 3.26 meter menegak.

Walau bagaimanapun, saiz gambar 64MP ini sangat besar sehingga ada daripadanya yang mencecah sehingga 30MB. Tambahan lagi, 16MP adalah mencukupi untuk perkongsian di Internet. Kami sendiri pun jarang menggunakan mod 64MP kerana tidak mahu membazir storan kerana kualiti mod 16MP sudah pun mencukupi.

Lensa utamanya mampu menangkap gambar dengan perincian dengan julat dinamik yang baik. Gambar dilihat lebih ke arah kontras berat yang menampakkan suasana dramatik. Kami mendapati sudut ultralebar mempunyai sedikit perubahan warna berbanding lensa utama dengan perincian yang merosot. Menggunakan mod makro, subjek boleh ditangkap sedekat 2cm. Akan tetapi, gambar sangat soft. Adakalanya adalah lebih baik jika anda menggunakan lensa utama dan crop daripada menggunakan lensa makro tersebut.

Kamera swafoto bagi kami sangat baik ketika cahaya yang mencukupi. Perincian pada muka masih lagi kelihatan tanpa penampalan filter beauty. Untuk pencahayaan low-light, gambar agak soft dengan tahap yang sederhana. Menggunakan Night Mode pula, gambar akan kelihatan lebih terang.



Malangnya, tiada modifikasi mod kamera Google yang boleh dipasang memandangkan ia mempunyai cip pemprosesan Mediatek. Sayang juga kerana perkakas dan spefisikasi kamera sangat menawan untuk dipadankan dengan aplikasi kamera Google tersebut.

Bateri


Redmi Note 8 Pro dilengkapi bateri bersaiz 4,500mAh. Purata penggunaan hayat bateri adalah satu hari daripada isian penuh cas. Untuk penggunaan lebih berat seperti permainan, anda boleh menjangkakan permainan tanpa henti sekitar 4 jam 30 minit. Manakala untuk penggunaan ringan, ia mampu bertahan sehingga hari kedua. Redmi Note 8 Pro mempunyai ketahanan bateri yang sangat bagus dari penggunaan kami. Tiada rasa gelisah mahu mencari pengecas walaupun bateri memasuki paras 20-30%.

Untuk mengecas, ia menyokong teknologi pengecasan pantas Pump Express 18W. Mengecas peranti ini dari 0%-100% mengambil masa sekitar 2 jam untuk penuh. Dari segi spesifikasi, ia turut menyokong teknologi Quick Charge 4.0+, tetapi kami tidak mempunyai pengecas dengan teknologi tesebut untuk menguji kepantasannya.

Kesimpulan


Sekali lagi Xiaomi berjaya menghasilkan peranti yang mudah untuk disaran untuk pengguna. Jika anda skeptikal dengan prestasi cip Mediatek Helio G90T, Redmi Note 8 Pro boleh membuktikan yang anda tidak perlu risaukan penggunaan cip tersebut untuk sesebuah peranti. Prestasi seharian sangat lancar dan tiada lengah yang dikesan. Bermain permainan pula anda boleh memaksa peranti untuk bermain pada tetapan grafik yang tinggi dengan frame rate yang agak baik. Sebagai perbandingan cip ini lebih berkuasa dari Snapdragon 665 pada Redmi Note 8 biasa. Akan tetapi, cip ini bakal mendatangkan masalah jika anda mahu memasang aplikasi kamera Google untuk kualiti kamera yang lebih baik.

Bateri pula dengan 4,500mAh, purata penggunaan adalah melebihi sehari. Jika berkata mengenai kamera, hanya perhatian terhadap lensa utama yang patut diberikan kerana kualiti lensa tersebut (baik 16MP atau 64MP) sangat baik untuk harga yang ditawarkan. Manakala sudut ultralebar dan makro pula kurang memuaskan. Peranti juga agak besar dan berat, jika anda mampu mengendalikannya, ia pasti tidak menjadi masalah.

Pembelian peranti ini bergantung kepada limitasi cip pemprosesannya iaitu bukannya terhadap prestasi tetapi sebaliknya pemasangan aplikasi kamera Google. Jujurnya, kamera utama peranti ini sangat baik. Akan tetapi, jika anda mahu membawa kualitinya ke tahap yang lebih jauh, peranti dengan cip Mediate bukan jawapannya. Mediatek bukan jenama yang mesra dengan ubah suai perisian jadi jika anda bukan jenis pengguna seperti itu, Redmi Note 8 Pro merupakan peranti yang sangat senang untuk disarankan kepada anda.



Pendapat kami, jika anda mahukan prestasi kamera yang cun melecun melalui pemasangan aplikasi kamera Google, Redmi Note 8 ialah pilihan yang lebih baik. Akan tetapi, jika anda merupakan jenis gamer, Redmi Note 8 Pro patut anda pilih. Peranti ini dijual pada harga rasmi RM1,099 untuk versi 6GB/64GB dan RM1,199 untuk varian 6GB/128GB. Dengan harga yang sama, pesaing terdekat adalah Realme 5 Pro yang mempunyai prestasi sedikit rendah namun dijana oleh cip Snapdragon 712 yang boleh dipasang kamera Google.