realme datang lagi! Kali ini dengan memperkenalkan peranti baru dalam barisan telefon pintar kelas entry-level mereka iaitu realme 5i. Seperti kita sedia maklum, realme tidak asing lagi dalam menghasilkan peranti yang mesra pengguna dan mesra poket pengguna masing-masing. realme 5i menwarkan spesifikasi yang boleh dikatakan cukup baik dalam harga yang ditawarkan, jom kita terjah spesifikasi peranti ini:

  • Skrin paparan 6.52 inci HD+
  • Qualcomm Snapdragon 665
  • Storan 128gb (Sokongan slot microSD sehingga 256gb)
  • Sistem Color Os 6 berasaskan Android 9 Pie (Sokongan kemaskini Android 10 tak lama lagi)
  • 4 Kamera belakang 12MP kamera utama + 8MP kamera ultralebar + 2MP kamera makro + 2MP kamera sensor dalaman
  • Kamera hadapan 8MP
  • Bateri sebesar 5000mAh dengan pengecasan 10W
  • Rekaan belakang bertekstur dan 3.5mm jek audio

Rekaan dan paparan

Rekaan pada peranti ini boleh dikatakan cukup solid untuk dipegang dengan berat yang ideal sebagai satu peranti bajet. Dibina dengan menggunakan plastik sepenuhnya dari bahagian belakang hingga ke setiap sisi peranti. Akan tetapi terdapat rekaan menarik dibahagian belakang peranti dimana terdapat satu corak garisan yang akan bersinar-sinar dari sisi bawah logo realme hingga ke atas mengikut pencahayaan. Begitu juga dengan teksturnya yang seakan-akan ada pada cap jari tangan kita yang mampu menghasilkan bunyi apabila digosok dengan kuku. Boleh dikatakan rekaan pada peranti ini amat menarik dan rekaan seakan ini jarang dihasilkan oleh syarikat pengeluar telefon pintar yang lain.

IKLAN

Dibahagian sisi kanan terdapat butang kuasa, manakala disisi kiri pula terdapat slot kad sim dan kad mikroSD serta butang pengaras suara. Dibahagian atas tiada apa-apa hanya kosong dan dibahagian bawah ada lubang gril suara, lubang 3.5mm jek audio dan port pengecas jenis mikroUSB yang boleh dikatakan agak ketinggalan dalam tahun 2020 ini.

Paparan skrin peranti ini didatangkan dengan 6.52 inci IPS LCD beresolusi 720×1600 HD+ dengan rekaan takuk minidrop yang diperkenalkan oleh realme dimana menempatkan kamera swafoto. Paparan pada peranti ini boleh dikatakan biasa-biasa sahaja, dengan warna yang dihasilkan agak kepudaran dan kurang kontras warna menyebabkan pengalaman menggunakan paparan ini untuk melihat kandungan agak terjejas. Namun itu adalah suatu yang harus pihak realme korbankan kerana ingin mengurangkan kos penghasilan peranti ini juga untuk pemasaran kepada pengguna. Namun paparan ini cukup baik untuk semua golongan yang tidak mementingkan paparan beresolusi tinggi dan jenis OLED.

Perisian

Seperti kita tahu, realme adalah subjenama pada Oppo jadi tidak asinglah perisian yang digunakan adalah Color Os juga dan pada peranti ini Color Os versi 6 dengan Android 9 Pie. Kalau anda sudah biasa dengan antaramuka Color Os pada Oppo maka tiada masalah untuk anda menggunakan realme 5i ini kerana semua fungsi antaramuka adalah sama tiada tambahan lain mahupun tiada kurangan lain. Jika anda penggemar pada ciri-ciri tambahan yang disediakan oleh Color Os ini, maka tiada sebarang masalah untuk anda dan anda pasti akan menggunakan setiap ciri-ciri tambahan yang ada pada peranti ini.

Selain itu terdapat aplikasi pra-pasang dimana rata-rata aplikasi ini tidaklah berguna tetapi ianya boleh dibuang tanpa sebarang masalah mengikut pilihan masing-masing.

Rata-rata elemen antaramuka Color Os ini memberikan satu pengalaman yang berwarna-warni dan ceria, iyalah nama pun Warna Os kan? Akan tetapi sesetengah pengguna tidak menyukai antaramuka Color Os ini dan lebih meminati Stock Android, itu terserah pada citarasa masing-masing dan amat tidak digalakkan bagi mereka yang ingin bertukar ke Color Os ini jika mereka sudah terbiasa dengan pengalaman antaramuka Stock Android.

Dengan didatangkan dengan 64gb storan dalaman, rata-ratanya pengguna merasakan storan sebesar 64gb tidak mencukupi untuk penggunaan mereka untuk menonton pelbagai jenis media, jangan risau kerana terdapat sokongan kad mikroSD sehingga 256gb. Terima kasih realme kerana menghadirkan ciri ini ke dalam telefon mesra poket ini.

Prestasi

Peranti mesra poket ini menawarkan CPU Qualcomm Snapdragon 665 dengan kapasiti RAM sebesar 4GB sesuai untuk digunakan oleh golongan marhaen melakukan aktiviti harian mereka seperti bersosial media dan penggunaan multimedia cuma membuka aplikasi terasa agak lambat dan tidak berapa lancar. Akan tetapi dengan kapasiti RAM hanya sebesar 4GB pada tahun 2020 ini, boleh dikatakan pengalaman untuk bertukar dari aplikasi ke aplikasi lain agak tidak memberangsangkan, malah dalam beberapa situasi, aplikasi itu akan tertutup dengan sendirinya.

Akan tetapi ada bagusnya juga, prestasi pengesan cap jari dibahagian belakang peranti ini dapat menyahkuncikan peranti dengan pantas dan tepat begitu juga dengan menggunakan pengimbas muka pada peranti ini.

Prestasi bermain permainan mudah alih

Dengan CPU Qualcomm Snapdragon 665 dan GPU Adreno 610, boleh dikatakan pengalaman bermain permainan mudah alih pada peranti ini cukup baik memainkan pelbagai jenis permainan mudah alih, pada percubaan ini kami menggunakan dua permainan mudah alih utama iaitu PUBGM dan CODM. Terdapat game space disediakan oleh realme untuk mengoptimakan pengalaman bermain permainan mudah alih pada peranti ini.

Prestasi bermain PUBGM pada peranti ini dengan tetapan grafik paling tinggi hanya mencapai sekadar Balance dan framerate High sahaja boleh dikatakan cukup baik. Gameplay yang mampu dimainkan tanpa sebarang isu besar hanya terdapat beberapa micro-lag yang timbul. Tetapi untuk prestasi maksimum disarankan untuk menggunakan tetapan Smooth dan framerate Very High yang disokong oleh peranti ini, kebanyakan pemain e-sukan juga mencadangkan penggunaan tetapan Smooth untuk PUBGM ini.

Seterusnya pada permainan CODM, mengejutkannya prestasi pada CODM ini boleh dikatakan cukup baik kerana ianya berjaya menjalankan gameplay pada 60fps dalam kualiti grafik High. Gameplay kelihatan lancar namun micro-lag masih ada akan tetapi masih memberikan kepuasan untuk bermain pada realme 5i ini.

Seperti yang dinyatakan tadi, keseluruhan prestasi bermain permainan mudah alih pada realme 5i ini cukup baik, terima kasih pada jenis CPU dan GPU yang didatangkan sekali.

Prestasi Kamera

Dari segi setup kamera yang ditawarkan oleh realme pada peranti ini, ianya didatangkan dengan 4 kamera iaitu kamera utama 12MP f/1.8, kamera ultralebar 8MP f/2.2, kamera sensor dalaman 2MP f/2.4 dan juga kamera makro 2MP f/2.4. Prestasi keempat kamera belakang pada peranti ini boleh dikatakan mencukupi keperluan harian pengguna rakyat marhaen untuk menangkap gambar kenangan dan pemandangan mahupun gambar kucing kesayangan mereka. Kamera hadapan pula didatangkan dengan kamera 8MP. realme amat bermurah hati dengan memberikan setup kamera tersebut dalam sebuah peranti mesra poket.

Secara keseluruhan, gambar yang dihasilkan adalah cukup baik, kontras warna yang sederhana tidak terlalu terang dan gelap, dynamic range dilihat mencukupi dalam beberapa situasi pencahayaan. Keperincian gambar yang cukup dan sesedap mata memandang serta warna yang cukup terang dan menarik pada tanda harga sebegini murah.

Dari segi hasil gambar ultralebar, kamera 8MP pada peranti ini sangat mencukupi untuk penggambaran harian tapi hanya dengan pencahayaan yang cukup. Jika kekurangan cahaya dalam kawasan tersebut, warna dilihat kepudaran dan muncul hingar yang tidak sedap dilihat dengan mata.

Hasil portrait bokeh yang dihasilkan dengan kamera realme ini juga amat memuaskan dalam pelbagai senario pencahayaan walaupun sensor kedalamannya hanya 2MP f/2.4. Hasil warna yang terhasil juga amat baik, namun kelihatan tekstur kulit akan dilicinkan sedikit untuk mencantikkan wajah. Akan tetapi, ini menunjukkan kamera realme 5i ini bukanlah cap ayam sahaja malah cukup memuaskan.

Hasil bokeh cukup baik, warna yang cerah, terang dan jelas sekali lagi mencukupi untuk hasil penggambaran bokeh harian anda. Keperincian dan ketajaman objek cukup baik begitu juga dengan edge detection yang cemerlang membezakan objek dan latar belakang.

Rata-rata hasil gambar penggambaran mod malam pada peranti ini amat memuaskan, perincian yang cukup, warna yang terang, keaslian bayang-bayang juga masih dikekalkan. Namun jika dalam pencahayaan yang terhad, hingar akan tetap jelas kelihatan.

Hasil gambar swafoto pula tidak mengecewakan, tetapi golongan wanita akan paling menyukai hasil gambar swafoto peranti ini. Gambar yang terang, akan tetapi hasil gambar akan terlebih exposed pada cahaya dan mengakibatkan latar belakang menjadi lebih terang dan hilang perincian. Akan tetapi hasil tekstur pada kulit tetap dikekalkan. Untuk penggambaran swafoto bokeh, hasilnya juga cukup baik membezakan antara kepala anda dan latar belakang.

Untuk makro lens pula, walaupun tiada signifikannya makro lens tapi ianya satu kamera tambahan yang lebih baik ada daripada tiada walaupun peranti ini sebuah telefon pintar bajet. Sesuai dengan harga, kamera makronya hanya biasa sahaja tidaklah begitu dekat sangat dengan subjek yang ingin diambil, namun fungsi kamea makro itu adalah satu fungsi yang menyeronokkan untuk anda.

Untuk merakam saat indah insan tersayang mahupun aksi kucing and yang boleh menular ke laman sesawang media sosial, kamera utama realme 5i mampu merakam dalam 4K UHD 30fps manakala untuk mendapatkan rakaman yang stable, tukar pada tetapan 1080p 30fps memberikan stabilisation dengan bantuan gyro-EIS. Keseluruhannya, hasil rakaman adalah cukup baik untuk kegunaan harian.

Bateri

realme tidak terlepas dengan menyumbatkan kapasiti bateri sebesar 5000mAh, sebuah kapasiti yang lebih daripada mencukupi untuk kegunaan harian rakyat marhaen. Disatukan pula dengan CPU yang membantu mengoptimasikan penggunaan bateri peranti ini. Jadi anda akan mendapatkan SOT yang cemerlang dalam sekitar 5-7 jam dengan penggunaan yang tidak berat dan hanya bersosial media. Anda juga akan mendapatkan masa standby yang cukup baik dalam sekitar 5 hari jika dalam penggunaan yang sangat ringan. Ini menjadi suatu fenomena yang rare dimana kapasiti bateri mencecah 5000mAh dan sepatutnya menjadi ikutan kepada pengeluar utama telefon pintar yang lain. Syabas realme!

Kesimpulan

Keseluruhannya, realme 5i ini adalah satu game changer dimana seperti yang dikatakan oleh Youtuber terkenal MKBHD, “cheap phones are getting better“. Peranti ini sesuai untuk mereka yang mencari telefon pintar yang basic dan melengkapi setiap keperluan yang mereka cari pada telefon pintar bajet yang cun.

Dengan spesifikasi yang cukup baik untuk penggunaan harian dan melengkapi setiap sudut yang dicari dalam sebuah telefon pintar mesra poket iaitu cip pemprosesan yang cukup baik (SD 665), setup 4 kamera yang boleh menghasilkan gambar yang baik dan juga kapasiti bateri yang besar iaitu 5000mAh. realme telah memberikan sebuah peranti yang boleh dikatakan melengkapi setiap rakyat marhaen pada harga yang sangat berpatutan dengan tanda harga rasmi RM599 (4GB+64GB), jadi apa lagi yang mereka mahu?