(Ulasan) Realme 3 Pro - Peranti Dengan Snapdragon 710 Termurah

Genap menyambut ulangtahun pertama pada April lalu, Realme kini mengorak langkah dalam memberikan saingan kepada syarikat pengeluar yang lain.

Jikalau dahulu nama seperti Xiaomi, Vivo atau OPPO meniti dibibir peminat kelas pertengahan, kini Realme seakan-akan mahu mengambil pentas utama dengan penawaran-penawaran mereka, terutama sekali menerusi pertaruhan model terbaru, Realme 3 Pro.



Rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia baru-baru ini, ikuti ulasan kami setelah beberapa ketika menggunakan Realme 3 Pro.

Spesifikasi Realme 3 Pro

  • Skrin paparan: IPS LCD 6.3 inci (1080 x 2340p), 19.5:9

  • Cip pemprosesan: Snapdragon 710 (Adreno 616)

  • RAM dan memori: RAM 4GB/64GB, RAM 6GB/64GB, RAM 6GB/128GB

  • Memori tambahan: Kad MikroSD sehingga 256GB

  • Slot dwi SIM nano dan satu mikroSD

  • Dwi kamera belakang: 16MP(f/1.7)+5MP(f/2.4)

  • Kamera hadapan: 25MP (f/2.0)

  • Bateri 4045mAh dengan sokongan pengecasan pantas VOOC 3.0 (MikroUSB)

  • ColorOS 6.0 berasaskan Android Pie


Rekaan dan binaan luar Realme 3 Pro

Melihat kepada rekaan serta rupa paras yang dibawakan oleh peranti ini, ia tidak jauh beza berbanding model-model lain yang dilancarkan dalam kelas sama. Bermaksud, panel belakang plastik dilapisi dengan warna dwi tona yang mempamerkan corak berbeza mengikut pantulan cahaya.



Panel belakangnya dihiasi jalur-jalur halus seakan bentuk  'S' dengan tiga pilihan warna iaitu Lightning Purple, Carbon Grey dan unit ditangan kami adalah Nitro Blue. Sesuai dengan fokus syarikat yang menyasarkan golongan muda, warna ungu kebiruan ini ditambah baik dengan rekaan sisi melengkung kearah skrin yang membuatkan genggaman lebih erat pada peranti.



Butang kuasa terletak di sebelah kanan, dan pada sisi bertentangan adalah pelaras kelantangan bunyi. Dibahagian sama terdapat slot dwi SIM nano serta satu slot untuk memori tambahan kad mikroSD dengan sokongan sehingga 256GB. Sementara itu, bahagian bawah disusun antara bicu audio 3.5mm, port pengecasan mikroUSB yang kurang digemari ramai, serta pembesar suara mono.



Mudah kata, binaan peranti ini lebih kurang sama seperti model sebelumnya, Realme 3. Ia tampak premium walaupun hanya plastik yang membaluti panel belakang.

Skrin paparan IPS LCD 6.3 inci

Beralih kebahagian paparan hadapan, Realme 3 Pro dilengkapi dengan skrin paparan IPS LCD berukuran 6.3 inci beserta resolusi FHD+. Takuk 'dewdrop' digunakan bagi menempatkan lensa swafoto 25MP yang juga berfungsi pantas membuat imbasan wajah. Melindungi bahagian hadapan adalah Corning Gorilla Glass 5.



Tontonan pada Netflix sedikit menghampakan kerana ia tidak mempunyai sokongan Wideline L1. Ini bermaksud anda tidak berupaya menstrim kandungan HD di Netflix. Namun, secara keseluruhan, paparan Realme 3 Pro lebih terang berbanding Redmi Note 7 dan Vivo V15 Pro tetapi sudah semestinya, kelebihan terdapat pada peranti Vivo itu kerana teknologi AMOLED digunakan padanya.

Sistem operasi dan prestasi

Sepertimana ulasan kami sebelum ini melibatkan Realme 3, versi Pro tampil sama menjalankan sistem ColorOS 6 yang berasaskan Android 9 Pie.



Skema warna terang bersama-sama font baru Oppo Sans, ColorOS 6 untuk Realme 3 Pro ini siap dipasang dengan beberapa aplikasi seperti pelayar web Opera, WebNovel, ORoaming, Game Space dan beberapa yang lain.

Melalui aplikasi Game Space, anda boleh memainkan aplikasi permainan dengan pengalaman yang lebih baik lagi. Ia menyediakan tetapan untuk anda mengawal notifikasi serta terdapat pilihan mod prestasi untuk beri anda kepuasan bermain. Ketika mula bermain PUBG, aplikasi terus mencadangkan tetapan tertinggi dan ini bermakna, Realme 3 Pro mampu menggalas tugas menjalankan permainan bergrafik tinggi itu melalui spesifikasi baik yang dibawa.

Realme 3 Pro hadir dikuasakan dengan cip pemprosesan Snapdragon 710 yang merupakan cip 8-teras (2x Kryo 360 | 6x Kryo350) dan kelajuan 2.2GHz. Dibahagian grafik pula menggunapakai Adreno 616 dan ia dilihat sebagai kelebihan berbanding Redmi Note 7 Pro yang dilengkapi dengan Snapdragon 675.

Aktiviti biasa seperti bertukar-tukar aplikasi, memainkan aplikasi permainan bergrafik tinggi, tidak mendatangkan masalah kepada pengguna Realme 3 Pro.

Kamera utama sama macam OnePlus 6T

Bagi fungsi rakaman foto dan video, Realme 3 Pro didatangkan dengan lensa utama 16MP dan 5MP bagi kesan kedalaman gambar.



Untuk makluman, lensa utama peranti ini merupakan sensor Sony IMX519 dan ia adalah sensor yang sama digunakan pada OnePlus 6T. Namun begitu, ia tidak mempunyai OIS sepertimana model 6T.

Memasuki aplikasi kamera, ia ringkas dengan menghidangkan Video, Photo dan Potrait pada paparan utama. Menu bahagian tepi pula menyenaraikan ciri seperti Nightscape, Pano, Expert, Time-Lapse dan Slow-Mo.

Seperti model yang sebelumnya juga, terdapat ciri Chroma Boost yang fungsinya melebihi mod HDR dimana imej disusun untuk meningkatkan jarak dinamik serta saturasi warna yang lebih baik.

Menariknya lagi, Realme 3 Pro turut menyediakan mod UltraHD yang mana ia akan mengeluarkan hasil 64MP. Gambar hasil mod ini mirip 16MP yang dipertingkat serta sedikit tajam, tak jauh beza rakaman 16MP biasa. Untuk mengakses mod rakaman ini, anda boleh pergi ke bahagian Expert.

Rakaman video 4K boleh dibuat pada kadar 30fps tetapi kelihatan kurang stabil dan anda boleh nikmati penstabilan EIS pada resolusi FullHD.

Realme 3 Pro memberikan hasil rakaman yang sangat baik bagi peranti dalam lingkungan harganya. Imej memperlihatkan perincian yang cukup baik dan hingar yang tidak keterlaluan.



Bateri

Ke bahagian bateri pula, Realme 3 Pro dibekalkan dengan bateri 4045mAh, lebih sedikit dari pesaing terdekat Redmi Note 7 yang mempunyai bateri 4000mAh.

Screen-on-time yang diperoleh adalah sekitar 6-7 jam. Walaupun kurang menggemari port mikroUSB yang digunakan pada peranti, tempoh masa untuk isian penuh boleh diberi pujian. Ia mengambil masa kira-kira 1 jam 15 minit untuk isian dari 10%-100% melalui pengecasan pantas VOOC 3.0 (20W).

Kesimpulan

Walaupun boleh dikatakan "hijau" lagi berbanding syarikat-syarikat pengeluar lain, Realme nampaknya sudah berjaya menghasilkan sebuah peranti yang mampu memikat hati pengguna.

https://www.youtube.com/watch?v=UXcbDhGYNFw&t=2s

 

Berada dalam kelas pertengahan, Realme 3 Pro berhadapan saingan dari model seperti Vivo V15 Pro, Honor 8X serta Redmi Note 7. Imbas kembali dari segi spesifikasi yang dibawa serta tanda harga yang diletakkan pada Realme 3 Pro, ia antara peranti pertengahan yang baik dan kami tidak terkejut ia bakal mendapat sambutan hangat apabila mula dijual kelak.