(Ulasan) Realme 3 – Prestasi Yang Sepadan Dengan Harga

Reading Time: 4 minutes

Realme pertama kali dilancarkan sekitar Mei 2018 di India sebagai sebuah sub-jenama dibawah OPPO. Tidak lama selepas itu, syarikat terbabit telah mengumumkan perpisahannya dengan OPPO dan bergerak sendiri dengan fokus untuk memberikan telefon pintar berprestasi baik, rekaan menarik untuk digayakan golongan muda pada harga yang berbaloi.

Memasuki pada pasaran tempatan pada tahun lalu, tiga model yang dibawa adalah realme 2, realme 2 Pro serta realme C1. Bagi meneruskan lagi penawaran, sebuah lagi model ditawarkan iaitu realme 3.

Spesifikasi yang dibawa Realme 3

  • cip pemprosesan MediaTek Helio P60,
  • skrin paparan 6.2 inci HD+,
  • dwi kamera belakang 13MP+2MP,
  • kamera swafoto 13MP,
  • RAM 3GB/32GB dan RM 4GB/64GB,
  • Bateri 4230mAh dengan pengecas 10W,
  • ColorOS 6.0 berasaskan Android Pie.

Rekaan luar

Sesuai dengan fokus syarikat yang menyasarkan peranti untuk golongan muda, realme 3 dibangunkan dengan rekaan unibody atau kerangka tunggal bersama warna segar dibahagian belakang.

Panel belakangnya kelihatan bergemerlapan dengan gabungan warna  hitam dan ungu dan satu lagi pilihan warna adalah biru kehijauan.

Kedudukan butang fizikal seperti butang kuasa, pelaras kelantangan bunyi, port pengecasan dan bicu audio 3.5mm masih sama seperti model realme 2. Kelainan adalah pada peletakkan lensa kamera yang mana ia menegak kebawah. Tidak jauh dari susunan lensa kamera, diletakkan dengan sensor pengimbas cap jari.

Tidak seperti realme 2, takuk yang digunakan pada realme 3 mirip seperti realme 2 pro, memberikan lagi paparan yang lebih luas. Takuk ibarat titisan iair itu diletakkan dengan lensa kamera hadapan 13MP serta sensor proximity.

Pegangan tangan dapat dibuat dengan kemas, tetapi dirasakan sisi skrin yang timbul sedikit mengganggu keselesaan. Bagi pengguna yang menggunakan dua nombor, realme 3 disediakan dengan slot dwi kad sim dan satu slot untuk kad MikroSD.

Sistem antaramuka ColorOS 6.0 dengan penampilan yang lebih kekinian

Melapisi bahagian atas sistem adalah antaramuka ColorOS 6 yang juga digunapakai pada barisan peranti OPPO yang lain seperti contoh OPPO F11 Pro.

Penampilan baru yang kemas pada bahagian ikon dan ruang notifikasi, tidak seperti versi terdahulu yang kerap kali dikaitkan dengan antaramuka iOS. Penambahbaikan yang ketara dilihat adalah ciri App Drawer. Bagi yang tidak berselera dengan App Drawer boleh menukarnya kepada mod Standard.

Ia turut mempunyai beberapa isyarat navigasi yang boleh dipilih mengikut kesesuaian penggunaan masing-masing.

Prestasi realme 3

Menguasakan dari dalam adalah cip pemprosesan MediaTek Helio P60 bersama memori RAM 4GB dan ruang simpanan 64GB (unit yang kami ulas). Bagi peranti dengan tanda harga RM699, prestasi yang dipamerkan adalah baik.

Tidak banyak keluhan daripada penggunaan seperti bertukar antara aplikasi atau membuka beberapa aplikasi pada satu-satu masa. Ia berjalan lancar dan hanya satu dua kali sahaja tersekat, tetapi itu bukanlah masalah besar kerana secara keseluruhannya adalah tidak menghampakan.

Dari segi memainkan aplikasi permainan berat seperti PUBG, segalanya baik pada tetapan grafik ditahap medium. Memainkannya dalam masa yang panjang, peranti dirasakan mula memanas sedikit, lebih-lebih lagi disekitar pengimbas cap jari, tetapi tidaklah sehingga ke tahap kritikal yang membuatkan anda kurang selesa.

Bagi menambahbaik pengalaman permainan, ciri Game Space boleh digunakan untuk memberi lebih kawalan prestasi kepada pengguna, sama ada mahu prestasi baik tetapi mengerah lebih kuasa bateri atau prestasi yang seimbang dengan penggunaan kuasa atau yang lebih jimat tenaga.

Terdapat dua ciri keselamatan biometrik iaitu berasaskan wajah dan cap jari. Wajah pantas diimbas tetapi prestasinya kurang memberangsangkan pada persekitaran gelap dan kami lebih selesa menggunakan imbasan cap jari sahaja.

Gandingan dwi-kamera yang tidak mengecewakan

Realme 3 hadir dengan dwi kamera belakang iaitu lensa 13MP dan 2MP yang hadir bersama ciri sokongan seperti Nightscape, Hybrid, HDR, Chroma Boost dan mod Potret.

Mahupun peranti ini dikelaskan sebagai peranti kelas pertengahan dengan harga bajet, hasil kamera tidak menghampakan. Memang tidak setanding dengan rakaman peranti flagship ribuan ringgit, tetapi pada pencahayaan baik, gambar yang dihasilkan sudah enak dipandang.

Menambahbaik rakaman gambar, pengguna boleh menggunakan ciri Chroma Boost yang mana ia akan meningkatkan lagi warna, kontras, dan saturasi imej.

Rakaman pada waktu malam biasa sahaja dengan perincian yang sedikit hilang, dan terdapat hingar. Untuk memperbaik kekurangan ini, ciri Nightscape tampil untuk memberikan imej yang lebih perincian dan terang.

Kamera hadapan realme 3 menggunapakai kamera 13MP dimana pada pencahayaan terang, hasil diberikan seimbang dari segi perincian dan kontrasnya. Mudah kata, bagi keperluan perkongsian di media sosial, kamera dari peranti RM699 ini tidaklah mengecewakan.

Bateri cukup untuk penggunaan seharian

Realme 3 dipasang dengan bateri berkapasiti 4230mAh dan tidak boleh dinafikan, keupayaannya dalam menjana peranti pada tempoh yang agak panjang.

Dengan penggunaan bateri sebesar ini, ia menepati jangkaan kami dimana ia mampu bertahan lebih dari satu hari untuk penggunaan biasa. Screen-on-time  yang diperolehi adalah sekitar 9-10 jam dan untuk daya isian penuh dari 0% hingga 100%, ia memerlukan masa lebih kurang 2 jam 20 minit.

Ya, agak lama tetapi berdasarkan ketahanannya untuk menjana peranti, ia bukanlah satu masalah besar. Seperkara lagi yang mungkin tidak digemari adalah port pengecasan masih mengekalkan port mikroUSB, tetapi dijual bawah RM700? Apa lagi yang nak dikeluhkan?

Keseluruhan

Walaupun mengggunakan cip pemprosesan yang kurang popular, sejujurnya sepanjang tempoh kami menggunakan peranti ini, ia beraksi baik dan lancar.

Tipulah kalau kami kata tiada lag langsung, tapi secara menyeluruh dengan harga dibawah RM700 ia antara peranti yang sesuai untuk dimiliki.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *