(Ulasan) Realme 2 Pro - Pesaing Baru Untuk Kelas Pertengahan

Tren mewujudkan sub jenama nampaknya semakin popular dalam kalangan pembuat telefon pintar berpengkalan di China.

Huawei dengan Honor, Lenovo dengan Zuk, Xiaomi dengan Poco dan OPPO pula memperkenalkan Realme pada Mei yang lalu.

Hal ini dengan secara tak langsung memberikan pilihan kepada pengguna untuk memilih peranti mana yang dirasakan terbaik mengikut citarasa masing-masing.

Semenjak diumumkan pada September yang lalu, kami telah diajukan beberapa soalan mengenai Realme 2 Pro. Baru-baru ini kami berkesempatan menggunakannya dan ini pandangan kami terhadap model tersebut.

Rekaan



Jika keluaran terdahulu Realme 1 dan Realme 2 tampil dengan panel belakang seperti berlian, versi Pro kali ini tampak ringkas dengan panel polikarbonat resin beserta lapisan laminate atom, menimbulkan unsur-unsur telus pada bahagian belakang.



Penjuru kiri diletakkan dengan lensa dwi kamera dan fungsi flash dengan sensor imbasan cap jari yang mudah diakses dan tulisan "realme" dibawah.



Dikelilingi dengan bingkai melengkung sedap dipegang tangan. Butang kuasa disebelah kiri, sementara butang pelaras kelantangan bunyi berada disebelah kanan ditemani slot dwi sim nano dan slot kad MikroSD. Bahagian bawah pula dilengkapi dengan speaker, port Mikro USB dan bicu audio 3.5mm.



Paling menawan adalah skrin paparannya dengan takuk comel diisi bersama lensa 16MP. Gorilla Glass 3 melindungi skrin berukuran 6.3 inci. Realme 2 Pro dibekalkan dengan pengecas 10W, kabel Mikro USB, pin untuk keluarkan slot sim kad, sarung silikon dan manual.

Spesifikasi dan Sistem Dalaman

Senang cakap Realme 2 Pro membawakan spesifikasi yang agak mantap untuk kelas pertengahan. Dijana dengan cip pemprosesan Snapdragon 660, ia boleh dilihat mampu memberi saingan terus kepada Mi A2.

Mempunyai variasi RAM 4GB/ 64GB, RAM 6GB/ 64GB dan RAM 8GB/128GB. Mempunyai sokongan Bluetooth 5, Wi-Fi 802.11ac, kompas tetapi tiada ciri Radio FM dan NFC.

Ia hadir menjalankan antaramuka ColorOS 5.2 berasaskan Androd 8.1. Jika anda meminati Mi A2 tetapi kurang menggemari Android One, peranti ini mungkin alternatif pilihan untuk anda.



Selain nyahkunci menggunakan cap jari, ia juga mempunyai sistem pengesanan wajah. Seperti kebanyakkan sistem imbasan wajah, ia hanya akan menyahkunci skrin apabila mata dibuka.

Ada ciri Clone Apps, Clone Phone, dan Smart Play yang mana jika skrin tidak menyala, video yang dimainkan dalam telefon (video yang tersimpan dalam memori telefon) masih mengeluarkan bunyi.

Prestasi telefon pintar

Sejujurnya bagi kelas pertengahan ia boleh dikatakan baik. Sistem dan antaramuka berjalan lancar. Setakat memainkan permainan PUBG yang berat itu tidak menjadi masalah kepada Realme 2 Pro. Tetapi jika bermain terlalu lama, rasa sedikit suam pada panel belakang dan itu normal.



Tidak suka diganggu ketika bermain permainan? ia didatangkan dengan aplikasi Game Space, menghalang notifikasi dan membersihkan memori untuk meningkatkan prestasi permainan.

Bunyi yang dihasilkan tidak berapa lantang tetapi tidak pula mengecewakan.

Kamera

Sistem kamera utama yang berada dibelakang menggunapakai lensa 16MP dengan nilai aperture f/1.7. Gambar pada waktu siang amat memuaskan dari segi ketepatan dan kejelasan foto.



Untuk ciri bokeh, sensor 2MP digunakan dan hasilnya mod potret nampak bagus dan latarbelakang kabur yang kemas.

Rakaman foto pada waktu kurang cahaya biasa sahaja dimana boleh dilihat gangguan pada gambar. Anda boleh merakam video pada resolusi 4K tetapi tiada penstabilan. Video waktu siang kelihatan cantik tetapi sedikit kurang pada waktu malam.

Melengkapkan bahagian hadapan adalah kamera selfie 16MP. Ada ciri pelekat untuk menjadikan foto lebih menarik.



Bateri

Realme 2 Pro dijana dengan bateri berkapasiti 3500mAh. Boleh bernyawa selama satu hari dengan penggunaan normal seperti aplikasi media sosial, panggilan suara, menonton video dan permainan video yang berkadar.

Sedikit hampa ia tidak menyokong  pengecasan pantas dimana untuk memenuhkan bateri, ia mengambil masa 2 jam 25 minit. Pengecasan selama sejam berada disekitar 71%.

Keseluruhan

Kesimpulan yang dapat dibuat, Realme 2 Pro menjanjikan prestasi yang berbaloi untuk kelas pertengahan berbanding Realme 2. Naik taraf dari Snapdragon 450 kepada Snapdragon 660, dan mungkin sekali imbas ia mirip kepada OPPO F9 tetapi pada nilai jualan yang berada dibawah paras RM1000.



Paparan yang tidak menghampakan, imbasan wajah yang agak pantas, takuk comel, dan boleh digelar pencabar kepada peranti Snapdragon 660 yang lain.

Difahamkan Realme 2 Pro bakal dilancarkan untuk pasaran tempatan dalam tempoh terdekat. Sama-sama kita nantikan harga jualan tempatan untuk bakal pesaing kelas pertengahan ini.