(Ulasan) Razer Phone 2 - "Senjata" Yang Perlu Dimiliki Oleh Setiap Pemain

Tahun 2018 boleh dianggap sebagai tahun yang mengubah landskap industri telefon pintar dunia. Kebanyakan daripada pengeluar mula menghasilkan peranti yang menfokuskan permainan mudah alih.

Salah satu model yang telah diperkenalkan pada tahun lepas ialah Razer Phone 2. Ia adalah merupakan generasi kedua bagi siri Razer Phone yang kali terakhir dilancarkan pada November 2017.

Sehubungan dengan itu, Razer Malaysia telah memberi kami peluang untuk merasai sendiri pengalaman menggunakan peranti kuasa besar industri gaming dunia itu. Dan ini adalah pandangan saya selepas beberapa hari bersama Razer Phone 2.

Panel Belakang Dengan Lampu RGB Menawan


Razer terkenal dengan reka bentuk produknya yang kelihatan futuristikRazer Phone 2 kali ini juga tidak ketinggalan. Akan tetapi, pertama kali melihat peranti ini dari bahagian hadapan ia seperti tiada perbezaan ketara dengan generasinya yang pertama.



Telefon ini hadir dengan skrin IGZO LCD bersaiz 5.72-inci keluaran SHARP dengan refresh rate 120Hz, yang tertinggi yang pernah dimiliki oleh sebuah telefon pintar.

Peranti ini juga didatangkaan dengan pembesar suara Dolby Stereo dibahagian atas dan bawah skrin peranti bagi menawarkan sistem audio mengagumkan terutama ketika bermain permainan video.



Bezel tebal dibahagian dahi peranti juga menjadi kawasan di mana kamera swafoto 8MP-nya ditempatkan.

Tarikan utama peranti ini adalah dibelakangnya. Lampu RGB boleh diubahsuai melalui fungsi Chroma yang menghiasi logo Razer dibelakang peranti ini mampu mempersonakan semua peminat tegar permainan video.



Ia ditambah pula dengan binaan yang menggunakan panel kaca berkilai yang turut dilengkapi dengan tetapan kamera utama dwi-lensa 12MP+12MP di bahagian atas logo.

Disebelah sisi kanan peranti dipasangkan satu butang yang berfungsi sebagai butang kuasa dan sensor imbasan cap jari sekaligus.



Di sisi kirinya pula diletakkan butang kawalan bunyi dan slot kad sim serta mikroSD manakala port pengecasan USB-Type C terletak dibahagian bawah.

Tiada sokongan bicu audio 3.5mm pada peranti ini namun pihak Razer ada membekalkan penyambung bicu dalam setiap kotak belian.

Pada pendapat saya, saya lebih gemarkan peranti yang mempunyai sedikit lengkungan dibahagian tepinya berbanding bucu tajam yang dipunyai oleh Razer Phone 2 ini.

Antaramuka Seakan Android Tulen


Peranti ini didatangkan dengan sistem operasi Android 8.1 Oreo dari dalam kotak namun telah menerima kemaskini Android 9 Pie baru-baru ini.



Antaramuka pengguna yang ada pada peranti ini kelihatan seperti Android tulen akan tetapi ia hadir dengan Nova Launcher.

Walaubagaimanapun, Razer masih lagi menggunakan beberapa aplikasi mereka sendiri antaranya Razer Theme Store, Chroma dan Cortex.



Bercakap mengenai Cortex, pengguna boleh mencari permainan yang menggunakan kemudahan skrin 120Hz yang dimiliki peranti ini secara optimum melalui senarai khas yang disediakan.

Bukanlah Peranti Terbaik Bagi Penggemar Fotografi


Razer Phone 2 ini hadir dengan tetapan kamera utama dwi-lensa 12MP+12MP serta lensa 8MP pula digunakan bagi membuat tangkapan swafoto.

Ia adalah tetapan yang sama dengan keluaran terdahulu, cuma mempunyai saiz bukaan aperture yang berbeza.



Razer Phone hadir dengan bukaan aperture f/1.8 dan f/2.6 manakala Razer Phone 2 pula mempunyai bukaan aperture f/1.75 dan masih kekalkan f/2.6 untuk lensa kedua.

Berikut adalah contoh gambar yang dihasilkan oleh tetapan kamera pada peranti ini:



Kualiti swafotonya juga hanya berada di tahap memuaskan. Pada pendapat saya, "Beauty Mode" pada peranti ini agak keterlaluan dan perlu ditambahbaik pada keluaran akan datang.



Untuk rakaman video pula, kamera peranti ini menyokong rakaman 4K pada 30fps dan disokong pula oleh penstabilan imej optikal(OIS).

Secara keseluruhan, saya berasa Razer perlu mempertingkatkan kualiti kameranya sedikit agar dapat bersaing dengan peranti lain yang dijual pada tanda harga yang sama.

Prestasi: Di Sini Kekuatan Sebenar Razer Phone 2


Sebagai peranti yang menfokuskan kepada permainan video mudah alih, sememangnya Razer Phone 2 ini dibangunkan dengan spesifikasi yang berkuasa tinggi.

Ia dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon 845 dengan GPU Adreno 630 selain memori sebesar 8GB RAM.

Tidak perlu rasanya kami menceritakan bagaimana lancarnya penggunaan peranti ini menjalankan aktiviti harian biasa. Memang sangat-sangat lancar.



Sebenarnya, perkara pertama selepas saya menerima peranti ini ialah memasang beberapa permainan video. Antaranya PUBG Mobile, ARK: Survival Evolved dan Dream League Soccer.

Seperti dijangka, Razer Phone 2 ini tidak mempunyai masalah untuk memainkan permainan ini pada kualiti grafik tertinggi. Prestasi dalamannya memang amat memberansangkan.

Ditambah pula dengan pembesar suara Dolby Atmos dan skrin 120Hz yang dimiliki, bermain permainan video memang amat mengasyikkan.



Satu-satunya masalah yang dihadapi peranti ini ialah ia akan mula berasa panas walaupun hanya selepas kira-kira 30 minit bermain permainan video.

Mungkin bahan binaannya yang berasaskan kaca menjadi penyumbang kepada masa ini.

Namun secara keseluruhan, saya memberi gred A+ kepada keupayaan dalaman yang dimiliki oleh Razer Phone 2 kali ini.

Daya Tahan Bateri Yang Sederhana Untuk Sebuah Peranti 4,000mAh


Penggunaan harian Razer Phone 2 ini dijana oleh bateri berkapasiti 4,000mAh yang menyokong pengecasan pantas Quick Charge 4.0.

Dalam tempoh 30 minit, bateri peranti ini mampu dicas sehingga ke tahap 48-50%.



Manakala bagi pengecasan penuh pula, ia mengambil masa kira-kira 1 jam 18 minit bagi mengecas penuh peranti ini.

Untuk daya tahan bateri pula, boleh saya katakan daya tahan bateri peranti ini adalah agak sederhana.

Ini kerana bermain permainan video selama 2 jam tanpa henti telah menyebabkan kuasa bateri turun sehinga 62 peratus.

Untuk rekod, Galaxy Note 9 milik saya yang mempunyai kapasiti bateri yang sama masih berbaki kira-kira 79% selepas 2 jam bermain games.



Mungkin beberapa faktor lain mempengaruhi namun setidak-tidaknya ia patut berada di tahap maksima 70% bagi saya.

Secara keseluruhan, peranti ini hanya mampu bertahan kira-kira 5 jam 10 minit untuk penggunaan keras iaitu bermain permainan video dan menonton siri Netflix.

Akan tetapi, ia masih lagi mampu bertahan selama satu hari bagi penggunaan harian biasa tanpa sebarang masalah.

Peranti Yang Cemerlang Untuk Gamers, Tapi Tidak Bagi Bukan Orang Lain


Ya, Razer Phone 2 adalah merupakan sebuah peranti gaming yang sangat cemerlang.

Tidak salah jika saya katakan, peranti ini adalah salah satu peranti yang sering diidam-idamkan oleh para penggemar permainan mudah alh selain ASUS ROG dan Xiaomi Black Shark.



Bagaimanapun, harga jualan rasmi RM3,449 yang ditawarkan mungkin akan menjadi sedikit masalah tambahan pula terdapat peranti dengan cip Snapdragon 855 yang dijual pada harga yang lebih murah ketika ini.

Mungkin pihak Razer perlu mengkaji semula harga jualan ini di masa akan datang agar mereka dapat menarik minat pembeli di negara ini.

Walaubagaimanapun, seperti yang dinyatakan pada tajuk sub-topik di atas, jika anda bukan seorang gamer tegar, Razer Phone 2 bukanlah peranti sesuai untuk anda miliki.