(Ulasan) Pocophone F1 - Telefon Pintar Paling "Pailang" 2018

Luaran nampak biasa tapi dalam ada "isi". Itulah yang boleh kita katakan pada Pocophone F1. Diperkenalkan sebagai sub jenama dibawah payung Xiaomi, Pocophone dah jadi buah mulut pengguna sejak Ogos yang lalu.

Ramai yang terkejut dengan nilai harga yang diletakkan pada Pocophone F1 ini. Letak Snapdragon 845 dan jual pada harga bermula RM1299. Pailang tak pailang?

Sebelum ini kita ada OnePlus yang cukup terkenal dengan jolokan flagship killer, namun sekarang dah nampak tak berapa nak kill. Asus pula hadir dengan Zenfone 5Z pada harga RM1800 dan pada masa tu, ia digelar "flagship killer" killer. Tapi apakan daya, Mi 8 pula menjengah pasaran dengan harga yang lebih rendah beserta prestasi yang lebih menawan.

Belum pun sempat Mi 8 nak mendabik dada, Pocophone F1 pula muncul melambai-lambai dipasaran peranti berpatutan dengan spesifikasi tinggi.



Senang cakap, Pocophone F1 ni ibarat seorang penyelamat yang ditunggu-tunggu semua. Ia nak selamatkan poket anda. Kalau filem KL Gangster, Malik belasah Dragon dengan Shark,tapi kali ini harga Pocophone F1 tempeleng habis model midrange yang sedia terjual dipasaran. Harga paling "samseng" untuk peranti Snapdragon 845 setakat ni.

Cukup-cukuplah intro, jom kita lihat apa yang pailang sangat pasal Pocophone F1 ni.

Rekaan Luaran


Dah cakap diawal ulasan, luaran biasa tapi dalam ada "isi". Rekaannya biasa-biasa sahaja. Tak samseng, juga tak jambu.

Pertama kali pandang pada panel belakang, ia kelihatan seperti logam tapi sebenarnya ia diperbuat daripada plastik polikarbonat.Plastik lebih murah daripada kaca. Tak terlalu kesat, juga tak licin.



Panel belakang dihiasi dengan lensa dwi kamera diletakkan secara menegak pada bahagian tengah dan melengkapkannya adalah dual flash disebelah kanan. Sebaris dengan lensa kamera adalah sensor pengimbas cap jari. Disebelah bawah pula tertera "POCOPHONE by Xiaomi". (Antarabangsa=Pocophone, India=Poco)

Paparan hadapan pula menampilkan skrin IPS LCD berukuran 6.18 inci dengan rekaan takuk yang menempatkan lensa selfie, sensor inframerah bagi sistem imbasan wajah, LED flash dan speaker/saluran pendengaran. Takuk dan bezel dibawah kelihatan besar sedikit. Jika dilihat dari sisi, skrin nampak timbul dan pegangan tangan kurang selesa kerana terasa lekuk disekitarnya.

Kapsyen: LED Notification terletak dibezel bawah ya


Mengelilingi peranti adalah bingkai diperbuat daripada aluminium. Disebelah kanan ada butang pelaras kelantangan bunyi, dan butang kuasa. Disisi kiri pula diletakkan slot kad sim hybrid (kad sim 1/ kad sim 2 + kad MikroSD).



Bicu audio 3.5mm pula diletakkan dibahagian atas kanan sementara bahagian bawah mempunyai port pengecasan UBS -C. Ia diapit oleh dua saluran, satu berfungsi sebagai mikrofon dan satu lagi adalah speaker. Gabungan speaker dibawah dan diatas (speaker ditakuk) memberikan sokongan audio stereo bagi Pocophone F1.

Paparan dan Antaramuka


Pocophone F1 menggunakan paparan dari jenis IPS LCD 6.18 inci dengan nisbah paparan 18.7:9. Ia dilindungi oleh Corning Gorilla Glass. Paparannya tidak menghampakan dan bentuk-bentuk ikon yang kelihatan sangat kemas.

Pocophone F1 menjalankan antaramuka "MIUI for Poco". Tampak sama seperti MIUI biasa tetapi ia disertakan dengan pelancar Poco Launcher yang menyediakan app drawer.

App drawer memaparkan semua aplikasi yang dipasang pada telefon pintar tetapi anda boleh tatal ke kiri untuk akses berdasarkan kategori: Communication, Entertainment, Tools dan lain-lain.



Untuk memudahkan anda, app drawer juga boleh menyusun aplikasi berdasarkan warna. Lebih mudah untuk anda cari aplikasi.

Bagi paparan skrin penuh, butang navigasi maya boleh disembunyikan dan navigasi boleh dilakukan menerusi sentuhan.


Spesifikasi Dalaman dan Prestasi


Spesifikasi dalaman Pocophone F1 boleh dikatakan menepati selera pengguna masa kini. Dipacu dengan cip pemprosesan 845, ia diiringi dengan RAM 6GB bersama pilihan storan 64GB atau 128GB. Tak cukup? anda juga boleh sumbat kad MikroSD sehingga 256GB.

Menarik tentang spesifikasi Pocophone F1 adalah ia mempunyai sistem penyejukan cecair, LiquidCool, terdiri daripada ruang wap air dengan saluran tembaga yang melalui setiap permukaan komponen penting dalam peranti terbabit.

Apabila pemproses mula memanas, cecair didalam ruang itu akan menyejat  dan bergerak ke hujung saluran yang sejuk dan bertukar menjadi cecair semula untuk proses pemindahan haba.

Untuk tujuan prestasi, kami "lanyak" Pocophone F1 dengan cara memainkan aplikasi permainan bergrafik tinggi seperti PUBG. Permainan dimainkan lebih kurang sejam, dan peranti tidak berasa panas seperti beberapa model lain. Terima kasih kepada sistem penyejukan.

Bagi sistem keselematan, Pocophone F1 menggunakan dua ciri biometrik iaitu imbasan cap jari dan imbasan wajah. Seperti yang dijangka, kedua-duanya menampilkan prestasi yang baik, lebih-lebih lagi bagi imbasan wajah. Ia sangat pantas mengesan wajah dan seperti Mi 8, anda perlu membuka sekurang-kurangnya satu mata untuk membolehkan skrin dibuka.

Kamera


Model ini menggunakan dwi kamera belakang hasil gabungan lensa 12MP (f/1.9) + 5MP (f/2.0). Tetapan kamera ini dibantu dengan teknologi AI dan hanya menyokong sistem penstabilan elektronik (EIS) untuk rakaman video. Kamera selfie menggunakan 20MP f/2.0.



Sensor 12MP belakang yang digunakan sama seperti Mi Mix 2S iaitu IMX363. Gambar diwaktu siang hasil gambar terang dan

Tak mahu cerita banyak, anda nilaikan sendiri gambar dari peranti. Ayuh...


































Keupayaan Bateri


Satu lagi daya penarik bagi Pocophone F1 adalah bateri berkapasiti 4000mAh. Jika dilihat pada kotak, ia menyatakan peranti ini hanya menyokong Quick Charge 3.0 sahaja, tetapi pengumuman terbaru memberitahu Pocophone F1 menyokong Quick Charge 4.0.

Dibekalkan dengan pengecas 5V 2.5A/9V 2A/12V 1.5A, pengecasan selama 10 minit memberikan kuasa sebanyak 11% manakala pengecasan satu jam pada tahap 75%.

Dari 0% hingga 100% ia mengambil masa kurang daripada 2 jam. Bagi yang mahukan masa mengecas lebih pantas, anda bolehlah membeli pengecas yang menyokong Quick Charge 4.0.

Penggunaan harian biasa mampu menjangkau 2 hari dan ia dilihat lebih baik daripada Redmi Note 5.

Setelah bateri dicas penuh, kami memainkan PUBG selama lebih kurang satu jam setengah dan bateri hanya turun ke tahap 70%. Ok serius, bateri dia best.

Kesimpulan


Tak payah nak simpul-simpul. Bagi tanda harga RM 1299 (6GB/64GB) dan RM 1499 (6GB/128GB), Pocophone dah mengubah tren harga peranti yang boleh dikelaskan sebagai flagship.



Ada sistem penyejukan LiquidCool, ada imbasan wajah dan cap jari, kualiti kamera yang jelas dan tajam, bateri yang mampu bernyawa menghampiri 2 hari, MIUI for Poco yang lebih kemas dan ringan, speaker stereo, peranti dengan Snapdragon 845 termurah dipasaran, sudah cukup membuatkan Pocophone F1 telefon pintar paling pailang dipasaran.

Baca Juga - Pocophone F1 vs Xiaomi Mi 8 vs Honor Play, Nak Beli Mana Satu?

Untuk ulasan video oleh Haikel, bolehlah jengah kebawah ya. Sekian, terima kasih.

https://www.youtube.com/watch?v=8icdER3NfH8