(Ulasan) OPPO Reno8 Pro 5G - "Find X5 Pro" Yang Lebih Mesra Poket

OPPO Reno8 Pro 5G merupakan salah satu model dalam barisan Reno8 untuk siri Reno pada tahun 2022 ini. Pada kali ini, OPPO menampilkan rekaan yang baharu berbanding pendahulunya, OPPO Reno7 Pro.

OPPO telah memperbaharui rekaan bentuk bonggol kamera pada Reno8 Pro 5G ini seakan-akan OPPO Find X5 Pro dan posisi kamera swafoto di tengah-tengah paparan.

Selain daripada rekaan, OPPO Reno8 Pro yang sedang saya gunakan ini mempunyai spesifikasi seperti di bawah:

  • Cip Pemprosesan – MediaTek Dimensity 8100-Max (5nm) 

  • Memori & Storan – RAM 12GB, 256GB (UFS 3.1) 

  • Sistem Operasi – ColorOS 12.1 Berasaskan Android 12 

  • Bateri & Pengecas – 4,500mAh, Pengecasan Pantas 80W 

  • Jenis & Saiz Paparan – Paparan AMOLED 120Hz, 6.7 Inci  

  • Kamera Utama – 50MP utama, 8MP ultra lebar, 2MP makro

  • Kamera Swafoto – 32MP 

  • Ciri Istimewa – Sokongan NFC, Pengecasan Berbalik 


Bagi peminat OPPO di luar sana, siri Reno sememangnya model yang paling dinantikan dan tidak dinafikan sebagai salah satu kekuatan OPPO dalam pasaran telefon pintar tempatan.



Selain kekuatan siri Reno pada prestasi kamera, OPPO Reno8 Pro 5G ini juga menawarkan pelbagai kelebihan lain yang boleh anda pertimbangkan untuk membeli peranti Reno tersebut.

Dimensity 8100-Max


(Cip yang kekal berkuasa dan sejuk berbanding pesaingnya)

Peranti OPPO Reno8 Pro 5G ini dikuasakan cip pemprosesan Dimensity 8100-Max yang merupakan salah satu cip yang berkuasa daripada MediaTek. Cip ini menggunakan teknologi 5nm daripada TSMC, Dimensity 8100 ini menawarkan peningkatan prestasi hingga 20% dalam pemprosesan grafik.



Dan untuk variasi "Max" ini, MediaTek melaporkan cip ini mempunyai prestasi 20% lebih pantas berbanding abangnya sendiri (Dimensity 8100). Oleh itu, anda tidak menghadapi sebarang masalah untuk bermain sebarang permainan mudah alih seperti Asphalt 9, Genshin Impact dan apatah lagi permainan multi-permain (MOBA / Battle Royale) yang lain.

Antara kelebihan yang saya sedar pada peranti MediaTek ini adalah ia sukar untuk menjadi panas terutamanya ketika bermain game. Sekiranya OPPO Reno8 Pro 5G menjadi panas sekalipun, panasnya tidaklah terlalu tinggi dan berada dalam suhu yang masih boleh diterima lagi.

Tambahan lagi, prestasi cip ini juga 25% lebih cekap kuasa berbanding pendahulunya dan mampu memberikan prestasi bateri yang 20% lebih tahan lama untuk kegunaan harian anda. Oleh itu, anda tidak menghadapi masalah peranti kekurangan bateri ketika disaat anda memerlukannya.

Dengan kelajuan hingga 2.85GHz, Dimensity 8100-Max ini mempunyai prestasi yang sangat cemerlang dan setanding dengan Snapdragon 888 yang pernah menjadi cip paling berkuasa sebelum ini. Jadi, OPPO Reno8 Pro 5G memberikan satu penggunaan peranti yang sangat lancar, tanpa masalah dan cukup baik.



Dalam penggunaanya, perkataan kelancaran dan kecekapan adalah 2 perkara yang akan ada dalam pengalaman anda menggunakannya. Membuka aplikasi media sosial seperti TikTok, Facebook, Twitter dan lain-lain sememangnya pantas.

Sementara waktu menunggu persediaan membuka permainan mudah alih pula berbeza mengikut prestasi dan keperluan grafik sesebuah game itu sendiri. Ada yang memerlukan anda untuk menunggu tetapi ada juga yang membuatkan anda rasa tidak pun seperti menunggu. Secara keseluruhan, tiada masalah dalam kemampuan peranti ini mengendalikan sebarang game di luar sana.

Storan UFS 3.1 Pada Saiz 256GB


(Storan yang besar tetapi kelajuan yang pantas)

OPPO Reno8 Pro 5G menawarkan variasi storan bersaiz 256GB sahaja kepada anda dan OPPO memberikan storan terbaik yang boleh didapati ketika ini, UFS 3.1. Buat pengetahuan anda, UFS 3.1 merupakan salah satu jenis storan yang terpantas untuk sesebuah peranti mudah alih.



Ia boleh diibaratkan sebagai sebuah storan SSD untuk telefon pintar. Tambahan lagi, gandingan storan ini dengan cip pemprosesan Dimensity 8100-Max akan memastikan prestasi peranti ini kekal relevan dan lancar untuk tahun-tahun yang mendatang. Peranti ini tidaklah terasa laju seperti peranti lain dalam kelas andalan , tetapi prestasi ditawarkan cukup untuk segmen kelasnya.

Di samping itu, dengan penawaran saiz sebesar 256GB, anda tidak perlu risau untuk memuat turun sebarang permainan mudah alih berprestasi tinggi mahupun apa-apa aplikasi yang ada di Play Store. Hal ini demikian, peranti OPPO Reno8 Pro 5G menawarkan saiz storan yang cukup besar berbanding saiz standard 128GB sahaja.

Bateri / Pengecas


(Pengecasan Super VOOC 80W yang pantas)

Tahniah kepada OPPO kerana tidak mengikut jejak langkah jenama-jenama besar yang lain dengan tidak menyertakan bersama pengecas di dalam kotak.

Walaupun anda mungkin tidak berasakan perkara ini besar daripada OPPO, tetapi ia adalah sesuatu yang patut kita hargai di mana trend menjual telefon pintar tanpa pengecas ini mungkin akan melanda ke dalam kelas pertengahan malahan permulaan sekali.

OPPO Reno8 Pro 5G dibekalkan saiz bateri yang seimbang 4500mAh untuk pasaran ketika ini. Dengan pengecas Super VOOC 80W ini, menunggu dalam masa yang lama adalah satu perkara lampau kerana peranti anda dapat dicas dalam masa yang sangat singkat.



Seperti gambar di atas, pengecas OPPO ini dapat mengecaskan peranti Reno8 Pro 5G ini dalam masa yang singkat sahaja. Peranti ini mula dicas pada paras bateri sekitar ~47% dan telah mencatatkan peningkatan paras bateri lebih kurang 50% hanya dalam masa kurang daripada 15 minit sahaja.

Jadi kita dapat melihat OPPO Reno8 Pro 5G ini sememangnya cemerlang dalam prestasi bateri. Anda boleh menganggarkan sekitar purata 30 minit sahaja peranti ini mampu dicas sepenuhnya apabila anda mengecasnya ketika paras bateri pada 20% atau ke bawah. Oleh itu, tiada sebarang masalah jika anda terlupa untuk mengecasnya pada waktu malam sebelum tidur.

Hal ini kerana peranti ini mampu dan dapat dicas sepenuhnya hanya ketika anda sedang persiapkan diri untuk urusan di luar rumah. Tidakkah kelebihan ini menyenangkan dan mempermudahkan kerja atau urusan anda sekiranya anda mempunyai sebuah peranti dengan kebolehan untuk mengecas dalam waktu yang singkat?

Di samping itu, OPPO Reno8 Pro 5G juga mempunyai ciri pengecasan berbalik (reverse charging). Ciri ini membolehkan anda menjadikan peranti Reno8 Pro 5G sebagai bank kuasa untuk mengecas peranti lain melalui kuasa yang ada dalam Reno8 Pro 5G ini.

Walau bagaimanapun, terdapat satu masalah yang kurang saya gemari dalam ciri pengecasan peranti OPPO ini. OPPO bukanlah satu jenama yang mesra dengan pengecas pihak ketiga selain daripada jenamanya sendiri.

Hal ini demikian, jika anda mengecas peranti ini dengan menggunakan pengecas atau kabel lain walaupun ia mempunyai kapasiti Watt yang besar atau pun sama, ia tetap tidak menyokong kelajuan mengecas sepertimana yang diiklankan. Jadi, anda tidak dapat menikmati ciri pengecasan pantas itu sepenuhnya jika menggunakan pengecas dan kabel daripada jenama lain atau pihak ketiga.

Seperkara lagi, OPPO Reno8 Pro juga tiada sokongan pengecasan tanpa wayar. Oleh itu, jika anda suka cas tanpa menggunakan kabel, ini bukanlah peranti yang anda cari.

Paparan AMOLED 120HZ


(Pengecasan Super VOOC 80W yang terlebih pantas dalam kelasnya)

OPPO Reno8 Pro 5G mempunyai sokongan paparan AMOLED pada kadar segar semula 120Hz. Peranti ini mempunyai sebuah paparan yang jelas, cantik dan sesuai dengan harganya.

Walaupun ia bukan antara paparan AMOLED yang terbaik di pasaran ketika ini, tetapi ia masih memberikan anda satu rasa puas hati dan berbaloi dengan kualiti skrinnya.

Satu ciri yang ingin saya tekankan adalah kadar segar semula 120Hz. Sokongan kadar segar semula ini menjaminkan satu "kekebalan" di masa depan untuk anda yang membelinya.

Hal ini kerana, tidak semua telefon pintar di kelas pertengahan mempunyai sokongan 120Hz ini. Malahan juga, sebahagian kecil sahaja aplikasi mudah alih yang mempunyai ketersediaan 120Hz.



Jika anda bermain permainan yang menyokong kadar segar semula yang tinggi seperti COD: Mobile dan yang lain. Anda akan nampak kelancaran dan kejelasan pada paparan peranti ini. Tetapi tidak semua permainan mudah alih di luar sana yang mempunyai sokongan kadar segar semula 120Hz.

Oleh itu, Reno8 Pro 5G berkemungkinan besar akan kekal relevan untuk tahun-tahun mendatang apabila semakin banyak aplikasi mahupun game mula menyokong kadar segar semula 120Hz nanti.

Kamera


(MariSilicon X memang membantu tapi warna tidak begitu cemerlang)

Saya menyimpan yang terbaik untuk yang terakhir bagi peranti OPPO Reno8 Pro 5G ini. Secara keseluruhan, OPPO Reno8 Pro 5G mempunyai prestasi yang baik seperti tangkapan kamera yang jelas, cantik dan tajam.

Selain itu, OPPO Reno8 Pro 5G berjaya menangkap gambar malam yang berkualiti dan puas hati dengan hasilnya. Peranti ini sangat sesuai bagi anda yang suka menangkap gambar di waktu malam.



Di samping itu, OPPO Reno8 Pro 5G juga memberi hasil kualiti gambar swafoto yang baik, jelas dan hampir sama kualitinya jika ditangkap menggunakan kamera utama di belakang. Jadi, bukan masalah untuk anda yang sememangnya mencari peranti dengan kualiti kamera swafoto yang baik terutamanya mereka yang suka berswafoto.



Selain kualiti kamera malam dan swafoto, OPPO Reno8 Pro 5G sudah tentunya memberi kualiti kamera utama yang setanding dengan yang lain. Dalam pengalaman saya, OPPO Reno8 Pro 5G dapat menangkap gambar akan tumbuhan hijau dengan penuh kejelasan dan ketajaman dalam hasilnya.



Ini menunjukkan cip ISP MariSilicon X OPPO ini berjaya memberikan kualiti terbaik untuk setiap objek mahupun keadaan yang dikesan. Tetapi, setiap putih ada hitamnya dan waktu siang berpasangan dengan waktu malamnya, begitu juga terdapat beberapa perkara yang perlu ditegur akan sistem kamera OPPO Reno8 Pro 5G ini.



Dengan pengaktifan Image Sharpener atau sebaliknya, saya mendapati peranti ini menghasilkan tangkapan gambar dengan tona warna yang tidak tepat dan lebih ke arah warna merah jambu. Apabila anda menangkap gambar seseorang terutamanya di waktu siang, kamera peranti ini akan menghasilkan gambar seseorang itu dengan pengaruh warna merah jambu yang begitu jelas sekali padanya.



Malahan, keadaan tona warna kulit bergerak ke arah warna merah jambu juga boleh berlaku dalam gambar pada waktu malam dalam beberapa situasi. Saya tak nafikan kejelasan dalam gambar itu memang ada tetapi perkara ini memang tidak disangka akan berlaku dengan kamera OPPO OPPO Reno8 Pro 5G.





Walau bagaimanapun, situasi tersebut berlaku apabila seseorang itu berhadapan cahaya sahaja. Tetapi perkara ini tidak berlaku sekiranya gambar mereka ditangkap apabila mereka membelakangkan cahaya. Dalam keadaan begitu, gambar yang dihasilkan lebih semula jadi dan lebih baik.



 





Berdasarkan gambar swafoto dan kamera utama di atas, anda boleh melihat tona kulit lebih jelas, natural dan baik pada hasil gambar swafoto. Sementara itu, kamera utama OPPO Reno8 Pro 5G ini boleh saya katakan terlalu mencantikkan seseorang itu hingga menyebabkan tona warna lari daripada apa yang sebenarnya.



Untuk perbandingan anda, di atas merupakan perbandingan gambar daripada kamera OPPO Reno8 Pro 5G dalam 2 jenis tangkapan kamera - kamera biasa dan kamera potret. Selain itu, berikut merupakan hasil tangkapan gambar waktu malam untuk anda melihat kemampuan dan prestasinya.







Selain itu, kamera makro merupakan satu-satunya mod yang kurang menyenangkan diri saya. Ketika menggunakannya, kamera peranti ini sukar untuk memfokuskan kepada objek untuk mendapatkan kejelasan yang betul.

Sementara itu, hanya satu gambar di bawah ini merupakan hasil keempat untuk mendapatkan kualiti yang saya harapkan. 3 gambar yang sebelumnya tidak memberi hasil seperti yang diharapkan kerana tidak jelas dan kabur. Dalam bahagian kamera, OPPO Reno8 Pro 5G memberi satu prestasi yang baik tetapi bukan pada mod makronya.



Pun begitu, bagi saya, peranti dengan harga sebegini, tidak patut menawarkan kamera makro. Jikalau mahu memberikan makro sekalipun, haruslah menggunakan yang lebih berkualiti dan bukannya 2MP sahaja. Adakah lebih baik OPPO melengkapkan peranti ini dengan lensa telefoto.

Kesimpulannya


(Sesuai untuk anda yang mencari MariSilicon X pada harga bajet)

OPPO Reno8 Pro 5G merupakan sebuah peranti dengan rekaan yang lebih segar berbanding pendahulunya. Bagi pendapat saya, ia mempunyai rekaan seperti hasil gabungan peranti Samsung dan Oneplus. Selain mempunyai berat yang ringan dan fizikal yang selesa dalam genggaman, peranti ini mempunyai rekaan bonggol kamera yang hampir sama dengan OPPO Find X5 Pro.

Kapsyen: Perbandingan Bonggol Kamera OPPO Find X5 Pro (atas) dengan OPPO Reno8 Pro 5G (bawah)


Walaupun begitu, bonggolnya terlalu besar hingga rekaan bonggol itu sendiri nampak ganjil dan pelik daripada biasa seperti yang ada pada OPPO Find X5 Pro. Mungkin OPPO ingin membawa rekaan Find X5 Pro kepada siri Reno dan sesungguhnya saya suka dengan pendekatan ini.

Tetapi, mungkin pelaksanaannya yang berlebihan atau tidak seimbang dengan saiz penuh panel belakang. Selain itu, panel belakangnya yang licin tidak membantu dalam penggunaannya. Hal ini demikian, tekstur licin tersebut memudahkan peranti ini untuk bergerak sendiri dan jatuh daripada posisinya yang asalnya.

Tambahan lagi, tekstur tersebut bertindak sebagai magnet kepada cap jari dan mudah mengotorkan panel belakangnya. Selain memakai casing, mungkin OPPO boleh pertimbangkan satu pembaharuan melalui tekstur matte yang lebih selesa, estetik dan mesra dipegang.

OPPO Reno8 Pro 5G juga boleh dianggap sebagai kembar kepada OPPO Find X5 Pro pada harga yang lebih bajet tetapi kekurangan satu elemen penting terutama dari segi warna gambar, iaitu Hasselblad. Namun, cip ISP Marisilicon X masih memberikan kelebihan kepada peranti ini dalam prestasi kamera berbanding peranti lain dalam kelasnya.

Walau bagaimanapun, dengan harga jualan setinggi RM3,499 untuk varian yang saya gunakan ini RAM 12GB, storan 256GB, OPPO Reno8 Pro 5G telah memasuki fasa premium dalam kelas pertengahan. Hal ini demikian, harga tersebut terlalu mahal atau premium bagi peranti OPPO Reno8 Pro 5G ini dalam pendapat saya.

Bahkan, saya tidak menafikan terdapat banyak telefon andalan (flagship) lain seperti Samsung Galaxy S22, realme GT2 Pro, Xiaomi 12, Motorola Edge 30 Pro dan lain-lain yang anda boleh dapat, beli atau pertimbangkan sebagai peranti untuk anda miliki jika anda mempunyai bajet sekitar RM3500. Tambahan lagi, pilihan yang ada di luar sana itu menawarkan spesifikasi, prestasi dan nilai yang lebih berbaloi lagi berbanding OPPO Reno8 Pro 5G ini.

Walaupun begitu, OPPO Reno8 Pro 5G tetap sebuah peranti dan kemasukan baharu yang lebih berkuasa serta cekap dalam siri Reno berbanding pendahulunya. Selain kelebihan yang ditawarkan, OPPO mempunyai banyak peluang, ruang dan juga sumber untuk menghasilkan peranti OPPO Reno yang lebih baik lagi pada masa akan datang.
Beli OPPO Reno8 Pro di Lazada - https://invol.co/clcflgv

Beli jika:

  • Anda mahukan MariSilicon X tetapi lebih mampu milik.

  • Anda meminati estetik dan prestasi kamera daripada OPPO ini.

  • Peranti ini berada dalam bajet anda.

  • Anda mahukan telefon yang menggunakan cip MediaTek Dimensity lebih berkuasa.


Jangan beli jika:

  • Prestasi kamera bukanlah fokus utama anda.

  • Harga peranti ini di luar bajet anda.

  • Anda mempunyai pilihan alternatif yang lebih berbaloi lagi.