(Ulasan) Oppo R17 Pro - Telefon Pintar Yang Hampir Sempurna

Tahun 2018 menjadi dilihat telah menjadi titik perubahan dalam landskap industri telefon pintar dunia. Jurang prestasi dan teknologi yang ada di antara peranti kelas pertengahan dan atasan ternyata semakin mengecil.

Malah, ada beberapa pengeluar dilihat telah membawa fungsi dan ciri premium pada model kelas pertengahan mereka. Oppo antaranya.



Buktinya, peranti baharu mereka Oppo R17 Pro hadir dengan tri-kamera utama, binaan yang cantik dan pengecasan yang sangat pantas.

Namun, sebagus manakah peranti ini? Untuk mengetahuinya, jom ikuti ulasan Oppo R17 Pro daripada Wiser kali ini.

REKAAN LUARAN


Memandang kita sudah masuk bulan terakhir dalam tahun 2018, tak salah kalau saya kata ini adalah telefon pintar dengan rupa paras paling seksi yang pernah saya lihat pada sepanjang tahun. Ia membuatkan saya lupa akan kecantikan yang ada pada Xiaomi Mi Mix 2S dahulu.

Rekaan warna cerun ungu ke biru dari kiri ke kanan pada panel belakang Oppo R17 Pro ini cukup indah. Senang kata, kalau telefon ini lelaki, dia handsome macam Chris Evans, kalau perempuan pulak dia secantik Emma Watson.



Walaupun dibina menggunakan gabungan kaca dan logam, panel belakang ini tidak memantul. Satu perkara yang bagus selepas kebanyakan peranti dengan warna cerun sebelum ini mempunyai panel memantul. Nampak cantik pada beberapa model terawal, namun ia mula kelihatan biasa selepas itu.

Tiga kamera utama yang dipasang pada satu panel yang sama dibahagian belakang telefon memiliki camera bump yang agak tebal. Logo OPPO pula terletak di bawahnya selain selari dengan butang kuasa serta butang kawalan bunyi di sebelah kiri dan kanan peranti.



Dibahagian hadapan pula, model keluaran Oppo ini hadir dengan skrin AMOLED 6.4-inci FHD+ serta rekaan takuk kecil seperti yang ada pada Oppo F9 terdahulu. Panel skrin ini juga merupakan yang pertama dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 6.



 

Menariknya, dulang kad sim pada peranti ini terletak di sisi bawah peranti selain daripada port pengecasan USB Type-C dan pembesar suara. Malangnya, tiada bicu audio 3.5mm disediakan. Pengimbas cap jari? Terletak di dalam panel skrin.

ANTARAMUKA


Oppo R17 Pro ini dijalankan menggunakan sistem Android 8.1 Oreo yang berkulitkan ColorOS 5.2. Secara amnya, antaramuka yang ada pada peranti ini sama sahaja seperti peranti-peranti Oppo dengan ColorOS 5.2 yang lain.



Aplikasi pra-pasang pada peranti ini agak sedikit, yang mana ia adalah baik. Namun beberapa perisian pembantu pintar seperti Tips, ORoaming dan Phone Manager pada saya tidak perlu ada. Tapi, mungkin pada sebahagian pengguna lain aplikasi-aplikasi ini ada kegunaannya buat mereka.



Bagaimanapun, saya sukakan fungsi-fungsi keselamatan yang terdapat pada R17 Pro ini. Fungsi seperti Anti-harrassment/Fraud, App Lock, Private Space dan Emergency SOS adalah sangat berguna ketika ia diperlukan.

SPESIFIKASI DALAMAN


Peranti ini dilengkapi dengan cip pemprosesan kelas pertengahan terbaik Qualcomm buat masa ini, Snapdragon 710 serta sokongan memori sebesar 8GB RAM.



Oleh sebab itu, peranti ini dapat melaksanakan tugasan harian biasa dengan begitu baik sekali. Semuanya dapat dijalankan dengan pantas dan lancar.

Seperti biasa, bermain permainan video adalah cara terbaik bagi menguji kemampuan sebenar sesebuah peranti. Pada kali ini, saya memilih untuk bermain PUBG Mobile dan Asphalt 9 pada Oppo R17 Pro ini. Saya sendiri sudah mula bosan dengan dua permainan ini, cepatlah keluar game yang lebih baik..



Berbalik kepada peranti, ketika pertama kali saya membuka aplikasi PUBG Mobile, ia mencadangkan saya untuk bermain pada tetapan grafik tinggi. Wow, seingat saya tidak banyak peranti kelas pertengahan yang menerima cadangan ini daripada PUBG Mobile.

Lebih mengujakan, PUBG Mobile dapat dimainkan dalam keadaan yang sangat lancar dengan lag yang sangat-sangat minimal. Nak chicken dinner pun senang. Bermain PUBG Mobile dengan high setting, lulus. Main Asphalt 9, lulus cemerlang.

 



Simpanan dalaman sebesar 128GB membolehkan lebih banyak kandungan media seperti gambar, video dan lagu serta permainan video disimpan tanpa perlu risau akan masalah kehabisan ruang simpanan.

Selain itu, teknologi sistem keselamatan pada peranti ini juga dapat berfungsi dengan baik. Imbasan cap jari serta pengesanan wajahnya berjaya menjalankan tugas dengan pantas tanpa sebarang masalah.

KUALITI KAMERA


Oppo R17 Pro menjadi salah satu daripada peranti yang menggunakan tetapan tiga kamera utama pada tahun ini. Ia dilengkapi oleh lensa 12MP f/1.5-f/2.4, 20MP f/2.6 dan satu lensa khas TOF 3D stereo.



Walaubagaimanapun, aperture lensa utama 12MP peranti ini hanya boleh dilaraskan secara automatik mengikut keadaan cahaya, dan bukannya manual seperti Galaxy Note 9.

Tangkapan gambar menggunakan peranti ini memang sangat memuaskan. Ketajaman warna yang agak sederhana membuatkan gambar kelihatan lebih neutral.



Fotografi di waktu malam menjadi salah satu kelebihan utama bagi peranti keluaran terbaru dari Oppo ini. Dengan mod Ultra Night-nya, kualiti gambar yang diambil pada waktu malam sangat cantik.



Bagi lensa TOF 3D pula, saya tidak berkesempatan untuk mencubanya sendiri memandangkan ia masih lagi belum tersedia dari segi perisiannya. Maka peranti yang diterima oleh pihak kami masih belum mempunyai sokongan rakaman 3D berkenaan.

Dari segi rakaman video pula adalah sangat baik. Oppo R17 Pro ini turut menyokong rakaman gerak perlahan pada kualiti 720p@240fps. Tambahan pula, ia disokong oleh penstabilan imej optikal(OIS).

KEUPAYAAN BATERI


Selain kamera, bateri merupakan satu lagi nilai tambah yang ada pada peranti ini. Hadir dengan kapasiti sebesar 3,700mAh, bateri peranti ini mampu bertahan sehingga satu hari dengan penggunaan normal.



Apa yang menarik, Oppo R17 Pro ini sebenarnya mempunyai dua bateri 1,850mAh yang membolehkan peranti ini muncul sebagai peranti dengan pengecasan terpantas di dunia.

Dengan sokongan pengecasan pantas SuperVOOC 50W, saya dapat mengecas sehingga 45% dalam masa hanya 10 minit. Malah, Oppo sendiri pun hanya mendakwa ia mampu mengecas 40% dalam masa 10 minit. Ini satu penipuan, Oppo patut dikenakan tindakan.



Pada tanda aras 30 minit pula, peranti ini sudah pun dicas pada tahap 97%. Namun, 3% lagi mengambil masa 19 minit pengecasan, mungkin bagi menjaga kesihatan bateri. Maka secara keseluruhannya, pengecasan penuh bagi peranti ini hanya mengambil masa 49 minit sahaja. *lap dahi*

Bagaimanapun, ia tidak menyokong pengecasan tanpa wayar. Tapi, siapa peduli. 49 minit full charge, bro..

KESELURUHAN




Secara jujurnya, saya lebih memilih Oppo R17 Pro ini berbanding Oppo Find X yang lebih premium. Alasannya cukup mudah. Reka bentuk luaran yang lebih cantik, warna cerun yang menarik, kamera yang berkualiti tinggi, pengecasan super-pantas dan banyak lagi.

Walaubagaimanapun, peranti ini bukanlah sempurna. Selain dijual pada harga yang agak tinggi iaitu RM 2,699, beberapa ciri lain seperti ketiadaan bucu audio dan pensijilan IP68 juga agak mengecewakan.

Cip pemprosesan? Bagi saya Snapdragon 710 mampu bersaing rapat dengan Snapdragon 845. Kenyataan beranikan? Korang kena cuba dulu.

Jadi, dengan ini, bagi anda yang mahukan sebuah telefon yang cantik, kamera berkualiti dan sanggup mengeluarkan wang yang agak banyak, dapatkan Oppo R17 Pro. Ia hampir sempurna. Ini ikhlas dari hati ya, tanpa sebarang duit kopi dari mana-mana pihak.

 

Berkaitan