Ulasan OPPO Band 2 - Bawah RM250 Dan Ini Kisahnya

Bila sebut tentang penjejak kecergasan ke, jam tangan pintar ke, OPPO ni bukanlah jenama pertama yang akan bermain dalam kepala kita. Banyak lagi jenama yang lebih sinonim, lebih masuk akal dengan segmen ini. Lebih-lebih lagi pasaran dengan paras harga bawah RM300. Setuju?



Dipendekkan cerita, bagi peranti boleh pakai ditangan ni, OPPO ada dua kelas pilihan iaitu OPPO Watch dan OPPO Band. Ulasan kali ini, kita nak lihat sejauh mana peranti generasi kedua, OPPO Band 2 beraksi. Berbaloi ke tidak untuk dibeli atau OPPO sekadar "buat ada-ada je" di pasaran. Mari kita buang masa membaca bingkisan hati dari saya yang menggunakan OPPO Band 2 untuk tempoh 3 hari.

Rekaan

Bagi yang teringin sangat nak tahu dalam kotak ada apa, OPPO sediakan seutas OPPO Band 2, pengecas magnetik dan manual. Itu sahaja. Unit yang kami terima ini datang dengan warna Baby Blue dimana saya terasa sedikit 'jambu' apabila mengenakan warna lembut ini. Sampaikan isteri saya cakap 'jatuh darjat jam ni bila awak pakai'.



Sampai begitu sekali tohmahan yang saya terima, menunjukkan betapa 'tak masuknya' imej saya dengan warna pastel OPPO Band 2. Tetapi peduli apa, yang penting kita nak tahu fungsi penjejak kecergasan ini bagus atau tidak. Sekiranya mahu kelihatan lebih 'jantan', boleh pilih satu lagi tawaran warna iaitu Midnight Black.



Lenggok tubuh OPPO Band 2 kelihatan 'mahal' walaupun hakikatnya dibaluti dengan kerangka plastik yang disaluti warna kelabu seakan-akan aluminium. Skrin paparan tampil dengan bentuk segi empat tepat yang pada saya kurang mengghairahkan. Saya lebih gemarkan rupa bentuk segi empat sama dan kalau untuk OPPO, rekaan ini hanya boleh didapati pada barisan OPPO Watch sahaja. Ala-ala Apple Watch.



Generasi kedua ini sama sekali meninggalkan rekaan skrin lama yang sesetengahnya panggil sebagai skrin 'oblong'. Perubahan yang bagus, sebab jenis bujur memanjang ni agak terhad kandungan yang pengguna boleh nampak.

Seperkara lagi yang patut anda tahu adalah OPPO Band 2 hanya sekitar 33g sahaja. Pakai, tapi macam tak pakai sebab rasa ringan ditangan. Tidak dilupakan juga, gelang penjejak kecergasan ini tiada butang. Kesemua navigasi dibuat secara sentuhan pada skrin. Agak kekok bagi anda yang sentiasa gunakan butang fizikal.

Antaramuka

Bersih, kemas, ringkas. Tiga perkataan ini sesuai untuk saya gambarkan pada antaramuka OPPO Band 2. Ia datang dengan fungsi asas sebagai sebuah gelang penjejak kecergasan. Ciri-ciri seperti pantauan degup jantung, pantauan Sp02, penjejak tidur dan aktiviti riadah yang lain.

Navigasi dibuat dengan cara leret skrin dari kanan, kiri, atas dan bawah. Setiap arah akan membawa anda ke seksyen yang berlainan dan contohnya adalah seperti dibawah...



  1. Leret ke kanan - Senarai fungsi seperti pantau degup jantung, tetapan dan sebagainya,

  2. Leret ke kiri - Paparan data aktiviti, bacaan degup jantun serta pantauan tidur,

  3. Leret keatas - Paparan mesej,

  4. Leret kebawah - pintasan kepada fungsi seperti kecerahan, tetapan, lampu suluh dan lain-lain.


Selepas anda masuk ke setiap fungsi, untuk berpatah balik anda perlu leret dari kiri ke kanan. Lebih dalam anda masuk, lebih banyak pergerakan leret yang anda perlu lakukan. Tiada satu butang yang boleh terus berpatah balik ke 'Home'. Sangat menyusahkan.

Tetapi setelah saya periksa dan buat carian tentang masalah ini, sebenarnya ada cara untuk anda terus ke paparan Home. Caranya adalah dengan tutup skrin menggunakan tapak tangan untuk tempoh 2-3 saat, selepas itu paparan akan berubah ke Home.

Salah satu fungsi yang menarik perhatian adalah ciri AI outfit pada Watch Faces. Di bahagian ini, anda bukan sahaja boleh ubah suai Watch Faces tetapi boleh mencipta latarbelakang yang bersesuaian dengan bantuan AI.



Rakam apa-apa sahaja, aplikasi akan cuba hasilkan corak dengan apa yang anda rakam. Tak faham? Cuba lihat contoh dibawah.



HeyTap Health

Seperti gelang kecergasan yang lain, OPPO Band 2 memerlukan aplikasi untuk memberi fungsi penuh. Aplikasi yang dimaksudkan adalah HeyTap Health ditawarkan di Google Play Store serta App Store.



Selain guna untuk menyambungkan OPPO Band 2 ke telefon pintar, aplikasi ini juga tawarkan data yang lebih terperinci mengenai kegiatan riadah dan maklumat tentang ciri pemantauan.

Lebih 100 Mod Sukan

Percayalah anda takkan habis gunakan semua mod sukan ini. Antara mod yang disenaraikan adalah seperti berjalan, berlari, berbasikal, berenang, yoga, menari dan tak larat untuk saya taipkan disini.

Menurut OPPO, gelang kecergasan ini mampu kesan secara automatik empat mod riadah; berjalan, berlari, mesin senaman, serta mesin dayung.

Lain - lain

Dalam tempoh 3 hari penggunaan, jujurnya saya tidak sempat untuk membuat sebarang aktiviti riadah. Bermula dengan kuasa 91%, hari terakhir saya menggunakan gelang kecergasan bateri turun kepada 63%. Saya percaya dengan bateri penuh, OPPO Band 2 mampu bertahan dari 5 ke 7 hari, bergantung kepada aktiviti apa yang anda jalankan. Mungkin lebih lama lagi jika anda seorang yang suka meniarap sahaja di rumah tanpa sebarang aktiviti untuk menyihatkan badan.

Kesimpulan

Sebelum saya simpulkan apa kata anda lihat dulu spesifikasi penuh OPPO Band 2 seperti dibawah.

  • Warna: Baby Blue dan Midnight Black

  • Skrin: AMOLED 1.57 inci

  • Bateri: 200mAh

  • Pemproses: Apollo 3.5

  • Lain - lain: Bluetooth 5.0, 5 ATM, sensor pergerakan 6 paksi, sensor kadar oksigen, sensor degup jantung.


Dah habis teliti? Sejujurnya pada saya, tanda harga RM249 ni macam sedikit tinggi untuk diletakkan pada OPPO Band 2. Tetapi disatu sisi yang lain, saya rasa anda boleh pertimbangkan OPPO Band 2. Ada bisikan yang cakap, 'Ok je harga ni dengan apa yang dapat'.

Sistem antaramukanya yang kemas, dengan ciri-ciri asas yang mencukupi untuk kita panggil sebagai gelang penjejak kecergasan yang berbaloi. Sesetengah model bermasalah dari segi paparan, skrin tak cukup terang untuk kegunaan luar rumah. Tetapi tidak bagi OPPO Band 2, kecerahannya cukup. Bahkan sepanjang penggunaan saya hanya menetapkannya pada tahap 3 daripada 6.



Saiz paparannya juga bukanlah besar, tetapi tak juga kecil untuk anda akses setiap data yang dikutip peranti. Maksudnya, tak perlu bergantung sangat dengan aplikasi telefon pintar. Sesetengah fungsi sudah memadai untuk diakses dan dilihat dari gelang kecergasan sahaja.

Adakah saya akan syorkan OPPO Band 2 ini untuk anda? Apa yang boleh saya cakap, ia patut masuk dalam senarai pertimbangan bagi gelang kecergasan bawah RM250.

Beli terus dari kedai rasmi OPPO di Shopee: https://shope.ee/8pB8V51K3E