[Ulasan] Oppo A9 2020 - Peranti Kelas Pertengahan Terbaik Dari Oppo?

Siri A untuk jenama Oppo sememangnya dikenali dengan penawaran peranti bajet dengan harga berpatutan. April lalu, mereka melancarkan Oppo A9 dan kini model itu telah mendapat pengganti yang diberi nama A9 2020.

Model ini membawakan beberapa penambahbaikan spesifikasi berbanding model sebelumnya. Bersama-sama dengan spesifikasi menarik seperti 5,000mAh, RAM 8GB, 4 kamera belakang, dan pembesar suara stereo, adakah ia melengkapi pakej sebuah peranti yang berbaloi

Teruskan membaca untuk mengetahui pendapat kami tentang Oppo A9 2020 ini.

Spesifikasi



  • Skrin paparan: IPS LCD 6.5 inci (720 x 1600), 20:9

  • Cip pemprosesan: Snapdragon 665 (Adreno 610)

  • RAM dan memori: RAM 8GB, 128GB

  • Memori tambahan: Kad MikroSD sehingga 256GB

  • Slot dwi SIM nano dan satu mikroSD

  • 4 kamera belakang: 48M(f/1.8)+8M(f/2.25)+2M(f/2.4)+2M(f/2.4)

  • Kamera hadapan: 16MP(f/2.0)

  • Bateri 5000mAh (USB Type-C)

  • ColorOS 6.0.1 berasaskan Android 9 Pie


Rekaan/binaan


Bermula dengan rekaan, terdapat 2 warna pilihan untuk peranti ini iaitu Space Purple dan unit ditangan kami, Marine Green. Melihat pada bahagian belakang Oppo A9 2020, ia mempunyai binaan plastik yang menyerupai kaca. Warna Marine Green merupakan satu tona warna hijau yang agak gelap yang mempunyai corak seakan pelangi jika dilihat pada sudut sendeng.



Rekaan belakang panel melengkung menjadikan peranti selesa digenggam. Binaan bingkai peranti walaupun plastik, kemasannya seakan menyerupai aluminium dengan tona warna hijau yang serupa dengan panel belakang.

Pada sebelah kanan, terdapat butang kuasa dan kiri pula butang kawalan bunyi di samping slot dwi Sim dan kad mikroSD yang menyokong sehingga 256GB.

Beralih ke bahagian bawah terdapat lubang pengecasan USB-C, bicu 3.5mm, mikrofon dan juga pembesar suara. Pembesar suara pada Oppo A9 2020 menariknya hadir dengan ciri stereo dengan sokongan Dolby Atmos.



Pada penggunaan kami, bunyi yang dihasilkan daripada kedua-dua pembesar suara sangat lantang dan kuat.

Dari segi rekaan skrin hadapan, dagu peranti ini agak tebal mewujudkan ketidaksimetrian antara bahagian bawah dengan bahagian atas yang mempunyai bezel yang nipis.


Skrin


Skrin hadapan Oppo A9 2020 dilengkapi skrin berukuran 6.5 inci dengan resolusi HD. Takuk kecil mengandungi kamera swafoto 16MP digunakan untuk fungsi Face Unlock. Ketika mencubanya, ia menyahkunci peranti dengan cukup pantas.

Namun, dalam keadaan gelap terutamanya malam, Face Unlock kurang sesuai digunakan kerana ketiadaan sensor infrared. Di atas takuk terdapat pembesar suara stereo yang dipadankan dengan pembesar di bahagian bawah. Corning Gorilla Glass 3 pula melindungi paparan skrin hadapan.

Kualiti LCD bagaimanapun kurang memberansangkan kerana hanya mengandungi resolusi sekadar HD+ sahaja. Lebih memburukkan keadaan adalah resolusi tersebut digandingkan dengan skrin besar bersaiz 6.5 inci. Ketajaman skrin merosot jika anda melihat skrin dengan jarak yang dekat.



Skrin ini walau bagaimanapun agak terang dan dijamin tiada masalah untuk menggunakannya dia bawah sinaran cahaya matahari terik.

Berita baik untuk penonton tegar servis siaran atas talian, peranti ini menyokong Widevine L1 jadi anda boleh menonton kandungan seperti Netflix pada resolusi HD.

OS/Prestasi


Perisian peranti ini didatangkan dengan ColorOS 6.0.1. Terdapat banyak pengubahsuaian dan juga didatangkan dengan aplikasi terbina seperti Facebook, Lazada, Webnovel dan Opera. Aplikasi terbina Oppo tersendiri juga ada seperti Music Party, Game Center, Game Space dan App Market.

Bercakap mengenai prestasi, Oppo A9 2020 dikuasakan oleh cip Snapdragon 665. Menggunakan peranti ini sangat lancar terutamanya ketika menavigasi antaramuka. Peranti ini juga turut menyokong storan jenis UFS untuk kepantasan terutamanya ketika membuka dan mamasang aplikasi baharu dari Play Store.

RAM yang diperuntukkan juga besar bersaiz 8GB membuatkan aplikasi-aplikasi yang dibuka tidak perlu dimuat semula.

Cip Snapdragon 665 ini sangat mencukupi untuk kegunaan ringan seperti media sosial. Jika anda gemar bermain permainan, lain pula ceritanya. Untuk permainan PUBG Mobile, bermain dengan tetapan terendah, peranti hanya mampu berjalan pada purata 30fps, manakala jika anda menaikkan tetapan kepada tertinggi, peranti mengalami sedikit kesukaran mencecah 30fps dengan purata 23 fps.

Untuk yang gemar bermain COD Mobile, peranti ini dengan mudahnya untuk mencapai 60fps dengan tetapan terendah. Untuk tetapan tertinggi, purata yang didapati adalah 26fps, di mana maksimum fps boleh mencecah lebih 30fps untuk sesetengah situasi.

Bermain permainan dalam jangka masa panjang walau bagaimanapun tidak mendatangkan masalah dari segi kepanasan yang melampau.

Kamera


Oppo A9 2020 mempunyai 4 kamera belakang dengan kamera utamanya beresolusi 48MP (f/1.8), kamera sudut ultralebar 8MP (f/2.3), kamera data jarak 2MP dan kamera mono 2MP.



Gambar dari kamera utama mempunyai perincian yang sangat baik ketika cahaya mencukupi. Dari penggunaan, Night Mode pada waktu malam agak baik akan tetapi jika dizum gambar kelihatan mengalami oversharpening. Imej kelihatan terang dengan sikit hingar.

Kamera dari sudut ultralebar memberikan penggambaran dari perkspektif yang lebih menarik dengan perincian yang mencukupi ketika waktu siang.

Hasil kamera potret pula cantik dengan pemisahan latar belakang yang tepat. Kamera swafoto 16MP secara keseluruhannya baik. Akan tetapi, ia cenderung untuk menghasilkan imej yang overexpose lebih-lebih lagi ketika pencahayaan ekstrem.



Untuk video, maksimum rakaman adalah 4K 30fps. Rakaman pada resolusi 4K kurang stabil akibat gegaran. Pengguna digalakkan untuk menggunakan resolusi 1080p sahaja untuk rakaman video untuk penstabilan yang lebih baik.

Bateri


Saiz kapasiti bateri yang dimuatkan adalah 5000mAh dan anda boleh menjangkakan hayat bateri yang cukup lama dalam penggunaan seharian. Dalam penggunaan seharian, hayat bateri tidak pernah habis sekalipun dengan penggunaan berat.

Peranti ini mempunyai hayat bateri yang cemerlang untuk menghabiskannya, tetapi tidak ketika mengisinya. Sedikit kecewa kerana ia tidak menyokong mana-mana teknologi pengecasan pantas. Menggunakan pengecas 10W yang dibekalkan di dalam kotak, ia mengambil masa yang agak lama kira-kira 3 jam untuk satu isian cas penuh.

Sesuatu yang jarang dimiliki dalam kalangan peranti kelas pertengahan, Oppo A9 2020 mempunyai lubang pengecasan USB-C, bukannya micro-USB.

Kesimpulan


Oppo A9 2020 dijual pada harga RM1,199 secara rasmi di Malaysia. Jujurnya, harga yang ditawarkan agak mahal memandangkan resolusi skrin hanya setakat HD+ sahaja. Akan tetapi, penawaran utama pada peranti ini adalah kepada 4 kamera belakangnya dan juga rekaan serta binaan peranti yang persis premium. Baterinya pun sangat besar dengan saiz 5,000mAh. Cuma, ketiadaan pengecasan pantas membuatkannya sedikit leceh untuk menunggunya penuh.

Jika peranti ini didatangkan dengan skrin beresolusi FullHD+, lebih senang untuk mencadangkan pembeliannya. Apa yang kami suka mengenai peranti ini adalah pembesar suara stereonya yang sangat lantang dan juga prestasi bateri yang sangat cemerlang dengan penggunaan lebih satu hari.

Jika anda pengguna yang mengutamakan penggunaan bateri yang berpanjangan, fungsi pembesar stereo, dan ciri-ciri kamera yang bervariasi, ini adalah antara peranti yang patut ada dalam pemerhatian anda.