[Ulasan] Nokia 7.2 - Cukup Baik Tetapi Tidak Berbaloi

Siapa tidak mengenali Nokia? Sebuah jenama telefon bimbit terbesar suatu ketika dahulu dan kini sedang mengorak langkah mencari rentak mereka kembali dengan pengeluaran telefon pintar. Akan tetapi persaingan mereka dalam dunia telefon pintar agak tidak memuaskan dengan kehadiran peranti mereka yang menyebabkan pengguna untuk berfikir beberapa kali adakah peranti mereka berbaloi untuk dibeli, hal ini kerana harga yang ditetapkan agak tidak masuk akal dengan spesifikasi yang ditawarkan.

Hal ini demikian berlaku lagi pada peranti terbaru mereka iaitu Nokia 7.2 sebuah telefon pintar berspesifikasi kelas pertengahan pada tanda harga RM1299 yang dikuasakan dengan Qualcomm Snapdragon 660 (14NM) dan storan RAM 6GB dan storan dalaman 128GB, dengan hanya melihat pada penggunaan chip pemprosesan itu kita dapati ianya tidak berbaloi bukan? Tidak mengapa, kita teruskan dulu dan ulasan Nokia 7.2 dengan lebih terperinci.

Spesifikasi



  • Skrin paparan 6.3 inci Full HD+ dengan PureDisplay

  • Qualcomm Snapdragon 660

  • RAM 6GB

  • Storan 128GB (Sokongan kad MikroSD sehingga 512GB)

  • Sistem Android One berasaskan Android Pie 9.0

  • Kamera belakang 48MP  kamera utama+5MP telefoto+8MP ultralebar

  • Kamera hadapan 20MP

  • Bateri sebesar 3500mAh dengan pengecasan 10W

  • Butang khas Google Assistant dan 3.5mm jek audio



Rekaan Dan Paparan


Terlebih dahulu, Nokia dikenali dengan rekaan yang cukup berkualiti dan Nokia 7.2 tidak lari daripada itu. Rekaan hadapan dan belakang dihasilkan dengan kaca Corning Gorilla Glass 3 yang kukuh dan menawan. Bingkainya pula seperti yang dikatakan oleh Nokia dihasilkan daripada Polycarbonate yang separuh berat daripada Aluminium, mana taknya Polycarbonate itu adalah plastik sahaja namun apabila dipegang tidak terasa seakan plastik malah mewah. Kaca belakang pula dihasilkan dengan memberikan tekstur matte finish yang terasa premium apabila dipegang, hadir dengan rekaan kamera berbentuk bulatan sesuai mengikut trend menuju wawasan 2020.



Begitu juga dengan butang sisi dibahagian kanan, butang kuasa yang mempunyai lampu LED berwarna putih sebagai lampu notifikasi dan butang suara yang clicky, bahagian atas terdapat lubang mikrofon dan mengekalkan lubang 3.5MM lubang suara jek dan lubang pengecasan jenis C, ini menunjukkan bahawa Nokia amat teliti dalam penghasilan produknya walaupun peranti ini berkelas pertengahan. Ciri menarik terdapat dibahagian sisi kiri peranti adalah butang khas untuk menyeru pembantu peribadi Google Assistant yang amat berguna dalam situasi tertentu.



Paparan hadapan didatangkan dengan skrin berukuran 6.3" IPS LCD beresolusi 1080 x 2280 piksel (~400 ppi) yang berupaya menjalankan kandungan HDR10 dan sokongan Always On Display. Menakjubkannya Nokia 7.2 ini walaupun menggunakan skrin LCD tetapi kejituan warna dan ketajaman skrin amat baik dan senang kata sesedap mata memandang seakan - akan skrin OLED.


Perisian


Kepada peminat tegar Pixel mahupun Stock Android, ini adalah telefon pintar untuk anda ini kerana sama seperti peranti keluaran Nokia yang sebelumnya, Nokia 7.2 ini dikuasakan dengan Android One dengan Android 9 Pie dan sokongan kemaskini Android 10 serta jaminan 3 tahun kemaskini Android dan security patch oleh Nokia.

Android One memberikan satu pengalaman antaramuka yang sama dengan stock android yang ada pada Pixel cuma ada beberapa ciri tambahan yang disediakan oleh Nokia dalam peranti Nokia 7.2 ini seperti, aplikasi kamera Nokia tersendiri, FM radio dan My Phone dimana memberikan beberapa fungsi berguna seperti Live Chat Support, Device Monitor, Nearest Care Center, dan Nokia Community.


Prestasi


Nokia 7.2 ini adalah sebuah peranti berkelaskan pertengahan maka sesuailah ia dijanakan dengan chip pemprosesan Qualcomm Snapdragon 660 (14NM) merupakan cip CPU lapan teras dan digandingkan dengan GPU Adreno 512. Oleh itu, prestasi untuk penggunaan harian seperti bersosial media, membuka beberapa aplikasi dari semasa ke semasa ianya berjalan dengan baik. Apabila bermain permainan mudah alih seperti PUBG Mobile, peranti ini agak mengecewakan kerana tiada tetapan Extreme frame rate iaitu 60 FPS pada tetapan paling rendah (Smooth) dan hanya ditetapkan pada High framerate sahaja. Akan tetapi overall gaming experience adalah cukup baik untuk memainkan permainan mudah alih terkini pada Nokia 7.2 ini. Hasil keputusan Antutu Benchmark dan Geekbench disediakan:



Namun pada prestasi pengimbasan cap jari ia dilihat mengambil masa beberapa saat untuk menyahkunci Nokia 7.2 ini disebabkan oleh cipset yang digunakan tetapi menyahkuncikan peranti ini menggunakan pengimbasan muka ianya cukup pantas.

Kamera


Kamera pada Nokia 7.2 ini didatangkan dengan 3 buah kamera dibawakan oleh Zeiss Optic dibahagian belakang iaitu kamera utama 48 MP, f/1.8, kamera kedua ultra lebar 8 MP, f/2.2, dan kamera ketiga 5 MP untuk penghasilan efek bokeh. Kedua - dua kamera utama dan ultra lebar boleh menghasilkan rakaman pada 2160p@30fps, 1080p@30fps didatangkan dengan gyro-EIS untuk penstabilan video.

Namun dengan ketiga - tiga kamera tersebut, boleh dikatakan hanya kamera utama yang boleh menghasilkan gambar yang cukup baik, gambar yang dihasilkan cukup terperinci kerana menggunakan 48 MP, namun hasil warna pada gambar kelihatan agak tidak cukup terang dan lebih muted. Hasil bokeh pula kelihatan cukup menarik dan ia dapat membezakan diantara objek dan latar belakang dengan baik.





Seperti peranti kelas pertengahan lain yang mempunyai kamera ultra lebar, hasil daripada Nokia 7.2 ini tidak begitu baik, ketajaman gambar dan perincian yang kurang namun masih boleh diharapkan jika berada dalam pencahayaan yang terang. Apa yang membuatkan kamera ultra lebar ini gagal adalah dalam penggambaran waktu malam, gambar dihasilkan sangat kabur dan berhingar, tiada perincian, dan amat gelap.





Kamera swafoto pula didatangkan dengan 20 MP, f/2.0, (wide), 1/3", 0.9µm, mempunyai sokongan untuk swafoto potret dan hasil gambar cukup baik dalam semua situasi pencahayaan dimana tidak mengecewakan besertakan dengan HDR. Boleh dikatakan tiada sebarang masalah pada kamera hadapan.



Mod waktu malam boleh dikatakan agak baik, gambar yang dihasilkan diperjelaskan dengan lebih terperinci namun kelihatan terdapat hingar di beberapa sudut gambar. Begitu juga dengan penggunaan mod malam pada kamera ultra lebar ini, hingar amat kelihatan, tiada perincian dan ketajaman gambar boleh dikatakan mengecewakan. Akan tetapi mod penggambaran waktu malam pada Nokia 7.2 ini cukup memadai untuk penggambaran biasa waktu malam.


Prestasi bateri


Nokia 7.2 didatangkan dengan bateri sebesar 3500 MAH yang boleh dicaskan dengan kepantasan sebanyak 10W kuasa. Prestasi bateri boleh dikatakan cukup baik ini kerana dengan kehadiran cipset 660, namun pada itu boleh dikatakan ketahanan bateri dalam segi pembukaan masa skrin sekitar 3 JAM hingga ke 4 JAM lebih jika digunakan dengan penggunaan berat dan intensif. Namun begitu, dalam keadaan mod standby, Nokia 7.2 ini memberikan ketahanan bateri sehingga 2 hari dalam 1 kali pengecasan tanpa sebarang penggunaan.

Kesimpulan


Nokia 7.2 ini boleh dikatakan cukup baik untuk kalangan pengguna yang menginginkan sebuah peranti rekaan yang menarik, berkualiti dan mempunyai paparan skrin yang cukup cantik seakan OLED skrin disertakan dengan pengalaman penggunaan yang mudah dan minimal Android One.

https://www.youtube.com/watch?v=sOc1wekxp58&t=183s

3 kamera yang mencukupi untuk penggunaan biasa harian yang tidak mementingkan hasil gambar yang A+ besertakan jaminan kemaskini Android selama 3 tahun dan yang paling penting kepada mereka yang sanggup mengkompromikan harga yang ditetapkan iaitu sebanyak RM1299 sedangkan terdapat peranti lain yang lebih baik sekitar harga tersebut. Peranti yang cukup baik namun sangat menghampakan dari Nokia dari segi harga untuk peranti ini.

Berkaitan