(Ulasan) Mi Mix 2S - Permata Baru Dari Tanah Tembok Besar

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat perhatikan peningkatan yang mendadak dalam pengeluaran dan pelancaran telefon pintar daripada para pengeluar. Kepesatan kemajuan teknologi ternyata menyumbang dalam peningkatan tersebut.

Namun, seiring dengan kemajuan teknologi yang ada pada sesebuah peranti, harga jualannya juga telah meningkat dari masa ke semasa. Ya, kita harus faham yang peningkatan harga itu adalah disebabkan peningkatan kos menghasilkan sesebuah peranti berkenaan.

Walaubagaimanapun, tahun 2018 dilihat menjadi tahun di mana syarikat pengeluar berusaha untuk menawarkan peranti dengan teknologi terkini tanpa mengosongkan dompet pengguna. Bercakap berkenaan peranti mampu milik, antara pengeluar terawal yang terlintas di fikiran pastinya Xiaomi.

Syarikat dari China itu sekali menawarkan peranti dengan kualiti perdana pada harga mampu milik semasa memperkenalkan model Mi Mix 2S pada bulan May yang lalu. Dan saya baru sahaja berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman menggunakannya sejak dua minggu lepas.

Jadi, mari saya kongsikan pengalaman saya selepas menggunakan Mi Mix 2S ini selama dua minggu dengan anda.

REKAAN LUARAN


Pertama kali melihat Mi Mix 2S, saya agak terpegun dengan reka bentuknya yang kelihatan sangat mewah. Dengan reka bentuknya yang elegan dan cantik, ia telah berjaya menambat hati saya sebelum saya menyentuhnya lagi.

Sebaik saya membawanya keluar dari kotak dan melihat ke bahagian belakang peranti,  panel seramiknya membuatkan saya tergamam seketika apabila dapat melihat wajah sendiri dengan jelas melaluinya. Seperti melihat cermin.



Selalunya saya berasa agak jengkel dengan sebarang tulisan tambahan yang berada pada belakang peranti, tapi berbeza dengan Mi Mix 2S ini. Tulisan ‘MI MIX DESIGNED BY XIAOMI’ yang ditulis secara menegak kelihatan berada di tempat dan saiz yang tepat dan sempurna.

Kamera utama bagi peranti ini pula dipasang di bucu kiri sebelah atas secara menegak. Berbeza dengan kebanyakan peranti di luar sana, panel flash pada kamera Mi Mix 2S ini berada di antara dua lensa kameranya.



Sementara itu, pengimbas cap jari pula terletak selari dengan tulisan di belakang peranti yang dinyatakan sebentar tadi. Satu-satunya kekurangan yang saya temui pada panel belakang peranti ini ialah kesan cap jari sangat mudah untuk melekat.

Kembali ke bahagian depan semula, Xiaomi mengambil keputusan untuk meninggalkan rekaan takuk pada Mi Miz 2S kali ini. Bagi melaksanakannya, mereka telah memindahkan kamera swafoto ke bahagian bucu kanan dagu peranti.



Walaupun berjaya mencapai matlamatnya, ia menyebabkan bezel di bahagian itu agak tebal. Tambahan pula, saya kurang selesa apabila perlu memusingkan peranti setiap kali ingin mengambil swafoto.

Dari segi paparan skrinnya pula, peranti ini menggunakan skrin jenis IPS LCD 5.99-inci beresolusi FHD+ dengan nisbah paparan 18:9. Mi Mix 2S juga dilengkapi oleh panel kaca Gorilla Glass 4 bagi meminimumkan kesan calar dan melindungi skrin peranti dari mudah retak.



Bahagian bawah peranti pula dipasangkan port pengecasan USB Type-C serta pembesar suara stereo. Agak mengecewakan apabila peranti ini tidak mempunyai bicu audio untuk sambungan fon telinga.

Dengan berat sekitar 191 gram dan ketebalan pada 8.1 mm, Mi Mix 2S terasa amat selesa dipegang. Namun, ia adalah berbeza dan bergantung pada saiz tangan pengguna.

ANTARAMUKA


Berbeza dengan peranti Xiaomi Mi A2, Mi Mix 2S masih lagi menggunakan antaramuka MIUI 9.5. Pada pendapat saya, antaramuka yang ada pada peranti ini kelihatan okay walaupun telah dipasangkan beberapa bloatware dari Xiaomi seperti Mi Video dan Mi Forum.



Seperti biasa, MIUI 9.5 tidak membenarkan pengguna menggunakan fungsi app drawer pada dasarnya. Namun, jika anda mahu menggunakannya, anda boleh memuat turun pelancar pihak ke-tiga seperti Nova Launcher.

Apa yang saya gemari pada antaramuka ini ialah rekaan ikon aplikasinya yang nampak kemas dan menarik. Selain itu, imej latar belakang tersedia juga agak cantik walaupun tidaklah terlalu banyak. Namun anda boleh sahaja memuat turun imej lain secara percuma.



Peranti ini secara asalnya dikawal sepenuhnya menggunakan butang pada skrin paparan. Akan tetapi anda mempunyai pilihan untuk menggunakan pelbagai isyarat gerakan bagi menjalankan operasi peranti.

Saya agak berkecil hati apabila Xiaomi hanya menyediakan fungsi pengesanan wajah pada versi China rom sahaja dan tidak pada Global rom yang kami gunakan.

SPESIFIKASI DALAMAN


Xiaomi telah melakukan tindakan tepat apabila mendatangkan peranti ini dengan cip pemprosesan tercanggih dari Qualcomm setakat ini, iaitu Snapdragon 845. Disokong dengan dua variasi memori, 6GB atau 8GB RAM, Mi Mix 2S ini mampu mengikuti segala kehendak anda.



Saya bermain permainan video seperti PUBG Mobile dan Tekken Mobile menggunakannya. Saya dapati peranti ini berjaya menjalankannya dengan sangat baik. Kepuasan bermain dapat dicapai apabila saya boleh bermain dengan tetapan grafik yang tinggi pada kedua-dua permainan ini.

Namun ketika bermain PUBG Mobile, saya menghadapi masalah butang untuk menukar senjata tidak berfungsi beberapa kali. Saya tidak pasti sama ada ia masalah pada peranti atau aplikasi PUBG Mobile itu sendiri.

Melayari internet seperti menonton Youtube, menatal laman media sosial serta membuat carian dan bacaan melalui pelayar dapat dilakukan dengan sangat lancar. Pengurusan RAM yang baik juga membolehkan sejumlah aplikasi dijalankan serentak tanpa sebarang masalah.



Malah, aktiviti keluar masuk aplikasi juga tidak menghadapi masalah lagging. Bagi mereka yang gemar mengambil gambar, merakam video dan memuat turun pelbagai aplikasi, peranti ini juga bersesuaian dengan anda.

Walaupun tidak menyokong fungsi kad microSD, peranti ini hadir dengan ruang simpanan dalaman sehingga 256GB. Maka secara amnya, ia mencukupi untuk anda menyimpan sebarang fail atau media pada peranti ini.

PRESTASI KAMERA




Mi Mix 2S dilengkapi oleh gabungan dua lensa 12MP masing-masing dengan bukaan aperture f/1.8 dan f/2.4. Manakala kamera swafotonya pula menggunakan lensa 5MP. Kamera peranti ini juga didatangkan dengan kecerdasan buatan(AI) yang membolehkan lebih daripada 200 suasana dikesan dan tetapan kamera diubah secara automatik.








Kualiti gambar yang diambil adalah memuaskan. Ia termasuklah apabila kami mengambil gambar dengan fungsi bokeh. Imej blur yang dihasilkan kelitahan agak tajam.



Dibantu dengan bukaan aperture f/1.8 pada lensa utama kameranya, imej yang diambil pada waktu kurang cahaya juga adalah baik.




Bagaimanapun, saya kurang menggemari kenyataan apabila saya perlu memusingkan peranti setiap kali ingin mengambil swafoto. Tambahan pula, kedudukan kamera yang terletak di bucu tepi peranti juga menyebabkan saya perlu mengubah kedudukan tangan untuk mendapatkan imej swafoto yang cantik.


Seperti biasa, Xiaomi membawa beberapa fungsi menarik seperti pengesanan umur dan jantina pada kamera swafotonya.


Namun, apa yang mengejutkan kami ialah kualiti rakaman videonya yang sangat baik. Dengan sokongan penstabilan imej optikal(OIS), rakaman video yang diambil adalah stabil tanpa gegaran yang jelas. Nantikan video dari pihak kami untuk melihat kualiti videonya nanti.

KEUPAYAAN BATERI


Pada pendapat saya, bateri 3,400 mAh peranti ini dapat membekalkan tempoh penggunaan yang mencukupi bagi penggunaan seharian. Saya bermain beberapa permainan video dan menonton video di Youtube sewaktu ada kelapangan di pejabat, dan bateri peranti ini berada pada tahap sekitar 52% lagi ketika saya pulang ke rumah pada pukul 6 petang.



Dari segi pengecasannya pula, Mi Mix 2S menyokong fungsi pengecasan pantas Qualcomm Quick Charge 3.0. Dengan sokongan itu, saya mampu mengecas sehingga 54% dalam tempoh 30 minit tetapi memerlukan sekitar 1 jam 34 minit untuk pengecasan penuh. Mungkin peranti ini mempunyai fungsi cut-off bagi menjaga kesihatan bateri.

Anda juga boleh mengecas peranti ini secara tanpa wayar dengan menggunakan alat pengecasan tanpa wayar QI yang berseseuaian.

KESELURUHAN




Xiaomi Mi Mix 2S layak berdiri sama tinggi dengan peranti kelas perdana yang lain. Dengan harga yang ditawarkan serendah RM 1,999, peranti ini dengan mudah akan mendapat perhatian ramai pengguna telefon pintar.

Reka bentuknya yang sangat menarik dengan saiz bezelnya yang sangat nipis sangat sesuai dengan kehendak pasaran ketika ini. Tidak cukup dengan itu, prestasi dalamannya juga bertaraf tinggi dan sangat lancar.

Tiada yang sempurna dalam dunia hari ini. Begitu juga dengan Mi Mix 2S. Sistem audionya yang kurang baik ditambah lagi dengan ketiadaan bicu audio sedikit mengecewakan. Selain itu, Xiaomi mungkin boleh memikirkan penyelesaian lain berkenaan kedudukan kamera swafotonya sekiranya mereka tidak mahu menggunakan takuk.

Secara keseluruhannya, Xiaomi Mi Mix 2S adalah peranti yang berbaloi untuk dimiliki oleh anda.