Ikuti kami di media sosial

Ulasan

[Ulasan] ASUS ZenBook Duo- Laptop Dengan Dua Skrin, Pratikal Atau Sekadar Gimik?

Avatar

Ditulis

pada

Siri laptop dengan dwi skrin baru oleh ASUS baru sahaja tiba secara rasmi di Malaysia. Terdapat dua jenis barisan model iaitu ZenBook Duo Pro dan ZenBook Duo. Versi Duo Pro mengetengahkan spesifikasi bangsawan, manakala versi Duo lebih kepada membawakan pengalaman dwi skrin pada model yang berpatutan. Kami telah mencuba dan menguji model ZenBook Duo 14 inci variasi Intel i7 dan ini adalah pendapat kami.

 

Spesifikasi ASUS ZenBook Duo

  • Skrin utama 14 inci (16:9) LED FHD (1920 x 1080)
  • Skrin kedua sentuh 12.6 inci FHD (1920 x 515)
  • CPU Intel Core i5-10510U @ 1.6GHz/Intel Core i7-10510U @ 1.80GHz
  • GPU Nvidia GeForce MX250 (2GB)
  • RAM 8GB/16GB 2,133MHz DDR3
  • Storan 256GB/512GB/1TB PCIe SSD
  • I/O USB 3.1 Gen 2 Type-C (x1), USB 3.1 Gen 2 Type-1 (x1), USB 3.1 Gen 1 Type-A (x1), HDMI (x1), Bicu 3.5mm (x1), Pembaca kad MicroSD (x1), Lubang pengecasan (x1)
  • Rangkaian Intel Wi-Fi 6 dengan prestasi Gig+ (802.11ax), Bluetooth 5.0
  • Dimensi 1.99cm (Tinggi) x 32.3cm (Lebar) x 22.3cm (Panjang)
  • Berat 1.5kg

Rekaan Luaran

Melihat kepada rekaan luaran, perkara yang pertama terlintas adalah rekaannya yang tajam dan bersegi pada keseluruhan laptop. Logo ASUS diletakkan di sisi kanan dan dijadikan sebagai pusat kepada rekaan bulatan mengelilingi logo tersebut. Rekaan bulatan ini kelihatan seperti mempunyai bahagian atas dan naiknya. Namun sebaik sahaja menyentuh, kemasan bulatan magnesium alloy tersebut licin sahaja.

Bahagian I/O hanya berada pada sisi dan kanan laptop sahaja. Di bahagian sisi hadapan, terdapat 2 pembesar suara setiap satu sisi dari Harman Kardon. Pembesar suara ini boleh tahan juga kualitinya. Ia kuat dan masih mempunyai bass yang sedap didengar.

Dibawah laptop pula, terdapat 2 kaki tapak direka memanjang satu di bahagian hadapan, manakala satu lagi di belakang. Ia diperbuat daripada plastik, bukannya getah seperti kebanyakan laptop lain.

Laptop ini mempunyai berat 1.5kg di mana ia tidak terlalu berat namun tidak juga terlalu ringan sepertimana kebiasaan jenama ASUS dalam mengeluarkan laptop yang ringan. Membuka laptop ini, bahagian papan kekunci laptop akan diangkat sedikit sebanyak 5.5 darjah memberikan ruang pernafasan untuk haba dan angin panas keluar dari bawah laptop. Rekaan ini sepatutnya akan memberikan keselesaan ketika menaip disebabkan  permukaan papan kekunci condong yang lebih dekat dengan jari.

Untuk I/O, terdapat USB 3.1 Gen 2 Type-C (x1), USB 3.1 Gen 2 Type-1 (x1), USB 3.1 Gen 1 Type-A (x1), HDMI (x1), bicu 3.5mm (x1), pembaca kad MicroSD (x1), serta lubang pengecasan (x1).

Rekaan Dalaman

Seusai membuka laptop, pengguna akan dihidangkan dengan kehadiran skrin kedua yang unik yang tidak terdapat pada jenama lain. Disebabkan skrin kedua ini ditempatkan di atas, ia menolak bahagian papan kekunci ke bawah dan menghimpit bersamanya sebuah trackpad yang kecil dan janggal digunakan. Rekaan ini juga menyingkirkan kawasan rehat untuk tangan ketika menaip papan kekunci.

Skrin utama laptop ini berukuran 14 inci FHD LED dan mempunyai rekaan bezel yang nipis berukuran 3.5mm. Kualiti skrin adalah sangat cantik dengan kontras dan kepekatan warna yang amat baik. Skrin ini mampu memaparkan warna 100% sRGB dan juga Pantone. Nisbah paparan pula adalah tradisional 16:9. Bezel yang nipis tersebut menjadikan  nisbah skrin ke badan laptop sebanyak 90% dengan 178 darjah melihat. Untuk skrin utama, ia boleh dipuji kerana rekaan sebegini terasa moden untuk digunakan.

Bergerak ke bahagian datar laptop, terdapat 3 elemen utama iaitu skrin kedua, papan kekunci, dan trackpad. Skrin kedua ZenBook Duo ini diberi nama ScreenPad Plus dan bersaiz 12.6 FHD memanjang. Skrin ini walau bagaimanapun kelihatan kusam dan kurang cerah. Jika dibandingkan dengan skrin utama, ia jauh berbeza kualiti warna dan kecerahannya.

Di bahagian bawah pula terdapat papan kekunci yang dengan ketiadaan numpad manakala disebelahnya pula terdapat trackpad yang kecil.

Touchpad & Keyboard

Untuk papan kekuncinya, ia begitu dekat dengan bahagian kiri dan juga bawah laptop agak. Jarak tekan 1.4mm butang kekunci walau bagaimanapun agak selesa dengan tindak balas yang mencukupi. Namun, pengalaman menaip agak tidak selesa pada mulanya kerana posisi tangan yang dekat kearah badan dan juga ketiadaan tempat rehat ketika menaip. Jujurnya, kami tidak suka menaip menggunakan papan kekunci ini disebabkan jarak tangan yang dekat tersebut.

Selain itu, ia juga mempunyai 3 tahap kecerahan cahaya putih (bukan RGB) yang boleh membantu anda menaip pada waktu gelap atau malam. Butang arrow adalah bersaiz penuh walaupun saiz papan kekunci agak kompak.

Dengan saiz trackpad yang kecil, agak sukar dan janggal untuk menggunakannya. Kebiasaanya, trackpad pada sesebuah laptop akan direka memanjang ke tepi. Untuk ZenBook Duo, demi memuatkan skrin kedua tersebut, trackpadnya direka memanjang ke atas. Saranan kami, lebih baik anda menggunakan tetikus untuk kepuasan menggunakan laptop berbanding trackpad ini.

Penggunaan Skrin kedua

Skrin kedua ScreenPad Plus ini gimik atau tidak? Yang pertamanya, kualiti skrin tidak semegah skrin utama dan juga darjah melihat kurang baik. Jadi untuk melihat kandungan skrin pada ScreenPad Plus dengan lebih jelas, anda perlu melihatnya dari atas. Skrin juga mempunyai sedikit perubahan warna jika dilihat dari posisi bersandar.

ScreenPad Plus ini diperlakukan sebagai skrin kedua HDMI oleh Windows 10. Terdapat bunyi sambungan dimainkan sama seperti apabila sesebuah kabel dicucuk jika ScreenPad Plus ini dibuka atau ditutup. Menggunakan butang khas yang terdapat di atas trackpad, pengguna boleh menutup skrin ini jika tidak menggunakannya. Selain itu, terdapat juga butang menukar kandungan di antara skrin utama dan skrin kedua. Dalam percubaan kami, butang ini melakukan pertukaran dengan pantas tanpa lengah. Walau bagaimanapun, untuk butang menutup ScreenPad Plus, terdapat lengah dan mengganggu skrin utama (menjadikannya gelap) sama sahaja seperti apa yang kabel HDMI lakukan.

ASUS telah membina perisian tambahan khas untuk mengawal dan mengendalikan skrin kedua ini. Untuk mengakses kawalan tersebut, terdapat ikon anak panah yang boleh dibuka. Di dalamnya, terdapat kawalan tetapan utama seperti tahap kecerahan, perisian shortcut untuk pautan pantas dan kawalan resolusi ScreenPad Plus. Untuk membuka perisian kepada skrin ini, pengguna boleh menarik perisian yang sudah dibuka pada skrin utama 14 inci, ataupun membukanya melalui shortcut yang terbina. Disebabkan terdapat sokongan skrin sesentuh, menggunakan skrin kedua ini lebih pantas berbanding skrin utamanya.

Contoh penggunaan yang kebiasaan dilakukan oleh ramai pengguna adalah seperti membuka aplikasi Spotify pada skrin kedua dan membalas emel pada skrin utama. Atau mungkin juga anda boleh menonton siaran langsung YouTube pada ScreenPad Plus pada masa yang sama bermain permainan pada skrin utama. Penggunaan skrin kedua ini lebih bergantung kepada tahap kreativiti anda dan juga kebergantungan anda terhadap skrin tambahan. Seperti contoh, video editor mungkin lebih menghargai penambahan skrin kedua ini disebabkan mereka boleh membahagikan kawasan tugasan spesifik untuk setiap satu skrin.

 

 

Terdapat juga profil menyimpan pasangan aplikasi di mana anda boleh membuat simpanan 2 jenis aplikasi berbeza-beza. Bergantung kepada penggunaan anda, kami merasakan ciri ini sesuai dan pantas digunakan jika anda mempunyai pelbagai aplikasi yang disimpan dan mahu membukanya dengan satu klik sahaja.

ASUS juga turut menyertakan sebuah stylus sebagai aksesori khas yang sangat sesuai untuk pelukis digital. Selain dari itu, kami rasakan tiada penggunaan yang utama jika mahu menggunakan stylus tersebut.

Dengan kehadiran skrin kedua ini, ia diibaratkan seperti sebuah skrin besar yang memanjang. Permasalahannya mula dilihat apabila pengguna mahu mengklik pada butang taskbar dan penunjuk tetikus tergerak ke bahagian bawah skrin. Jika berlaku banyak kali, boleh jadi agak menyusahkan dan akan menyebabkan pengguna merasa ingin menutup fungsi ScreenPad Plus ini. Perkara yang sama juga terjadi apabila aplikasi memenuhi skrin utama dan anda terpaksa berhati-hati menggerakkan tetikus ke bawah skrin utama kerana tidak mahu terlajak pada skrin keduanya.

Disebabkan ketiadaan numpad pada papan kekunci fizikal, ASUS menyertakan perisian numpad di dalam skrin kedua tersebut.

Seperkara lagi yang perlu diberitahu adalah anda tidak boleh mengakses kedua-dua kandungan skrin utama dan skrin kedua pada masa yang sama. Ini bermakna ketika penunjuk tetikus berada pada skrin utama, anda tidak boleh menyentuh dan menggunakan kandungan pada skrin kedua. Sama sahaja seperti mana-mana konfigurasi dua skrin sambungan HDMI.

Prestasi

ASUS ZenBook Duo dikuasakan oleh Intel Core i7-10510U dengan 4 teras dengan kelajuan asas 1.8GHz. Kelajuan ini boleh digandakan dengan Turbo Boost sehingga 4.9GHz mengikut keperluan pengguna. Sebagai sebuah cip jenis ‘U’, ia merupakan sejenis cip pemprosesan jenis jimat tenaga yang mampu beroperasi pada kelajuan frekuensi yang rendah. Jika anda mahukan cip yang lebih jimat lagi tenaganya, anda boleh memilih satu lagi jenis varian Intel Core i7-10510U.

Laptop ini tidak mempunyai masalah ketika menjalankan perisian Windows 10. Kami membuka puluhan tab pada Google Chrome dan laptop masih berjalan tanpa terdapat tanda-tanda sengguk. RAM sebanyak 16GB juga adalah sangat mencukupi dan laptop dengan senang menangani sebarang tugasan dengan mudah. Terdapat kipas terbina pada laptop ini, namun melalui pengujian kami, bunyinya tidak kedengaran dan kekal senyap sepanjang menggunakannya.

ZenBook Duo mempunyai kad grafik berasingan Nvidia GeForce MX250. Kad grafik ini tidak sehebat kad grafik lain dengan model GTX. Namun, untuk prestasinya, ia mampu bermain kebanyakan permainan moden sekarang pada tetapan rendah dengan fps yang stabil. Nvidia GeForce MX250 merupakan kad grafik yang sesuai untuk gamer yang ringan dan kasual. Jika anda inginkan prestasi yang terbaik dari sebuah kad grafik, laptop ini bukan jawapannya.

Bergantung kepada penggunaan, bateri ZenBook Duo mampu bertahan dari 5-7 jam. Durasi itu boleh jadi lebih singkat dengan penggunaan berat seperti permainan dan perisian grafik 3D berat.

Kesimpulan

Menggunakan laptop ini adakalanya janggal. Pada masa yang sama juga awesome. Berbunyi pelik? Itulah yang berlaku pada Zenbook Duo ini. Ia kurang selesa ketika menaip dengan postur dan posisi badan yang terpaksa dilentur semula berikutan rekaan papan kekunci yang berlainan dari kebiasaan. Trackpad kecil juga menambah seksa dan ketika penggunaan, kami lebih banyak menggunakan tetikus berbanding trackpad terbinanya. Mungkin bagus jika pengeluar laptop mahu keluarkan inovasi yang baharu. Akan tetapi jika inovasi itu mengubah cara penggunaan normal sebuah laptop menjadi lebih kekok, kami mungkin berkata tidak kepada inovasi tersebut.

Praktikaliti skrin kedua ini lebih bergantung kepada penggunaan tugasan seharian anda. Jika ZenBook Duo adalah sebuah laptop yang normal tanpa dwi skrin, ia menjalankan tugasannya dengan sangat baik. Prestasinya cemerlang. Skrin utamanya cantik. Rekaannya moden. Butang papan kekunci juga selesa ketika ditaip. Akan tetapi, ia tidak. Skrin keduanya seakan mencacatkan pengalaman menggunakannya. Mungkin untuk sebuah inovasi, ini adalah harga yang perlu pengguna bayar.

Kekurangan laptop: tak boleh buka lebih dari ini

Jika anda mahukan pengalaman menggunakan laptop dengan dwi skrin, anda boleh membeli ASUS ZenBook Duo ini pada 2 pilihan harga, bermula RM4,699 untuk Intel i5 dan bermula RM5,699 untuk Intel i7.

Jika anda mahukan pengalaman laptop dwi skrin dengan spesifikasi yang lebih tinggi, anda boleh memilih ASUS ZenBook Duo Pro. Harga pula adalah lebih tinggi pada RM12,999 untuk Intel i7 dengan model tertinggi Intel i9 berharga RM15,999. Dengan model Pro Duo anda akan mendapat skrin kedua dengan resolusi 4K, RAM sehingga 32GB dan juga grafik yang lebih baik dengan Nvidia RTX 2060.

Teruskan Bacaan
Advertisement
Apa Komen Anda

Tinggalkan Pandangan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

Terbaru

Ikut Facebook Kami

Popular