(Ulasan) Huawei Y9 (2019) – Spesifikasi Yang Sepadan Dengan Harga

Reading Time: 4 minutes

Ketika promosi beli belah dalam talian 11.11 tahun lalu, Huawei Y9 (2019) telah diperkenalkan untuk peminat tanah air. Mempunyai sistem dwi kamera didepan dan belakang, jom ikuti ulasan kami mengenai siri Y ini.

Rekaan luar nampak premium tapi….

Rekaan luar Huawei Y9 kelihatan premium dengan pilihan warna hitam dan biru nilam. Kelihatan seperti kaca, namun panel belakang yang melindungi bahagian dalam hanyalah diperbuat daripada plastik. Jadi tidak hairanlah ia boleh dipasarkan pada harga bawah RM900.

Bahagian hadapan dipasang dengan skrin paparan IPS LCD berukuran 6.5 inci bersama nisbah paparan 19.5:9.

Takuk diatas skrin dihuni oleh dua lensa kamera swafoto gabungan 16MP f/2.0 dan 2MP f/2.4.  Selain itu, ia juga ditemani dengan earpiece speaker, LED, serta sensor ambient, serta mikrofon kedua letaknya dibingkai atas.

Sisi kanan diletakkan dengan butang kuasa dan pelaras kelantangan bunyi. Pada sebelah kiri pula mempunyai slot dwi nano sim serta kad MikroSD. Bingkai bawah peranti pula dimuatkan dengan mono speaker, port pengecasan mikroUSB dan bicu audio 3.5mm.

Spesifikasi dalaman yang baik pada tanda harga dibawah paras RM1000

Sebelum kita cerita tentang prestasi Huawei Y9, kita selami dulu kelengkapan yang ada pada model ini.

  • Cip Kirin 710 8-teras digandingkan dengan pemproses grafik Mali G51 MP4
  • RAM 4GB
  • Ruang storan 64GB dengan sokongan memori tambahan MikroSD sehingga 400GB
  • Sistem operasi Android Oreo 8.1
  • Antaramuka EMUI 8.2
  • Bateri berkapasiti 4000mAh
Antaramuka EMUI 8.2 berasaskan Android 8.1 Oreo

Pengalaman penggunaan boleh dikatakan sama seperti peranti dengan Kirin 710 yang lain, salah satunya Honor 8X. Aplikasi dibuka dan berjalan dengan lancar. Paparan yang ditawarkan memuaskan hati kami dari segi kecerahan sikit, tona warna serta sudut pandangan. Satu perkara yang penulis perasan adalah warnanya sedikit “pudar” apabila kecerahan skrin berada ditahap tinggi.

Aplikasi Party Mode, mainkan muzik pada 7 peranti secara serentak.

Tetapi tidak mengapa kerana terdapat tetapan yang boleh anda akses untuk laraskan warna paparan mengikut kesesuaian pandangan mata anda. Jadi bagi paparan, boleh disimpulkan prestasinya sebagai baik.

Pengalaman penggunaan ketika bermain aplikasi juga tidak mendatangkan sebarang masalah. Gandingan cip Kirin 710 dan Mali G51 MP4 dipadukan lagi bersama ciri GPU Turbo, mungkin kena dengan anda yang gilakan permainan.

Mobile Legends beraksi dengan bagus walaupun pada tetapan tertinggi sementara bagi PUBG Mobile, tetapan terbaik boleh dinikmati pada tahap sederhana.

Untuk tingkatkan lagi pengalaman permainan, anda boleh lancarkan permainan menerusi Game Suite yang mana ia akan mengoptimumkan lagi aplikasi permainan tersebut.

Tiada masalah berkenaan ciri nyahkunci skrin menggunakan wajah dan cap jari. Kedua-duanya beraksi baik.

Empat kamera setanding kelas pertengahan yang lain

Panel belakang telefon pintar ini dipasang dengan dwi kamera 13MP (f/1.8) dan 2MP (f/2.4) untuk kesan bokeh.

Dikawasan pencahayaan yang baik, kualiti gambar dilihat setara dengan peranti pertengahan lain.

Bagi rakaman potret, kamera Huawei Y9 berjaya membezakan subjek dan latarbelakang kabur yang kemas.

Suasana kurang cahaya seperti malam, kualitinya sedikit hambar kerana terdapat noise yang agak tinggi. Namun, terdapat satu penyelesaian bagi masalah tersebut iaitu dengan penggunaan fungsi Night Shot yang tersedia didalam aplikasi.

Bagi mendapatkan hasil yang lebih cantik, gunakan mod Night Shot disamping tripod, untuk elakkan gegaran. Contoh gambar seperti dibawah.

Kiri: Normal, Kanan: Night Shot

Kiri: Normal, Kanan: Night Shot

Beralih ke sebelah hadapan, kamera swafoto yang digunakan adalah 16MP (f/2.0) dan 2MP (f/2.4). Sekali lagi, bagi kelas pertengahan, kamera hadapan ini tidak mengecewakan.

Rakaman video untuk Full HD boleh dilakukan pada kadar 30 fps dan 60fps tanpa sebarang ciri penstabilan imej.

Bateri yang boleh harap

Salah satu perkara yang menjadi keutamaan adalah kuasa bateri. Huawei Y9 dijana dengan bateri berkapasiti 4000mAh dimana screen on time berlegar-legar disekitar 7 ke 8 jam. Untuk memenuhkan dari 10% hingga 100%, masa yang diambil adalah selama 2 jam.

Kesimpulan

Huawei Y9 antara peranti kelas pertengahan yang berjaya mencuri perhatian. Dijual pada harga RM899, satu nilai yang kompetitif dan boleh dikatakan berbaloi untuk dimiliki.