Menu
WISER.MY
  • Pergi ke Wiser.my
  • Berita
  • Ulasan
  • Trivia
  • Tips Gajet
  • Promosi
  • Youtube
  • Hubungi Kami
WISER.MY

(Ulasan) Huawei Watch Fit 3 – Harga Marhaen Tapi Ciri Premium

Posted on Ogos 26, 2024Ogos 26, 2024

Huawei Malaysia telah pun melancarkan jam sukan terbaru mereka pada pertengahan Mei lalu, Huawei Watch Fit 3 yang boleh penulis katakannya sebagai jam pintar marhaen yang kaya dengan ciri premium.

Manakan tidak, pada harga yang sangat mampu milik, Huawei Watch Fit 3 dilengkapi beberapa ciri yang sebelum ini hanya ada pada jam pintar premium yang berharga ribuan ringgit.

Skrin AMOLED

Salah satu ciri premiumnya adalah kualiti paparannya yang terang walau di bawah matahari terik. Itulah kelebihan jam ini kerana dilengkapi skrin AMOLED yang besar (1.82 inci).

Tak kira saiz pergelangan tangan anda, ia cukup sesuai dipadankan dan selesa dipakai. Lebih penting ia terang dan jelas.

Ringan dan nipis

Kelebihan kerangka yang diperbuat daripada bahan aloi aluminium menjadikannya begitu ringan.

Bagai tidak terasa dipakai ditangan, ia begitu selesa dipakai ketika aktif dan rekaannya yang nipis menampakkan lagi rekaannya yang moden.

Ciri GPS yang tepat

Antara ciri utama Huawei Watch Fit 3 ini adalah ciri GPS-nya yang tepat. Malah untuk kiraan pergerakan dan kelajuan juga adalah hampir tepat.

Tak cukup dengan itu, apabila sesuatu aktiviti diprogramkan pada jam, ia ada ciri satelit yang membantu pengesanan kedudukan anda.

Jadi, jika anda tersesat ketika anda melakukan aktivit seperti hiking atau trail running, ciri ini amat membantu anda untuk menjejaki semula laluan anda yang asal dari tersesat.

Status semasa lokasi dipapar pada masa nyata. Salah satu ciri utama pada Huawei Watch Fit 3 ini.

Rekaan antara muka grafik yang baharu

Menariknya lagi dengan jam sukan terbaru Huawei ini adalah antara muka grafiknya baharu yang lebih menarik daripada sebelum ini.

Ditambah lagi dengan skrin AMOLED, animasi grafik jam ini yang dinaik taraf cukup menyenangkan.

Bateri tahan lama

Sebagai sebuah jam sukan dengan pelbagai ciri, isu hayat bateri antara yang menjadi perhatian utama. Tapi anda tidak perlu bimbang dengan hayat bateri Huawei Watch Fit 3.

Ini kerana, untuk penggunaan secara sederhana di mana anda mungkin melakukan aktiviti ringan di lewat petang selepas pulang dari kerja dan menggunakannya sepanjang masa, bateri jam ini mampu bertahan sehingga 7 hari lamanya.

Jadi, untuk sebuah jam sukan comel seperti ini, ia satu pencapaian bateri yang mengagumkan.

Walaupun Huawei menyatakan jam ini mampu bertahan sehingga 10 hari, tapi secara idealnya setakat yang diuji, baterinya mampu bertahan sehingga 7 hari.

Terlalu ikut sangat Apple

Walaupun begitu, ada satu isu yang sedikit mengganggu penulis dengan jam pintar baharu Huawei Watch Fit 3 ini.

Ia adalah isu rekaannya yang jelas lagi terang, tidak perlu bersuluh bahawa Huawei cuba meniru rekaan jam Apple Watch.

Sekali pandang pun anda boleh tahu bahawa Huawei terlalu “try hard” sangat meniru jam Apple Watch. Bukan itu sahaja, kebanyakan persembahan datanya serta antara muka perisian turut umpama jam tangan pintar Apple.

Huawei sebenarnya mempunyai produk yang baik, ini termasuk jam tangan pintar. Jadi, tidak perlu meniru Apple dan boleh cipta identiti sendiri.

Namun, kalau anda pengguna Apple yang pakai jam ini, anda tidak akan rasa kekok kerana pengalamannya hampir serupa. Bezanya, jam Huawei tidak perlu cas hari-hari.

HUAWEI Watch Fit 3
Apple Watch Series 7

Kesimpulan

Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya, Huawei Watch Fit 3 adalah sebuah jam pintar yang ditawar pada harga mampu milik tapi cukup dengan ciri premium serta binaan yang cukup baik.

Ketiadaan ciri ECG mungkin sedikit mengecewakan, tapi dengan harga marhaen ini, kita tidak boleh berharap sebegitu. Selain itu, ia juga kekurangan beberapa aplikasi lain yang khas untuk jam ini.

Kekurangan seterusnya adalah Huawei memisahkan varian NFC dan tiada NFC. Mungkin Huawei mahu mengurangkan harga tetapi sepatutnya ciri NFC sudah jadi perkara wajib dalam peranti sebegini.

Walau apa pun, Huawei Watch Fit 3 sememangnya jam tangan pintar cukup baik pada kelas harga ini. Ia sesuai untuk mana-mana anda di luar sana yang mahukan jam tangan pintar mampu milik dan berfungsi untuk jejak kesihatan serta aktiviti sukan.

{suggest}

Cari Artikel

Buka artikel ini di Wiser.my
BUKA
©2025 WISER.MY | Powered by SuperbThemes & WordPress