(Ulasan) Huawei Nova 4 – Telefon Yang Menjadi Tanda Tanya

Reading Time: 5 minutes

Tidak sampai setahun selepas model Nova 3 dilancarkan, Huawei memperkenalkan pula “pewarisnya”, Nova 4 pada awal tahun ini.

Muncul sebagai peranti pertama dengan rekaan skrin tebuk, ia sekaligus menjadikannya antara telefon yang dinantikan peminat Huawei terutamanya dan tidak keterlaluan untuk kami katakan kehadirannya menjadi tanda tanya.

Rekaan Skrin Tebuk, Keperluan Atau Hanya Pemasaran?

Tahun 2019 dijangka akan menjadi tahun kebangkitan bagi rekaan skrin berlubang. Cara ini menjadi salah satu usaha pengeluar untuk berhenti menggunakan rekaan takuk.

Bagi lubang yang ada pada skrin Nova 4 ini, saya berpendapat ia adalah memiliki saiz dan kedudukan yang sesuai serta berjaya menjadi pengganti kepada rekaan takuk.

Dengannya, skrin LCD 6.4-inci yang dimiliki mampu mencapai nisbah skrin pada peranti sehingga lebih kurang 86%.

Selain daripada itu, melihat kepada sisi belakang peranti mengingatkan saya pada rekaan yang digunapakai oleh Huawei P20 Pro dahulu.

Bezanya, Nova 4 mempunyai sensor imbasan cap jari dibahagian belakang. Penggunaan panel kacanya juga mengakibatkan kesan cap jari banyak kelihatan di panel belakang peranti.

Pada bahagian bawahnya pula diletakkan port pengecasan USB Type-C, mikrofon, pembesar suara serta dua garis untuk penerimaan isyarat.

Bicu audio 3.5mm, IR blaster dan satu lagi lubang mikrofon untuk tujuan noise cancellation telah dipasang di sisi atas peranti.

Butang kuasa dan kawalan bunyi diletakkan di sebelah kanan manakala slot dwi-kad sim pula tersedia di sisi kiri peranti. Malangnya, Huawei tidak membekalkan model ini dengan sokongan kad mikroSD.

Antaramuka EMUI 9 Masih Menjadi Pilihan

Seperti dijangka, Huawei masih membekalkan antaramuka EMUI pada peranti Nova 4 kali ini. Ia menyebabkan pengguna tidak berasa sebarang keistimewaan apabila mengguna peranti ini berbanding model-model Huawei atau HONOR lain sebelum ini.

Nova 4 ini dijalankan dengan sistem EMUI 9 berlandaskan Android 9 Pie. Akan tetapi, tiada pilihan untuk mengaktifkan app drawers disediakan pada kali ini. Ia bermakna, pengguna hanya boleh mengakses aplikasi melalui tetingkap utama sahaja.

Bagi saya sebagai pengguna yang tidak gemar paparan utama yang serabut, ia sedikit menjengkelkan. Ini kerana ia bermakna home screen saya akan dipenuhi dengan ikon-ikon aplikasi.

Untuk bantuan pintar pula, anda boleh menggunakan beberapa kawalan pergerakan seperti ketuk skrin untuk tangkapan skrin serta tuliskan huruf menggunakan buku jari untuk membuka aplikasi.

Selain itu, pengguna juga boleh memilih untuk menggunakan salah satu daripada tiga sistem navigasi yang disediakan iaitu Gestures, Three-key Navigation dan Navigation Dock.

EMUI 9 ini sebenarnya tidaklah membosankan namun jika ditanya kepada saya, saya lebih menggemari One UI dari Samsung dan OxygenOS milik OnePlus.

Sistem Cip Yang Sama Dengan Nova 3

Jika ditanya tentang perkara yang paling mengecewakan saya pada Nova 4 kali ini, jawapan saya mudah. Cip Kirin 970-nya.

Namun ia bukanlah bermakna cip tersebut tidak bagus. Tetapi peranti ini dilancarkan selepas terhasilnya cip HiSilicon Kirin 980 yang lebih canggih, berprestasi tinggi dan terkini.

Tambahan pula, ia ialah sistem cip yang digunapakai oleh generasi Nova yang terdahulu. Ia sekaligus membuatkan pengguna Nova 3 berfikir dua kali untuk beralih kepada Nova 4.

Seperti dijangka, peranti ini tidak banyak menghadapi masalah ketika diuji kemampuannya untuk menjalankan aktiviti penggunaan harian biasa pada sesebuah telefon pintar.

Membuka banyak aplikasi dalam masa yang sama, memainkan video di YouTube dan Netflix, menatal aplikasi media sosial, semuanya dapat dilakukan dengan lancar.

Bermain permainan video bergrafik tinggi juga bukanlah cabaran hebat bagi Nova 4 ini. Permainan popular seperti Tekken 7, PUBG Mobile dan Asphalt 9 dapat dijalankan dengan sempurna.

Dari segi suhu pula, selepas dua jam digunakan untuk bermain permainan video, saya dapati peranti ini berasa agak panas.

Secara keseluruhannya, sistem dalaman peranti ini berprestasi tinggi namun jika dilengkapi dengan Kirin 980, ia pastinya lebih baik.

Kualiti Swafoto Mencapai Tahap Yang Diharapkan Dari Sebuah Model Nova

Pengguna peranti Huawei Nova pasti akan mengharapkan kualiti gambar yang cemerlang dapat dihasilkan. Begitu juga bagi Huawei Nova 4 ini.

Atas alasan itu, kami meletakkan penanda aras yang sedikit tinggi pada kamera peranti ini.

Lebih-lebih lagi apabila ia hadir dengan tetapan tiga kamera utama 20MP f/1.8 + 16MP f/2.2 ultra-lebar + 2MP f/2.4 depth sensor.

Berikut adalah hasil gambar yang ditangkap menggunakan tetapan kamera berkenaan.

Perkara paling utama bagi peranti dalam siri Nova ini pastinya kualiti swafoto yang dihasilkan.

Pada pendapat saya, kamera swafoto 25MP yang dimiliki oleh Nova 4 ini tiada masalah untuk memuaskan hati penggunanya.

Untuk rakaman video pula, kamera pada peranti ini mampu merakam sehingga 4K pada 30fps dan ia disokong dengan fungsi EIS.

Mampu Bertahan Untuk Satu Hari

Huawei Nova 4 ini hadir dengan bateri berkapasiti 3,750mAh. Melalui penggunaan biasa, ia mampu bertahan sehingga sehari dengan sekali pengecasan tanpa masalah.

Jika anda seorang yang gemar bermain permainan video atau menonton video, anda mungkin perlu mengecas semula peranti ini di pertengahan hari anda.

Dengan penggunaan agak keras, ia masih mampu bertahan sehingga 6 ke 8 jam mengikut cara penggunaan. Sementara itu, bermain PUBG Mobile selama satu jam telah mengurangkan kuasa bateri sekitar 21%.

Untuk pengecasan pula, Huawei Nova 4 ini menyokong pengecasan pantas Huawei SuperCharge dan ia mengambil masa lebih kurang 1 jam 52 minit untuk dicas penuh.

Adakah Berbaloi Untuk Memilikinya?

Secara keseluruhannya, Huawei Nova 4 ini adalah berbaloi untuk dimiliki pada tahun ini walaupun ia menggunakan cip pemprosesan tahun lepas. Prestasi kameranya yang lebih daripada cukup untuk kegunaan seharian.

Bagi mereka yang lebih mengutamakan kualiti kamera tanpa mengambil endah sangat mengenai cip pemprosesan, harga RM1,899 mungkin sedikit mahal untuk sebuah peranti yang dikuasakan dengan cip pemprosesan berusia setahun.

Kemunculan peranti ini menimbulkan banyak persoalan, kerana kemunculannya tidak sampai setahun dari Nova 3. Pada pandangan kami, Huawei Nova 4 ini diperkenalkan hanya untuk menjadi modal peranti dengan skrin berlubang.

Kita tahu, Huawei akan sentiasa berlumba untuk mempamerkan inovasi baru, mahu menjadi pengeluar yang sentiasa ‘pertama seumpamanya’ dan trend rekaan skrin berlubang ini juga tidak terkecuali.

Bagi mereka yang mahu mencari peranti yang boleh bermain permainan video dengan tahap tertinggi, saya cadangkan anda ubah perhatian anda ke HONOR View20.

 

Huawei Nova 4
  • Reka Bentuk
  • Antaramuka
  • Spesifikasi Dalaman
  • Prestasi Kamera
  • Kualiti Bateri
4.2

Kesimpulan

Terbaikkkk

  • Rekaan skrin tebuk tanpa takuk
  • Kamera berkualiti walaupun pada waktu malam
  • Bateri mampu bertahan lebih dari satu hari

Ermmmm

  • Antaramuka yang tidak banyak berubah
  • Penggunaan sistem cip sama seperti Nova 4
  • Tiada app drawer