[Ulasan] Huawei MateBook X Pro 2020 - Laptop Premium Huawei Berharga RM7,999

Walaupun komputer riba edisi Matebook merupakan model yang lebih sinonim dengan jenama Huawei, syarikat ini juga turut mempunyai komputer versi premium tersendiri. Namun, harga komputer riba premium mereka dipasarkan dengan harga yang agak tinggi.

Baru-baru ini Huawei Malaysia telah membawa masuk Huawei MateBook X Pro yang baharu, yakni versi tahun 2020 dengan harga jualan RM7,999. Dengan harga jualan setinggi itu, ia menimbulkan persoalan se premium manakah peranti tersebut?



Jadi pihak Huawei Malaysia ada menghantar sebuah model berkenaan untuk dipandu uji. Untuk artikel ini, mari kita lihat apakah penawaran Huawei MateBook X Pro yang terbaharu ini.

Spesifikasi


CPU: Intel Core i7-10510U
GPU: Intel UHD Graphics, NVIDIA GeForce MX 250 2GB GDDR5
RAM: 2x 8GB LPDDR3 2133MHz, Terbina dalam papan induk
Storan: 1TB NVMe SSD
I/O: 2x USB-C, 1x USB-A, 1x bicu 3.5mm
Paparan: 13.9 inci 3K (3000 x 2000) LTPS, 100% sRGB
Bateri: Pengecas 65W, Bateri 56WHr Li-Po
Dimensi: 304 x 217 x 14.6 mm, 1.33kg

Rekaan


Hanya dengan melihat rekaan, tidak disangkal lagi ia merupakan sebuah peranti mewah dan premium. Pada unit kami, ia berwarna Emerald Green dan hadir dengan kemasan aluminium aloi. Tidak terdapat tekstur kasar pada permukaan dan ia sangat licin jika disentuh. Dari segi penjenamaan, hanya logo Huawei sahaja yang diletakkan pada bahagian tengah penutup komputer riba.



MateBook X Pro juga menariknya hadir dengan rekaan bukaan satu tangan. Tidak seperti kebanyakan komputer riba lain, ia dengan mudahnya dibuka hanya menggunakan satu tangan menandakan binaan engsel yang sangat jitu dan kukuh. Perkara ini juga turut dibantu dengan rekaan sedikit 'ke dalam' pada bahagian trackpad untuk memudahkan bukaan komputer riba ini.



Dari segi dimensi, ia hadir dengan nipis hanya 14.6mm dan berat sekitar 1.33kg. Secara tidak langsung, ia merupakan salah sebuah komputer riba yang menepati kriteria nipis dan juga ringan.



Keseluruhannya, komputer riba MateBook X Pro ini memang dirasakan sangat premium sesuai dengan harganya. Dengan profil nipis dan ringan sebegini, sudah tentu ia sangat sesuai untuk digunakan kepada golongan nomad digital yang sering mengembara.

Paparan


MateBook Pro X menawarkan resolusi yang agak tinggi dengan pixel 3000 x 2000 pada 260 PPI. Panelnya hanya berukuran 13.9 inci. Ditambah dengan saiz bezel yang nipis (nisbah badan-ke-skrin 91%), ia merupakan komputer riba dengan rupa paling cantik dilihat.



 

Panel yang digunakan adalah merupakan LPTS LCD. Panel jenis ini digunakan kerana mahu memampatkan jumlah pixel yang lebih tinggi menjadikan resolusi paparan juga lebih tinggi berbanding LCD biasa.

Antara perkara unik mengenai paparan MateBook X Pro ini adalah ia mempunyai nisbah 3:2. Nisbah ini sangat berlainan daripada nisbah tradisional 16:9 kebanyakan komputer riba kerana ia tidak memanjang ke tepi, sebaliknya menegak ke atas.



Dengan paparan sebegini, ia mendatangkan kelebihan dan juga keburukan kepada pengguna, namun ia adalah bergantung kepada aplikasi dan perisian apakah yang pengguna guna.

Untuk kerja dan tugasan yang saya sering lakukan, nisbah 3:2 ini sangat saya tidak gemari kerana ia membantutkan produktiviti saya. Kebanyakan masa, saya akan menggunakan mod split-screen pada paparan. Jadi, nisbah 3:2 ini tidak sesuai dengan cara kerja saya menjadikan ruang untuk berinteraksi menjadi sempit. Tambahan lagi, jika banyak tab pada pelayar Google Chrome dibuka, bilangan tab akan menjadi terhad disebabkan saiz yang semakin mengecil.



Namun itu adalah jika digunakan dalam mod split-screen. Jika kandungan paparan digunakan sepenuhnya tidak dibahagikan kepada 2, ia sangat puas terutamanya ketika membaca kandungan dalam laman web seperti membuka Facebook, membaca artikel, mahupun membaca manga.



Untuk golongan professional pula, nisbah 3:2 ini sangat memuaskan jika anda seorang pereka grafik ataupun pengaturcara. Skrin yang memanjang ke bawah ini membolehkan lebih banyak kandungan secara menegak membuatkan anda kurang menggerakkan tetikus ke bahagian bawah.



Dari segi kualiti, ia mempunyai ketumpatan pixel dan juga warna yang sangat cantik. Namun dirasakan, pantulan cahaya ke skrin agak tinggi menjadikan pengguna yang melihat dari sudut tepi kurang jelas dengan kandungan paparan. Disebabkan itu jugalah, gambar komputer riba ini sukar diambil dari tepi.



Skrinnya juga merupakan sebuah paparan boleh sentuh. Dari segi penggunaan saya, disebabkan engsel komputer riba yang sangat kukuh, skrinnya tidak mudah bergoyang jika disentuh.

Pengimbas cap jari yang diintegrasikan dalam butang kuasa juga berfungsi dengan pantas dan baik.


I/O


MateBook X Pro ini tidak mempunyai I/O yang banyak demi untuk mengekalkan rekaan ringkas dan nipis. Ia hanya mempunyai 2 USB-C, 1x bicu 3.5mm, dan hanya 1 USB-A. Untuk USB-C tersebut, salah satunya digunakan untuk mengecas. Ia juga turut menyokong Thunderbolt 3.


Prestasi


Huawei MateBook X Pro dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i7-10510U. Ini merupakan cip jenis kuasa rendah ditujukan khusus untuk ketahanan bateri yang panjang.



Bersama-sama cip ini, Huawei menyertakan kad grafik Nvidia MX250. Dari segi penggunaan seharian, komputer riba ini lancar menjalankan tugasan kebiasaan kerja seperti menaip artikel, melayari pelayar web, menonton video, malah bermain permainan video yang ringan.

Dipadankan dengan 16GB RAM, multi-kerja sangat lancar. Untuk makluman RAM ini hanya terhad kepada 16GB sahaja kerana tidak boleh dinaik taraf disebabkan ia terbina pada papan induknya.

Saya juga turut menguji prestasi komputer riba MateBook ini dengan menggunakan perisian ukur aras.

Cinebench R20



PCMark 10



Geekbench 5



3DMark Sky Diver Stress Test

Melalui ujian ini, kami dapat perhatikan bahawa komputer riba ini sukar untuk mengekalkan prestasi ketika beban yang berat. Suhu boleh mencecah 90°C yang sememangnya tidak selesa. Ketika ini sistem akan mengurangkan kelajuan CPU dan komputer riba akan beroperasi sedikit lebih perlahan.

Kawasan paling panas yang berinteraksi secara terus dengan pengguna adalah di bahagian atas papan kekunci. Namun bahagian bawah dan bersebelahan pad sesentuh tidaklah sepanas mana jadi anda boleh terus membuat kerja tanpa menghiraukan suhu tersebut.



CrystalDiskMark

Kami juga sangat berpuas hati dengan prestasi SSD yang sangat pantas dengan kelajuan read sekitar 3,500MB/s dan write 3,000MB/s. Ia merupakan unit NVMe yang berkapasiti 1TB. Namun perlu diketahui bahawa tiada slot HDD disertakan dan pengguna perlu mengorbankan waranti jika mahu menaik taraf storan dalaman yang lebih besar.



Komputer riba ini tidaklah 'sesejuk' yang anda jangka, namun ia senyap dan bunyi kipas tidak didengari ketika membuat kerja. Pada mulanya saya sangkakan tiada ekzos pengaliran udara disebabkan rekaan bawah yang kosong. Namun, setelah diperhatikan dengan lebih teliti, ekzos komputer riba ini diletakkan berhampiran dengan engsel.



Saya rasa rekaan ini kurang efektif untuk mengeluarkan haba disebabkan engsel yang terhalang. Tambahan lagi, ia bersaiz kecil. Akan tetapi, ini merupakan pengorbanan yang terpaksa dilakukan semata-mata mahukan rekaan komputer riba yang nipis sebegini.

Melalui penggunaan kami, suhu komputer riba boleh mencecah agak tidak selesa disebabkan masalah pengaliran udara. Suhu ini agak membebankan terutamanya jika komputer riba diletakkan atas paha untuk melakukan kerja.

Pembesar suaranya pula  sangat lantang dan memuaskan. Ia mempunyai rekaan 4 unit pembesar suara, 2 pada bahagian atas, dan 2 menghala ke bawah.



Sebagai sebahagian dari ekosistem Huawei, MateBook X Pro ini juga hadir dengan Huawei Share. Fungsi ini membolehkan anda menyambungkan kandungan peranti Huawei atau HONOR kepada komputer riba hanya dengan satu tap mudah. Ia juga boleh menghantar fail di antara peranti dan komputer riba tersebut dan juga fungsi unik multi-screen collaboration.

Papan Kekunci Dan Pad Sesentuh


MateBook X Pro ini mempunyai kawasan pad sesentuh yang agak luas secara tidak langsung memberikan kepuasan untuk menavigasi komputer riba ini. Bahan binaannya adalah kaca jadi ia masih lengkap dalam tema premium komputer riba ini.



Namun, pad sesentuh ini sedikit menjengkelkan adakalanya disebabkan input yang kurang tepat seperti gestur yang tiba-tiba muncul pada ketika tidak diperlukan.

Seperkara lagi, ini bukanlah kelemahan tetapi lebih kepada fitrah komputer riba yang kecil ini dengan saiz pad sesentuh yang besar. Ia adalah tangan anda mempunyai ruang yang kecil untuk diletakkan ketika menaip. Jadi, bahagian tapak tangan secara tidak langsung pada kebanyakan masa mudah melepak di dalam kawasan pad sesentuh tanpa diundang.

Papan kekunci pula merupakan antara papan kekunci paling selesa yang pernah saya gunakan untuk menaip untuk sesebuah komputer riba. Kedalamannya agak nipis disebabkan rekaan komputer riba ini yang sememangnya nipis. Jika untuk dibandingkan, ia lebih kurang seperti menaip menggunakan komputer riba pada Apple MacBook.



MateBook X Pro ini juga turut mempunyai kamera web terbina dalam papan kekunci yang diletakkan di antara butang F6 dan F7. Ciri ini sudah ikonik untuk komputer riba Huawei dan kebanyakan produk mereka mempunyai ciri yang sama.



Untuk anda yang skeptikal dengan isu privasi dan keselamatan, ciri ini sangat membantu anda.

Ia juga mempunyai pencahayaan berwarna putih (tiada RGB), yang membantu anda menaip ketika cahaya malap.


Bateri Dan Pengecasan


Melalui penggunan normal kerja saya, saya mendapat jangka hayat bateri sekitar 9-10 jam. Ini adalah hampir tepat dengan dakwaan 13 jam menurut daripada pihak Huawei sendiri. Sudah tentu bateri akan lebih terkesan jika anda kerap bermain permainan video.

Namun untuk pengguna yang melakukan kerja-kerja normal dan ringan, komputer riba ini mampu bertahan dengan waktu yang lama sebelum perlu dicas semula.

Untuk mengecas, ia adalah sepertimana komputer riba Huawei yang lain iaitu menggunakan port USB-C.



Pengecasnya berkuasa 65W dan mengambil masa sekitar 2 jam untuk penuh menggunakan kabel USB-C kepada USB-C yang dibekalkan.


Rumusan Ulasan


Huawei MateBook X Pro (2020) ini merupakan produk akhir apa yang Huawei definisikan sebagai komputer riba premium. Secara keseluruhannya, ia merupakan komputer riba yang sangat baik dengan paparan cantik, pembesar suara yang sangat memuaskan, bahan binaan premium dan cantik, serta prestasi membuat tugasan yang cemerlang.

Namun, masih terdapat sedikit kelemahan terutamanya dari segi pengaliran haba di mana komputer riba ini mudah panas jika kerja-kerja berat dilakukan. Jika anda hanya setakat membuat kerja-kerja pejabat, komputer riba ini tidak mendatangkan masalah.

Akan tetapi, jika hanya setakat membuat kerja-kerja pejabat, takkanlah sampai keluarkan wang sehingga RM7,999 untuk memiliki komputer riba ini. Tambahan lagi, kami merasakan pad sesentuhnya agak sensitif dengan sebarang gerakan dan perlukan kemaskini untuk berfungsi dengan lebih baik.

Dari segi kelebihan, komputer riba ini mempunyai tarikan seperti paparan 3:2 yang unik. Namun, ia juga bergantung kepada apa yang anda lakukan disebabkan paparan jenis ini bukanlah sesuai untuk semua orang. Selain itu, papan kekuncinya juga sangat selesa untuk ditaip.



Komputer riba ini dijual secara rasmi berharga RM7,999. Harganya begitu tinggi dan agak sukar untuk menyarankan pembeliannya. Saya rasa buat masa ini, jika Huawei mahu terus menjual sebuah komputer riba dengan harga yang tinggi, alangkah lebih baiknya mereka menyelesaikan masalah haba dengan menyertakan sistem penyejukan yang lebih efektif.

Beli Huawei MateBook X Pro (2020):

Lazada: https://invol.co/clog54

 

 

Berkaitan