(Ulasan) Huawei Matebook D15 - Ringan Dan Bergaya, Mudah Dibawa Ke Mana-Mana

Banyak faktor yang diperlukan sewaktu memilih sesebuah komputer riba. Kebanyakkan daripada kita mencari sebuah peranti yang mampu mengendalikan tugas-tugas harian, hiburan serta permainan video.

Dalam masa yang sama, sebahagian pengguna itu mahukan komputer riba dengan rekaan yang ringkas, ringan dan mudah diusung kemana-mana.

Bersesuaian dengan kehendak pengguna itu, Huawei tampil dengan sebuah komputer riba dikenali sebagai Huawei Matebook D15. Akan mula dipasarkan pada 18 Januari ini, mari kita lihat sama ada ia menepati citarasa pengguna ataupun tidak.

Huawei Matebook D15

Rekaan


Pertama sekali kita melihat kepada rupabentuk luaran Matebook D15 ini. Ia didatangkan dengan rekaan unibody diperbuat daripada logam dengan bahagian panel atasnya hanya memaparkan "HUAWEI" sahaja. Rekaan logo seperti ini sudah dimulakan sejak Huawei Matebook X Pro lagi. Berbeza dengan keluaran-keluaran terdahulu, tiada lagi logo seperti kelopak bunga.

Huawei Matebook D15

Ini membuatkan Matebook D15 kelihatan lebih kemas dan ringkas disamping berat hanya lingkungan 1.62kg. Berketebalan sekitar 16.9mm, Matebook D15 mempunyai saiz skrin 15.6 inci dengan bezel mengelilingi hanya setebal 5.3mm. Mudah kata, bagi komputer riba dalam saiz ini, Matebook D15 adalah antara yang paling ringan.

Huawei Matebook D15

Sebelah belakang pula kelihatan corong udara untuk ciri pembebasan haba bagi memastikan pengudaraan yang lebih baik pada komponen dalaman. Dua corong disisi itu pula merupakan pembesar suara.

Huawei Matebook D15

Skrin paparan IPS ini menyokong resolusi 1920 x 1080p dengan 87% nisbah skrin-ke-badan. Susun atur papan kekuncinya boleh dikatakan mirip seperti komputer riba Apple. Jika anda pengguna Apple dan mahu beralih kepada komputer riba ini, tiada masalah dari segi menaip. Anda mampu menyesuaikan diri dengan cepat.

 

Huawei Matebook D15

Beralih kepada port sambungan pula, ia tampil dengan 1x port USB C, 2x port USB 2.0, 1x port USB 3.0, HDMI dan bicu audio 3.5mm. Kesemuanya mengisi ruang sisi kiri dan kanan komputer riba ini.

Tampil dengan bezel yang nipis, anda mungkin tertanya-tanya dimanakah kamera komputer riba ini diletakkan. Ia berada diantara butang F6 dan F7 yang mana tersembunyi disebalik butang dengan ikon kamera.

Huawei Matebook D15

Anda perlu menekan butang ini secara fizikal untuk menggunakan fungsi kamera tersebut. Melalui penggunaan kamera tersembunyi ini, ia memberikan lebih privasi kepada anda. Tidak perlu lagi menampal pita pelekat pada lensa kamera tersebut seperti yang dilakukan oleh segelintir pengguna sebelum ini.

Huawei Matebook D15

Menambah lagi ciri sekuriti adalah pengimbas cap jari yang disertakan pada butang kuasa. Anda boleh mendaftar sebanyak 10 cap jari dan ia pantas menyahkunci paparan Matebook D15 ini.

Spesifikasi dalaman dan pengalaman penggunaan


Kini kita selusuri pula bahagian dalaman peranti untuk melihat penawaran apa yang dibawa pada Matebook D15. Menguasakan peranti adalah cip pemproses AMD RYzen 5 3500U dengan integrasi grafik RADEON VEGA 8.

Bahagian memori pula menampilkan RAM DDR4 8GB dengan padanan dwi memori storan SSD 256GB serta HDD sebesar 1TB. Menjana kuasa peranti adalah bateri 42Wh dengan pengecasa bersaiz poket yang lebih mudah dibawa kemana-mana.

Dengan segala kelengkapan yang diberikan, segala tugasan harian, pelayaran web, menonton video dan lain-lain berjalan dengan lancar. Berdasarkan pengalaman kami menggunakannya dalam tempoh masa yang singkat ini, Matebook D15 menunjukkan prestasi yang baik.

Melalui kapasiti yang dibekalkan juga, komputer mampu bernyawa sekitar 5 jam lebih bagi tugasan yang banyak melibatkan pelayaran web. Ia dilihat sudah memadai untuk menemani anda ke kelas atau melakukan tugasan luar pejabat.

Tidak dilupakan untuk aktiviti permainan video. Memandangkan ia hanya dipersentajakan dengan grafik RADEON VEGA 8, kami mencuba permainan yang kurang berat seperti CS:GO dan Dota 2.

Huawei Matebook D15

Pada tetapan tertinggi pada CS:GO, purata fps yang kami perolehi adalah sekitar 30fps. Membantutkan nafsu untuk bermain sementara pada tetapan sederhana, kami memperoleh purata fps 40.

Sebuah lagi permainan iaitu Dota 2, melalui tetapan tertinggi ia grafiknya tersekat-sekat dengan purata 20 fps. Anda disarankan untuk memainkan permainan pada tetapan basic yang mana memberikan purata 55fps.

Ciri-ciri lain


Menambahbaik penawaran pada Matebook D15 ini adalah ciri sambungan telefon pintar dengan komputer melalui Huawei Share OneHop. Anda hanya perlu meletakkan telefon pintar pada bahagian pelekat Huawei Share. Setelah sambungan selesai dilakukan, paparan telefon pintar anda akan dipancar pada paparan Matebook D15.

Huawei Matebook D15

Anda boleh mengawal telefon pintar melalui ciri ini. Selain itu pemindahan fail, foto dan muzik boleh dilakukan dengan lebih mudah. Hanya leret dan lepas pada skrin untuk memindahkan fail antara peranti.

Ciri ini hanya menyokong peranti daripada Huawei sahaja dimana untuk senarai peranti boleh rujuk disini.

Harga jualan


Dilancarkan pada tanggal 18 Januari 2020 untuk pasaran tempatan, Huawei Matebook D15 dijual pada tanda harga RM2499. Pada nilai jualan ini, anda boleh mendapatkan sebuah komputer riba yang nipis, ringan, mampu menjalankan tugasan kelas mahupun pejabat. Selain itu, ia mempunyai ciri sekuriti yang seperti kamera tersembunyi serta imbasan cap jari dan fungsi pemindahan fail dan multi skrin Huawei Share.

Namun begitu, jika anda mahukan pengalaman yang terbaik saat bermain permainan video berat, ini bukanlah komputer yang dicari. Tetapi bagi permainan biasa yang tidak memerlukan kemampuan grafik yang tinggi, ia sesuai untuk dimiliki anda.