(ULASAN) HONOR View20, Kamera Utama 48MP AI Ultra Clarity Yang Memang Dasyat

Tahun lepas kita disajikan dengan telefon pintar dengan skrin bertakuk. 'Trend' skrin bertakuk ini mula menjadi ikutan apabila iPhone X diperkenalkan pada tahun 2017.

Kita dapat lihat juga beberapa model yang memberikan rekaan alternatif seperti Vivo Nex dengan binaan 'Pop-up Camera', Oppo Find X dengan  'Motorized Camera' manakala Xiaomi Mi Mix 3 pula menggunakan sistem 'Sliding Camera'.

Tetapi sistem yang digunapakai oleh ketiga-tiga model ini kurang mendapat sambutan dikalangan pengguna dek kerana risau tentang ketahanan sistem kamera itu sendiri. Maka, HONOR mengambil kesempatan ini untuk membawakan satu rekaan revolusi yang pada saya, bakal menjadi ikutan peranti lain tahun ini.

KATAKAN TIDAK PADA 'NOTCH'




HONOR View20 menggunakan kamera depan 25MP dengan binaan dalam skrin dibahagian tepi belah kiri peranti.

Tapi kenapa dibelah kiri?

Menurut pihak HONOR Malaysia, ianya kerana mereka menurut kajian yang telah dilakukan, lokasi berlubang dibahagian kiri adalah kawasan yang paling tidak mengganggu pengguna walaupun skrin digunakan secara melintang.

Maka dengan rekaan skrin berlubang pengguna disajikan dengan paparan skrin LCD 6.4 inci yang lebih luas iaitu pada 85.7% dengan meninggalkan ruang bezel dibahagian tepi dan bawah. Ia tidak seluas paparan yang terdapat pada OPPO FIND X iaitu 87% peratusan skrin.

Saya juga perasan kamera depan berlubang tidak langsung mengganggu sentuhan skrin apabila saya swipe notifikasi dari bahagian atas.

KAMERA UTAMA SEBESAR 48 MP!




Selain menjadi peranti pertama tanpa takuk, HONOR View20 juga merupakan yang pertama menggunapakai sensor kamera 48MP dengan bukaan lensa pada f/1.8 dan tetapan kamera stereo 3D TOF(Time Of Flight).

Sensor Sony IMX  586 yang digunakan mempunyai saiz pixel sebesar 0.8 micron, digunakan untuk melaksanakan proses yang dipanggil sebagai 'Pixel Binning' yang memapatkan 4 pixel menjadi 1 (12MP) supaya ianya dapat menerima lebih pencahayaan terutamanya pada waktu malam.



Kamera 3D TOF yang diletakkan berasingan pada ketika ini digunakan sebagai kamera 3D depth sensing untuk pengecaman wajah dan mod potrait. Ia juga turut digunapakai untuk fungsi seperti 3D Motion Controlled Gaming dan 3D Shaping.

Setakat ini fungsi 3D Motion Controlled Gaming masih lagi dalam fasa percubaan, yakni tidak banyak lagi permainan yang menyokong fungsi ini. Saya berkesempatan untuk melihat bagaimana fungsi ini beroperasi melalui demonstrasi oleh pihak Honor Malaysia, dan apa yang boleh saya katakan, ianya masih tidak sempurna.

[embed]https://www.youtube.com/watch?v=lLjPYUaIOcs[/embed]

Manakala untuk fungsi 3D Shaping pula, ia mampu memberi efek bentuk fizikal subjek menjadi lebih kurus. Anda boleh melaras sendiri efek ini, kalau terlalu tinggi efek, gambar anda akan menjadi terlalu lonjong dan nampak sangat kelakar.



Honor turut menyertakan AI Ultra Clarity, fungsi yang sesuai digunakan pada pencahayaan yang baik, dapat menambahbaik ketajaman dan kejelasan. Memang superb!


KAMERA SELFIE 'PUNCH HOLE'




Kamera selfie 25MP f/2.0 juga dilihat mampu menghasilkan gambar yang sangat menawan dengan warna gambar yang baik, hasil 'bokeh' yang kemas dengan warna yang tepat akan tetapi dari segi perincian saya berpendapat ia tidak dapat menandingi kehebatan Oppo F9 dan Vivo V11.



Dengan saiz hanya 4.5mm, besar sedikit dari pesaing rapatnya, Huawei Nova 4 dengan binaan kamera berlubang pada hanya 3.05mm.

PANEL BELAKANG DENGAN EFEK SINARAN 'V'




Dengan menggunakan teknologi Aurora Nanotexture, jika peranti ini dipegang pada sudut dan pencahayaan tertentu, ia akan menghasilkan efek berbentuk 'V'. Bergantung pada orang, tetapi pada saya rekaan seperti ini sangat cool!

CANTIK LUAR, CANTIK DALAM




Didalam, peranti ini dimuatkan dengan cip pemprosesan Kirin 980, RAM 6GB dan storan dalaman sebesar 128GB bersama sistem operasi Magic UI versi 2.1 berlapikkan sistem Android Pie 9.0.

Untuk kegunaan seharian, seperti model flagship Huawei dan Honor yang lain, memang tiada sebarang masalah yang saya hadapi setakat ini. Seperti potong memotong mentega menggunakan pedang samurai. Sangat lancar dan mantap.



Cuma persoalannya, apa beza antara Magic UI dan EMUI? Jawapannya, tiada beza, langsung. Mungkin mereka akan mengubahsuai dan menambahbaik antaramuka Magic UI di masa akan datang supaya menampakkan identiti mereka sendiri melalui Magic UI ini, tidak mahu lagi mengikut bontot Huawei.

TENAGA BATIN KUAT, TAHAN LAMA, CEPAT NAIK




Dibekalkan dengan kapasiti bateri sebesar 4,000mAh dan port pengecasan type-C, Screen On Time peranti ini adalah sekitar 8-9 jam bergantung kepada penggunaan. Ia turut didatangkan dengan fungsi pengecasan pantas 22.5W, pengecasan dari 10% ke 100% mengambil masa 1 jam sahaja. Memang laju.

RAKAMAN VIDEO SEDERHANA SAHAJA


HONOR View20 mampu merakam video pada tetapan 4K pada 30fps dan FHD pada 60/30fps. Hasil rakaman video saya boleh katakan sudah cukup memuaskan dari segi kualiti, ketajaman, warna dan exposure. Dengan sokongan penstabilan imej elektronik  peranti ini sedaya upaya untuk menstabilkan imej ketika dalam keadaan bergegar lalu menghasilkan video yang terhenjut-henjut.

HARGA SEDAP




Jika kita bandingkan dengan Huawei Nova 4, yang turut mengetangahkan rekaan yang sama, adalah tidak logik untuk anda tidak memilih HONOR View20. Nova 4(Kirin 970) dijual pada harga RM1,899 walhal anda boleh dapat HONOR View20(Kirin 980), kamera utama 48MP, bateri yang lebih besar 4,000mAh berbanding pada Huawei Nova 4 iaitu pada 3,750mAh.

 

 

 

Berkaitan